Wednesday, 1 May 2013

NASIHATILAH DENGAN BAIK.....


Nasihat perlu ada tekniknya




NASIHAT-menasihati satu budaya yang terpuji dalam Islam. Allah memuji kaum mukminin yang mengamalkan budaya nasihat-menasihati sekali gus menjadikannya sebagai salah satu syarat mencapai kecemerlangan diri.

Firman Allah SWT: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, nasihat menasihati dalam kebenaran dan nasihat menasihati dalam kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Nasihat boleh dilakukan oleh siapa sahaja. Ia bukan hak para ustaz ataupun ulama. Jangan meninggalkan nasihat hanya kerana merasa diri belum bersih.

Suatu hari, Imam Hasan al-Basri berjumpa dengan seorang pemuda. Beliau berkata: “Nasihatilah kami, wahai pemuda." Pemuda itu pun menjawab, “Aku belum layak untuk memberi nasihat."

Hasan berkata, “Siapakah yang benar-benar layak memberi nasihat? Syaitan sangat suka dengan kata-kata ini. Ia berharap agar manusia mengambilnya sehingga tidak ada lagi yang mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan."


Makna nasihat

Sebelum melakukan nasihat, ada baiknya kita fahami dahulu hakikat nasihat itu sendiri. Ramai yang menyangka nasihat hanyalah kata-kata saranan, usulan atau cadangan. Ada juga yang gagal membezakan antara nasihat dan celaan.

Secara asal perkataannya, nasihat bermakna: tulus ikhlas. Secara istilah, kata ini dijelaskan oleh Al-Khattabi: “Nasihat adalah sebuah kata yang mengungkapkan keinginan agar orang lain mendapat kebaikan."

Jadi, nasihat lahir daripada cinta dan kasih sayang. Seseorang yang menasihati orang lain hakikatnya tengah mencurahkan cintanya kepada orang tersebut.


Teknik nasihat

Apa yang berasal daripada hati biasanya menetap di dalam hati. Jika nasihat tidak diterima, malah melahirkan perlawanan, mesti ada yang tak kena dalam caranya. Kata-kata nasihat tidak boleh selalu disampaikan secara terus-terang, kadangkala ia mesti disampaikan dengan teknik-teknik yang kreatif.

Para ulama pernah mengajarkan teknik-teknik tertentu agar nasihat menetap di dalam hati. Antaranya, jangan menyalahkan, namun buat ia merasa bersalah. Kepandaian dalam memilih kata-kata sangat penting dalam perkara ini. Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “Seorang Mukmin menutupi lalu menasihati. Seorang fasik mengisytiharkan lalu mencela."

Berikutnya, pilih saat yang paling kondusif untuk menasihati. Hindari memberi nasihat apabila orang yang berkenaan tengah emosi atau dalam kepenatan. Sangat baik jika kita dapat membina hubungan baik dengannya terlebih dahulu.

Setiap kali hendak menasihati seseorang, Imam Al-Sya’rani selalu membelanja makan orang yang hendak dinasihati terlebih dahulu. Sering juga beliau memberinya hadiah yang mahal-mahal.

Beliau berpendapat bahawa hadiah akan melahirkan cinta. Dan cinta melahirkan kepatuhan. Apabila cinta telah terjalin, nasihat akan sangat mudah diterima. Sebab seorang kekasih selalu tunduk patuh kepada kekasihnya.

Jangan lupa pula, nasihat tertutup lebih baik daripada nasihat terbuka. Ini bererti, hindari menegur kesalahan seseorang di hadapan orang lain. Apa lagi di hadapan orang ramai.

Apabila itu kita lakukan, hampir pasti nasihat kita akan diabaikan. Sebab orang itu merasa diaibkan, lalu berusaha membela diri.

Eloklah jika kita berbincang dengannya secara tertutup tanpa siapa yang mengetahui. Imam Al-Syafie berkata: “Siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihatimu. Dan sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, ia sebenarnya tengah menghinamu."


Jika nasihat ditolak

Akhir sekali, setiap kali menasihati orang lain, cubalah kita periksa motif nasihat tersebut. Benarkah kita tengah menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati itu? Ataukah sebenarnya kita tengah menginginkan kebaikan untuk diri sendiri?

Jika kita berbangga apabila nasihat itu dilakukan dan marah apabila ditolak, maka itu pertanda kita tidak ikhlas. Nasihat itu bukan lahir daripada cinta, namun daripada nafsu kita yang sukakan penghormatan.

Sesiapa yang ikhlas dalam menasihati tidak akan marah jika kata-katanya tidak didengarkan. Ia mungkin sedih kerana tidak dapat membantunya, namun ia tidak ada alasan untuk marah. Wallahu a’lam.

Credit: Umar Muhammad Noor

No comments:

Post a Comment