Sunday, 19 May 2013

Pelajar cacat penglihatan rentas Selat Pulau Pinang


Pelajar cacat penglihatan rentas Selat Pulau PinangPERENANG Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, Faiz Adnan, 23, cukup teruja selepas berjaya menamatkan renangan dengan masa dua jam, 20 minit dan 30 saat merentasi Selat Penang sejauh 5km bermula dari Jeti Swettenham di Georgetown ke pantai Bagan Ajam di Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Mohd Kamil Rahim/Ramdzan Masiam
Butterworth: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang cacat penglihatan berjaya mencatat rekod peribadi apabila berenang merentasi Selat Pulau Pinang secara individu dari Jeti Swettenham ke Pantai Bagan Ajam di sini, semalam. 

Faiq Adnan, 23, yang cacat sejak kecil memulakan renangan sejauh lima kilometer (km) pada jam 9 pagi dan menamatkan renangan pada jam 11.30 pagi, selepas menempuh pelbagai halangan termasuk disengat obor-obor dan menempuh cabaran ombak besar.


Pelajar jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan cabaran apabila disengat obor-obor selepas 45 minit memulakan misi berkenaan, namun diberi perangsang oleh jurulatih yang mengiringinya. 


Saya sudah hampir berputus asa kerana disengat obor-obor di seluruh badan termasuk di tangan, bibir dan muka. Keadaan gatal itu amat tidak selesa, namun saya diberi perangsang oleh jurulatih untuk meneruskan cabaran ini. 


Cabaran ombak besar 

Selain itu, saya menempuh cabaran ombak besar tetapi ia tidak menghalang tumpuan saya untuk menyudahkan misi kerana sudah lama saya memasang impian untuk mencipta rekod ini, katanya selepas berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, semalam. 

Acara merentasi Selat Pulau Pinang itu julung kali dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON), PUSPAKOM Sdn Bhd serta Jabatan Belia dan Sukan negeri. 
Faiq yang juga atlet paralimpik negeri berkata, kejayaannya berenang merentasi Selat Pulau Pinang dengan catatan dua jam 30 minit 35 saat, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu melakar kejayaan sama seperti individu lain. 

Sebagai persiapan untuk menjayakan misi ini, saya melakukan latihan renangan 40 pusingan di kolam renang dua kali sehari bagi membina stamina. Latihan kelajuan dan ketangkasan ini dijalankan sejak dua tahun lalu untuk memastikan saya benar-benar berkemampuan menjayakan misi ini. 


Rentas Selat Inggeris 


Selepas ini, saya berhasrat mencatat satu lagi rekod peribadi iaitu berenang merentasi Selat Inggeris pada 2015 dan berharap ada pihak yang sudi menaja serta membantu saya merealisasikan impian berkenaan, katanya. 

Jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat, berkata Faiq yang berenang dalam sangkar khas berdepan tempoh sukar apabila sangkar berkenaan pecah dipukul ombak besar ketika berada di tengah laut.


Credit: Siti Fatimah Mohamed Anwar

No comments:

Post a Comment