Google+ Followers

Wednesday, 23 October 2013

Pernikahan Puteri Hamengkubuwono

KANJENG Pangeran Haryo Notonegoro berjalan bersama isterinya Gusti Kanjeng 
Ratu Hayu selepas majlis pernikahan mereka di Kraton, Yogyakarta, kelmarin. - REUTERS

JAKARTA 23 Okt. - Sejak tiga hari lalu, masyarakat Yogyakarta, Jawa Tengah berpesta menyambut pasangan pengantin baru diraja Gusti Kanjeng Ratu(GKR) Hayu dan suaminya, Kanjeng Pangeran Haryo (KPH) Notonegoro yang diraikan secara besar-besaran mengikut adat kebesaran diraja Yogyakarta.

 

Pesta keramaian puteri keempat Sri Sultan Hamengkubuwono X iaitu Sultan di Daerah Istimewa Yogyakarta itu bermula, semalam sebaik-baik Hayu sah menjadi isteri kepada Notonegoro pada majlis akad nikah yang dilafazkan dalam bahasa Jawa di Masjid Panepen Kraton Yogyakarta.

 

Hari ini pula, sepanjang Jalan Malioboro di Yogyakarta dipenuhi ribuan warga tempatan yang datang untuk melihat dari dekat wajah pasangan pengantin yang diarak menaik kereta kuda.


 
Upacara perarakan atau kirab ini dikenali sebagai 'Kirab Kereta Kencana' yang membawa maksud pemimpin bersatu dengan rakyat atau dalam bahasa Jawa disebut Manunggaling Kawulo Gusti.



Laluan perarakan bermula dari Istana Jawa (Keraton) Yogyakarta menuju Bangsal Kepatihan dan seterusnya ke Jalan Malioboro.


 
Pernikahan terakhir dalam keluarga diraja itu turut dihadiri Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing dan mendapat liputan media antarabangsa.

 

Pasangan Hayu dan Notonegoro mengambil keputusan menamatkan zaman bujang selepas mengenali hati budi masing-masing selama sepuluh tahun.

 

Hayu dan Notonegoro masing-masing merupakan lulusan universiti dari Amerika Syarikat.

 

KPH Notonegoro atau nama sebenarnya Angger Pribadi Nugroho bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York.

 

Memandangkan beliau bertemu jodoh dengan puteri raja, namanya ditukarkan menjadi Notonegoro.