Friday, 10 May 2013

Insan tak putus asa mudah capai kejayaan

Mendapatkan sesuatu yang diingini memerlukan seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh mencapainya. Kejayaan dan apa yang diingini tidak akan datang dengan sendiri tanpa berusaha. 

Pepatah Melayu menyebut, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak datang bergolek. Bagaimanapun, tidak semua diusahakan akan mencapai kejayaan seperti diharapkan. Manusia hanya berusaha dan merancang, Allah SWT menentukan.


Kegagalan adalah lumrah hidup. Kegagalan bukan bermakna akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang berputus asa sebaliknya digalakkan terus berusaha di samping berdoa supaya apa yang dilakukan itu mendapat kejayaan. 


Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi) 

Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan lagi keadaan serta menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan. 



Allah uji dengan kegagalan 


Allah SWT menguji manusia dengan kegagalan supaya menjadi lebih taat dan mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mensia-siakan hajat manusia, melainkan ditunaikan atau diberikan ganjaran pahala. 


Firman Allah SWT: Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah, ayat 186) 

Sesungguhnya, setiap umat Islam dilarang keras daripada berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini dengan sepenuhnya. 

Memang agak sukar untuk memahami konsep qada dan qadar. Hanya Allah SWT mengetahui apa terkandung di sebalik qada dan qadar. Sebab itu, ada hadis mengingatkan mengenai bahaya mempersoalkan dan memanjang perbincangan mengenai qada dan qadar tanpa sebab tertentu. Sabda Rasulullah SAW: Apabila disebut mengenai qadar maka diamlah. (Riwayat Tabrani).



Cacat iman jika putus asa 



Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah SWT. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup. 

Firman Allah SWT: Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusof, ayat 87) 

Oleh itu, kegagalan sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Sesungguhnya, ramai individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu. 

Tidak ada orang yang tidak pernah mengalami kegagalan yang menjadi sebahagian asam garam dalam hidup. Hidup tanpa pernah menghadapi kegagalan seperti kuah tanpa garam, rasanya tawar, hambar dan tidak menyelerakan. 

Allah SWT menjadikan kegagalan dan pelbagai kesusahan lain sebagai ujian kepada hamba-Nya. Firman Allah SWT: Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Surah al-Baqarah, ayat 155) 

Orang yang sabar dan tidak mudah berputus asas akan sentiasa senang hati, mencari jalan atau usaha untuk terus berusaha supaya tidak lagi mengalami kegagalan. Lebih banyak usaha dilakukan, lebih banyak pahala kebajikan diperoleh.

No comments:

Post a Comment