Friday, 17 May 2013

Dilarang angkuh, perkecil orang lain

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW menerangkan: Apabila seseorang mengatakan, orang ramai sudah rosak akhlaknya, sebenarnya dialah yang rosak akhlaknya. (Direkodkan oleh Muslim) 

Hal ini dilarang dan haram hukumnya apabila orang yang mengucapkan rasa kagum terhadap diri sendiri dan memperkecilkan orang lain. Tetapi jika mengucapkan kerana kesal dan sedih terhadap kurangnya komitmen agama dalam masyarakat, ia tidak salah.


Inilah yang diperjelas dan diperincikan oleh ulama, antara mereka adalah Malik bin Anas, al-Khattabi, al-Humaidi dan lain-lain. Nawawi menjelaskan perkara ini dalam kitabnya al-Azkar. 


Allah berfirman: Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan) kebenaran. Mereka itu mendapat seksaan yang pedih. (Surah Asy-Syura, ayat 42) 

Iyad bin Himar melaporkan, Rasulullah SAW menerangkan: Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang yang bersikap angkuh terhadap orang lain. (Direkodkan oleh Muslim) 

Firman Allah SWT: Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa. (Surah an-Najm, ayat 32)

No comments:

Post a Comment