Saturday 11 May 2013

Seorang lelaki ditahan berhubung kes bunuh Timbalan KP Kastam

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 26 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di Petaling Jaya pada jam 8.30 pagi semalam.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, polis telah merakam percakapan 35 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam insiden kira-kira 8.15 pagi 26 April lalu,  Shaharuddin mati akibat ditembak dua lelaki yang bermotosikal semasa Allahyarham dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan dua lelaki berusia 35 dan 40 tahun bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki di hadapan lampu isyarat di bulatan Taman di Bulatan Billion Cheras pada jam 11.30 pagi, 26 April lalu.

"Suspek berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan," katanya.

Mangsa, R. Karikaalan, 29, mati ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terkena dua dari 10 das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Kejadian itu turut menyebabkan ibu Karikaalan yang berusia 60 tahun cedera di lengan kanan.

Karikaalan bersama ibunya dalam perjalanan dari Ampang untuk ke rumahnya di Taman Puchong Hartamas.

Polis percaya kemungkinan mangsa dibunuh kerana terlibat dalam pergaduhan dengan satu kumpulan di Puchong sebelum ini.


Credit: AHMAD ISMADI ISMAIL

No comments:

Post a Comment