Wednesday 15 May 2013

LEBIH 100 ROHINGYA MATI LEMAS


Lebih 50 dikhuatiri lemas


Kanak-kanak Rohingya Islam, meredah hujan di hadapan khemah sementara mereka di Mansi, 
Sittwe, semalam. Beribu-ribu penduduk di Myanmar termasuk etnik Rohingya Islam terpaksa 
dipindahkan berikutan ancaman Taufan Mahasen yang diramal melanda minggu ini. - AFP

SITTWE 14 Mei - Sebuah bot yang membawa kira-kira 100 penduduk Rohingya Islam, karam di perairan barat Myanmar semalam, dengan 42 daripada penumpang terselamat, manakala yang lain dikhuatiri lemas.
Mereka merupakan satu daripada kumpulan yang dipindahkan secara besar-besaran dari negeri Rakhine, semalam berikutan ancaman Taufan Mahasen, yang dijangka membadai minggu ini.

Ketua Pejabat Myanmar di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Barbara Manzi berkata, bot itu melanggar batu di luar perairan bandar pelabuhan Pauktaw, kira-kira 27 kilometer dari Sittwe, ibu negeri Rakhine.

Katanya, buat masa ini, jumlah mereka yang hilang masih tidak dapat dipastikan.

Minggu lalu, PBB mengeluarkan amaran tentang ancaman ribut tropika itu yang mampu mengancam nyawa terutamanya mereka yang tinggal di kem-kem sementara di barat Myanmar.

"Kemungkinan berlakunya Taufan Mahasen memerlukan tindakan segera dalam rancangan kami.

"Kami telah membina tempat perlindungan sementara yang dibuat daripada buluh yang diharap mampu bertahan dalam hujan lebat, namun dengan ribut itu, anda tidak pasti apa yang mampu bertahan,'' kata jurucakap Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Vivian Tan.

Menurut data PBB, kira-kira 20,000 penduduk Rohingya tinggal di kem-kem sementara di Pauktaw selepas insiden keganasan tahun lalu termasuk 12,000 berada di kawasan terdedah banjir.

Sementara itu, agensi-agensi bantuan memaklumkan, hujan lebat dan runtuhan lumpur mampu menjejaskan 140,000 penduduk kebanyakannya etnik Rohingya yang tinggal di kem-kem sementara di Rakhine selepas kediaman mereka musnah dalam keganasan antara penganut Buddha dan Islam tahun lalu.

Difahamkan, lebih 45,000 pelarian tinggal di kawasan rendah di Sittwe terdedah kepada Taufan Mahasen dan kebanyakannya telah berpindah ke tanah tinggi.

Ramalan yang dibuat oleh Tropical Storm Risk sebuah badan penyelidikan diketuai Pusat Penyelidikan Bencana Alam Benfield di Kolej Universiti London menunjukkan, Mahasen mampu bertukar menjadi 'ribut tropika ganas' dan akan mendarat di utara negara jiran Bangladesh minggu ini. - REUTERS

No comments:

Post a Comment