Sunday, 12 May 2013

Richard Branson tunai pertaruhan jadi pramugari



Richard Branson
Richard Branson bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes. - Foto Bernama
SEPANG - Penerbangan AirAsia X ke Kuala Lumpur dari Perth, Australia mendarat di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini dengan hartawan penerbangan Sir Richard Branson memakai mekap dan kasut tumit tinggi, bertugas sebagai pramugari dalam penerbangan itu.
  
Memakai pakaian seragam berwarna merah pramugari syarikat penerbangan itu, pengerusi Virgin Group itu, bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan penumpang penerbangan A330 itu tiba di LCCT pada 12.30 tengah hari dan disambut lebih 50 orang yang 'terhibur' dengan penampilan Branson.
  
Beliau berlepas dari Perth awal hari ini dengan penerbangan amal bagi mengumpul dana itu bagi menunaikan janjinya setelah kalah dalam pertaruhan dengan Fernandes pada Grand Prix lebih dua tahun lepas.
  
Pertaruhan itu berjaya membantu Branson yang memakai skirt merah seksi itu untuk mengumpul sumbangan kira-kira AU$300,000 untuk disalurkan kepada Starlight Children's Foundation di Australia.
  
Pertaruhan antara Branson dan Fernandes berlaku lebih dua tahun lepas berhubung mana satu pasukan Formula Racing pilihan mereka menamatkan saingan pada kedudukan lebih tinggi pada Grand Prix Formula One 2010 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.
  
Team Lotus pilihan Fernandes menamatkan saingan di tempat ke-10 manakala pasukan pilihan Branson, Marussia Virgin Racing di tempat ke-12 pada ranking final.

Semasa ditemui pemberita, Fernandes berkata penerbangan itu merupakan satu daripada penerbangan "menarik dan menyeronokkan" yang dialami beliau dan penumpang, dan menurutnya sungguh mengagumkan bagaimana pertaruhan seumpama itu boleh menjadi acara media dan berjaya mengumpul dana untuk golongan memerlukan.
  
Branson dalam ucapan ringkasnya berkata beliau gembira akhirnya dapat menunaikan janjinya itu dan membantu dalam aktiviti amal.
  
"Saya gembira dengan kesudian Tony (Fernandes), yang saya kalah dalam pertaruhan dengannya, bersedia membantu saya dalam penerbangan ini. Saya percaya kami melayani penumpang dengan baik dan mereka terhibur. Ia sungguh menyeronokkan," katanya.
  
Ditanya sama ada akan ada lagi pertaruhan antara mereka, Fernandes berkata beliau dan Branson mahu berehat seketika dan menumpukan pada perancangan masa depan.
  
"Beliau mahu saya pergi ke angkasa dengan beliau dan mungkin saya akan pergi dan mungkin apabila kami berada di bulan, ada sesuatu untuk kami bertaruh," katanya.

 - Bernama

No comments:

Post a Comment