Tuesday, 14 May 2013

Ubi kayu rahsia awet muda Idris



Ubi kayu rahsia awet muda Idris
Idris menunjukkan MyKad miliknya yang membuktikan dia kini berusia 109 tahun.
KAMPUNG TAPAH - Walaupun usianya bakal menginjak 109 tahun Oktober nanti, namun seorang warga emas di sini, masih dianugerahkan kesihatan yang baik dan mampu berjalan ke sana ke mari, selain kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenar.

Berkongsi kisah dan rahsia kesihatan dirinya, Idris Hassan berkata, dia tidak mempunyai amalan gaya hidup secara khusus, tetapi kerap minum air suam selain mengelakkan mandi pada waktu malam.
“Pakcik bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik daripada ALLAH SWT walaupun usia sudah melebihi 100 tahun. Cuma sejak setahun kebelakangan ini mula mengalami sakit-sakit di bahagian kaki akibat gout.
“Alhamdulillah, pakcik masih mampu berjalan. Malah, pakcik turut berjalan ke pusat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Tapah yang terletak berhampiran rumah pada PRU13 baru-baru ini dan itu merupakan kali ke-13 pakcik mengundi," katanya.
Menurutnya, selain itu dia juga selalu makan ulam-ulaman walaupun tidak begitu berpantang dari segi pemakanan.
“Walaupun sayur-sayuran bagus untuk kesihatan tetapi kita kena ingat, kini banyak racun serangga digunakan. Seeloknya biarlah sayur-sayuran tersebut ditanam sendiri dan jangan takut kena cahaya matahari,” katanya.

Tambah suami kepada Halimah Teh, 74, ini, walaupun kudratnya tidak segagah usia mudanya dulu namun setiap hari dia akan pastikan tulang empat keratnya bergerak melakukan sesuatu agar tubuhnya tetap mengeluarkan peluh.

“Pakcik dulu kerja menoreh getah dan sudah biasa lakukan kerja-kerja berat. Orang hari ini ramai yang bekerja, tetapi tidak berpeluh dan suka makan makanan segera.
“Pakcik masih tetap suka makan ubi rebus terutamanya ubi kayu dan keledek. Pakcik tinggal di kampung dan semua ubi-ubi berkenaan masih mudah didapati,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tapah, Abd Wahab Mat Ali ketika dihubungi berkata, Idris merupakan penduduk tertua di kampung itu dan antara warga emas tertua juga dalam daerah Hulu Terengganu.
Credit: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment