Friday 31 May 2013

Kementerian Kerja Raya usaha dapatkan pembiayaan untuk bangunkan prasarana Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan berusaha mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan pusat untuk membangunkan prasarana Sarawak terutamanya hubungan pengangkutan darat di kawasan muka bumi berbukit di Belaga dan Kapit. 

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, bajet itu, yang mungkin daripada Rancangan Malaysia ke-11, akan digunakan untuk menyambungkan bahagian ini kepada pusat utama seperti Bintulu dan mengurangkan kebergantungan masyarakat di sana terhadap pengangkutan air.


Fadillah berkata, kos pembangunan jalan raya untuk bahagian ini akan mencecah sehingga RM300 juta atau lebih. 

Pada masa ini, kedua-dua kawasan itu dihubungkan oleh jalan yang tidak disenggarakan dan digunakan oleh lori balak. 

"Kawasan Kapit dan Belaga merupakan salah satu kawasan yang paling mencabar oleh kerana bentuk muka buminya yang berbukit dan mempunyai sungai yang besar. 


"Sekarang, kawasan Kanowit, yang tidak jauh daripada Kapit, sudah pun dihubungkan dengan Sibu," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara hari ini. 

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Angkatan Tentera Malaysia, di bawah program "Jiwa Murni", sudah bekerjasama untuk membangunkan kawasan Belaga dan Sungai Asap. 


"Pada masa ini, jalan yang menghubungkan dua kawasan itu adalah jalan-jalan balak yang tidak diselenggarakan dengan baik," katanya. 

Apabila semua perancangan dilaksanakan, beliau berkata, jaringan jalan raya sepanjang Belaga ke Sibu akan menjadi realiti. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kawasan luar bandar akan terus dibangunkan untuk mengurangkan jurang perbezaan kawasan bandar dan luar bandar, di mana sebanyak RM4.5 bilion sudah diperuntukkan ke arah pelbagai projek pembangunan prasarana luar bandar. 

Beberapa projek termasuk memberikan RM1.2 bilion untuk membangunkan jalan luar bandar 441 kilometer dan projek jalan menghubungkan kampung, RM1.6 bilion untuk projek prasarana utiliti luar bandar yang melibatkan bekalan air dan tenaga elektrik dan RM100 juta untuk membekalkan 40,000 tangki air untuk pengumpulan air hujan, terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment