Monday 20 May 2013

Ketua guru disiplin bebas tuduhan cabul 11 pelajar



KUALA LUMPUR 20 Mei - Selepas dua tahun menghadapi pertuduhan mencabul 11 pelajar perempuan, seorang ketua guru disiplin akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu terhadap Ismazi @ Megat Ismazi Ismail, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Ayuni dalam keputusannya berkata, pendakwaan gagal memanggil seorang saksi penting yang berada di tempat kejadian iaitu pengawas sekolah berketurunan India yang boleh menceritakan situasi sebenar pada waktu kejadian.

Menurut beliau, terdapat percanggahan antara keterangan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin pada hari kejadian dan pengakuan bertulis pengawas tersebut.

Dalam pengakuan bertulisnya, pengawas itu menyatakan, tertuduh ada meminta izin daripada kesemua pelajar untuk memegang leher bagi memeriksa denyutan nadi sebelum merotan pelajar tersebut dan kesemua pelajar itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang tertuduh semasa pemeriksaan nadi dijalankan.

Menurut majistret itu lagi, mahkamah berpendapat, sekiranya tertuduh ingin berbuat perkara tidak baik, dia tidak meminta kebenaran selain jumlah pelajar yang ramai berada di dalam bilik disiplin ketika kejadian.

Mahkamah juga mengambil kira keterangan kesemua saksi yang menyatakan, tiada seorang pun daripada 11 pelajar itu menjerit, meronta atau menangis apabila tertuduh kononnya meletakkan tangan ke atas dada mereka seperti yang didakwa mereka.

''Jika ada pelajar yang tidak senang dengan perbuatan tertuduh, mereka semua berpeluang melarikan diri, keluar dari bilik disiplin yang tidak berkunci itu dan boleh terus melaporkan kepada pengetua atau mana-mana guru tetapi perkara itu tidak dilakukan.

''Ini kerana sekiranya perbuatan cabul itu benar-benar berlaku, perbuatan itu sesuatu yang serius dan tindakan segera boleh diambil terhadap tertuduh oleh pihak sekolah,'' katanya.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan 11 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun di dalam bilik guru disiplin di sekolah menengah tersebut antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi, 25 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sepanjang perbicaraan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, sebanyak 23 saksi dipanggil memberikan keterangan di peringkat pendakwaan.

Ismazi ketika ditemui pihak media melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan menyatakan, dia hanya menjalankan tugas sebagai guru disiplin pada hari kejadian demi mendidik pelajar sekolah itu.
Ismazi yang berkhidmat sebagai guru selama 23 tahun kesal kerana banyak tohmahan dan penghinaan diterima daripada masyarakat serta laporan akhbar sesetengah media yang berat sebelah dan cuba menimbulkan isu perkauman.

Dia yang digantung tugas semenjak kes itu dibawa ke mahkamah berharap ibu bapa memberikan sokongan dan kerjasama kepada guru dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak menjadikan sekolah tempat menghangatkan isu.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Ismazi berkata, pihaknya akan memikirkan tindakan lanjut mengenai laporan palsu terutama pembabitan sesetengah ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap kes tersebut.

No comments:

Post a Comment