Google+ Followers

Friday, 17 May 2013

jangka hayat lelaki yang lebih pendek


Jangka hayat wanita Malaysia kini 79 tahun - Kajian


KOTA BHARU 17 Mei - Kajian akademik terbaharu mendapati purata jangka hayat wanita Malaysia kini meningkat kepada 79 tahun berbanding 77 tahun yang dilaporkan dua tahun lalu manakala jangka hayat lelaki pula kekal di paras 77 tahun.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Khalid Yusof berkata, jangka hayat lelaki yang lebih pendek berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan cara hidup lebih sihat dan mudah terdedah kepada risiko pelbagai jenis penyakit.

"Perbezaan ini berlaku kerana golongan lelaki adalah individu yang lebih terdedah kepada risiko mendapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, strok, buah pinggang, diabetes, kanser dan banyak lagi.

"Kurangnya amalan menjaga kesihatan kerana lebih mementingkan urusan kerja seharian menyebabkan golongan lelaki lebih berisiko berbanding wanita," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Hipertensi Sedunia di Balai Rukun Tetangga Ketereh di sini hari ini.

Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 dikeluarkan pada tahun 2011 mendapati, jangka hayat lelaki Malaysia ketika itu adalah secara purata 71.9 tahun manakala golongan wanita ialah 77 tahun.

Dr. Khalid berkata, golongan wanita di negara ini lebih peka kepada penjagaan kesihatan malah kesedaran untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan amat tinggi berbanding lelaki yang lebih gemar bergantung kepada ubat-ubatan tanpa rawatan susulan.

"Inilah yang berlaku iaitu wanita sanggup menerima rawatan tetapi lelaki lebih gemar ambil ubat tanpa berjumpa pakar dan disebabkan terlalu bergantung pada ubat inilah pelbagai jenis penyakit lebih banyak menyerang orang lelaki," katanya.