Sunday, 19 May 2013

Keyakinan utuh sempurnakan iman


Pengarang terkenal, Stephen R Covey dalam bukunya yang tersohor, The Seven Habits of the Most Effective People, menegaskan, keyakinan yang utuh dan kekuatan paradigma adalah perkara penting yang menjadi asas utama mendasari perubahan untuk menjadi seorang yang berkesan dan berjaya dalam hidup. 

Begitu juga ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah SAW, amat menitikberatkan aspek pemantapan keyakinan dan kekuatan akidah. Ini kerana keyakinan mantap dan akidah yang teguh akan menjadikan Islam sebagai al-Din unggul pada kaca mata dunia.
Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian keyakinannya digilap dan akidah diperkasakan, sudah pasti dia adalah seorang Muslim yang taat dan bertakwa serta patuh melakukan segala perintah Allah.
Firman Allah SWT bermaksud: Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya dari Allah dan sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa; iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (Surah al-Baqarah, ayat 2-5) 

Keyakinan adalah satu keadaan yang mana hati merasai ketenangan tanpa terselit sebarang keraguan dalam setiap tindakan dilakukan. Keyakinan ini juga satu ilmu yang bertindak sebagai perisai, yang tidak dapat ditembusi oleh angan-angan, sangkaan, syak atau salah faham. 

Malah, keyakinan itu sebenarnya nur yang dijadikan Allah dalam sudut hati hamba-Nya yang beriman sehingga nur keyakinan jelas dilihat melalui segala tindakannya. 


Hati tak mudah goyah 

Ulama tasauf tersohor, Syeikh Junaid al-Baghdadi pernah berkata: Keyakinan itu ialah satu ketetapan ilmu yang tidak berubah-ubah dan tidak pula terumbang-ambing serta tidak mudah goyah di dalam hati. 

Keyakinan yang menjadi amalan hati adalah tanda kesempurnaan iman seseorang Muslim. Bahkan keyakinan juga kunci dalam mengenal Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Melalui keyakinan inilah iman seseorang Muslim akan bertambah mantap dan kukuh. 

Sebaliknya, tanpa keyakinan, iman akan mudah goyah dan luntur serta mudah pula terkena penyakit lalai, lupa diri serta ragu-ragu. 

Ini yang diingatkan Rasulullah SAW: Yang sangat aku takuti di antara ketakutan aku terhadap umatku ialah lemahnya keyakinan. Ini kerana lemahnya keyakinan akan mendorong seseorang kepada lupa akan agamanya dan akan bergaul dengan orang yang bersifat kasar dan keras kepala. (Riwayat Tabarani dan Baihaqi) 

Ulama tasauf membahagikan yakin kepada tiga peringkat iaitu ilmu yakin dipetik dari firman Allah dalam surah al-Takathur, ayat 5 bermaksud: Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin (ilmu yakin). 

Ilmu yakin itu ialah satu keadaan yakin yang baru bertapak di kotak fikiran. Contohnya, seseorang yang masuk ke hutan, dia tentu akan terfikir ada binatang liar seperti harimau, ular dan sebagainya. 

Begitulah halnya dengan seseorang yang beribadat dan beriman hanya dengan menggunakan kaedah akal fikiran dan ilmu zahir saja. Penetapan akan adanya Allah Yang Maha Agung itu hanya dilakukan dengan perbahasan ilmu yang belum bertapak kukuh dalam hatinya. 


Ainul yakin 
Ainul yakin pula difahami melalui firman Allah dalam surah al-Takathur, ayat 7 bermaksud: Selepas itu - demi sesungguhnya - Kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (Ainul Yakin) (ketika kamu dilemparkan ke dalamnya). 

Ainul yakin adalah penglihatan lebih jelas daripada ilmu yakin. Seseorang yang masuk ke hutan tadi menemui bekas tapak kaki harimau, sudah tentu secara rasionalnya ada harimau yang melalui kawasan tempat ditemui tapaknya itu dan hal ini sekali gus membuatkan hatinya merasa takut. 


Ibadat kemas, adab dan akhlak halus 


Samalah dengan seseorang yang beribadat dengan hatinya telah yakin dan nampak akan kebesaran Allah Taala. Orang sebegini ibadatnya amat kemas, adab dan akhlaknya juga halus dan tauhid bertakhta kukuh di lubuk hatinya. Hatinya tidak mudah goyah dan sentiasa memohon perlindungan Ilahi. 

Haqqul Yakin pula dapat difahami daripada firman Allah dalam surah al-Haqqah, ayat 51 bermaksud: Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (Haqqul Yakin) (dengan seyakin-yakinnya). 

Seperti bekas tapak kaki harimau yang dilihat tadi secara ainul yakin, kini harimau itu dilihat berada di hadapannya dengan penglihatan mata kasarnya. Sudah pastinya ia akan menambahkan lagi ketakutan ketika seseorang berhadapan betul-betul dengan harimau itu. 

Begitulah keadaannya dengan seorang Muslim yang beribadat dan beriman kepada Allah, dia juga telah melihat dengan mata hatinya akan kebesaran Allah. Keadaan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda ditanya hakikat ihsan. 

Katanya, ihsan itu iaitu kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka ingatlah sesungguhnya Allah melihat kamu. 

Dalam tahap ini, seseorang Muslim itu dapat mencapai haqqul yakin iaitu merasakan kehadiran Allah dalam amalan, perilaku dan tindakannya pada setiap detik dan ketika. Dia juga akan merasai kemanisan iman yang tiada tolok bandingnya serta menikmati kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment