Wednesday, 15 May 2013

Reda ujian Allah lambang keimanan

Segala perintah Allah SWT baik yang wajib mahupun sunat hendaklah dilaksanakan dengan hati yang reda. Demikian juga larangan Allah SWT hendaklah dijauhi dengan lapang dada. Hati yang reda terpancar daripada kemurnian iman dan tidak reda adalah gejala nifaq. 

Reda dengan qada pula membawa maksud menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT, sama ada nikmat mahupun musibah. Meredai qada Allah merealisasikan pengertian iman seseorang hamba.


Seorang mukmin apabila memperoleh perkara yang menggembirakannya, dia bersyukur. Sebaliknya apabila ditimpa musibah, dia bersabar. 


Sabda Rasulullah SAW: “Allah tidak menentukan sesuatu ketetapan kepada hamba-Nya melainkan ada kebaikan untuk hamba-Nya itu. Jika dia mendapat perkara yang menggembirakan ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Jika ia mendapat sesuatu menyusahkan dirinya maka bersabar, maka itu adalah baik baginya, tiada kesemua hal ini melainkan terhadap orang beriman.” (Riwayat Ahmad, Muslim, al-Daarimi dan Ibnu Hibban) 

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu ia meminta nabi mewasiatkan kepadanya dengan wasiat lengkap dan ringkas, lalu nabi pun bersabda: “Jangan kamu membuat sesuatu tuduhan kepada Allah SWT berkaitan dengan qada-Nya.” 

Diberitakan, Rasulullah SAW apabila memperoleh kegembiraan Baginda berkata: “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan. Apabila didatangi perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan: Segala puji bagi Allah atas segala perkara.” 



Bersyukur bila peroleh kesenangan 


Sikap reda dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar dua pengertian. 

Pertama, bertitik tolak daripada pengertian sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana Dialah sebaik-baik Pencipta dan Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu. 

Kedua, bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT adalah yang terbaik dibandingkan pilihan serta kehendak peribadi. 

Baginda SAW bersabda: “Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu, janganlah engkau berkata: Jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan: Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka, ia perbuat. Kerana sesungguhnya perkataan: andaikata itu memberi peluang kepada syaitan.” (Riwayat Muslim) 

Sabar dan reda mempunyai konsep berbeza. Sabar bermaksud menahan diri daripada marah dan berkeluh kesah. Tetapi, hati seseorang yang sabar masih merasakan sakit dan ia mengharapkan kesakitan itu akan hilang. 

Reda pula bermaksud berlapang dada dengan sesuatu ketetapan Allah. Ia tidak mengharapkan hilangnya kesakitan jika ia merasai sakit akan tetapi sikap reda yang ada pada dirinya meringankan serta menghilangkan kesakitan yang dirasai. 

Ini kerana Allah SWT memimpin hati orang mukmin untuk menerima apa yang berlaku dengan tenang dan sabar seterusnya melupakan kesakitan yang dirasai. 

Firman Allah SWT: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taghabun, ayat 11).


Credit: Mazyyah Osman

No comments:

Post a Comment