Google+ Followers

Saturday, 4 May 2013

Gigit anjing untuk selamatkan isteri


Iowa: Seorang lelaki bertindak menggigit seekor anjing untuk menghentikan haiwan itu daripada menyerang isterinya.

Laine Henry bertindak demikian selepas anjing jenis Labrador itu menggigit hidung isterinya, Caren, hingga putus.

Kejadian berlaku Ahad lalu ketika pasangan berkenaan bersiar-siar bersama anjing peliharaan mereka di Madrid, Iowa.

Anjing itu yang muncul secara tiba-tiba dari kawasan semak membaham betis kanan Caren sebelum menggigit perut dan kemudian menyerang muka mangsa.

“Ia menerkam mata saya. Mujur saya memakai cermin mata. Saya percaya cermin mata itu menyelamatkan mata saya.

“Ia kemudian menggigit hidung saya hingga putus,” kata Caren.

Foto
HENRY bersama isteri, Caren di hospital, semalam.

Henry berkata, dia menepa ke arah anjing itu dan cuba menariknya dan menyasarkan mulut haiwan itu untuk memaksa ia melepaskan gigitannya pada muka Caren.

Tindakannya itu menyebabkan anjing berkenaan membaham tangan kirinya dan kembali menyerang Caren.
Dalam satu tindakan aneh, Henry menggigit hidung anjing itu, menyebabkan haiwan berkenaan melepaskan cengkamannya pada Caren, kata pasangan itu kepada akhbar Des Moines Register.

Pasangan itu kemudian meluru ke trak mereka dan memandu terus ke sebuah hospital berhamprian.

Henry dirawat kerana kecederaan di tangan tetapi nasib Caren lebih malang kerana terpaksa menjalani rawatan lebih lama.

Sehingga ini dia sudah menjalani satu pembedahan. Doktor akan menggunakan kulit dahinya dan beberapa bahagian lain serta rawan telinga untuk membentuk semula hidungnya.

“Keadaan mungkin lebih teruk. Jika bukan kerana cermin mata itu, saya mungkin kelihatan sebelah mata. “Jika anjing itu menyasarkan leher saya, saya mungkin sudah mati,” kata Caren.

Pihak berkuasa berjaya menangkap anjing berkenaan dan kini dikurung selama enam minggu. Pemilik haiwan itu, seorang gelandangan tempatan dilapor jarang memberi anjing itu makan. 

Credit: Harian Metro/ Daily Mail