Thursday, 3 October 2013

Boleh berbeza pandangan asal tak jejas akidah

Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Secara asasnya, Islam membenarkan umatnya berbeza pandangan, asalkan ia tidak membawa kepada kerosakan akidah dan merosakkan hubungan persaudaraan. 

Bagi mereka yang mengkaji, tentunya akan mendapati ulama berbeza pandangan dalam mengeluarkan hukum kepada sesuatu permasalahan. Berbeza pandangan bukanlah asing dalam dunia kajian dan pengeluaran hukum.


Kebebasan berfikir, mengkaji di samping galakkan berhujah dengan cara berhikmah benar-benar dapat diadaptasi dalam budaya kesarjanaan ulama menyuarakan kebenaran. Bertitik-tolak dari itu, maka wujudlah kepelbagaian mazhab dalam Islam. 

Setiap mazhab mempunyai kaedah atau proses pengeluaran hukumnya yang tersendiri. Namun, mereka tetap sepakat menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama dalam berijtihad. 

Walaupun ulama mazhab mempunyai pandangan berbeza, ini tidak mengeruhkan hubungan mereka. Bahkan, mereka tetap menghormati pandangan kedua atau ketiga yang dikeluarkan asalkan berpaksi kepada hujah kebenaran, bukan nafsu semata-mata. 

Keegoan dalam diri segera dikikis supaya dapat menerima teguran untuk memperbetulkan kesilapan pandangan dikemukakan. Bahkan, ulama yang sejati akan berasa gembira jika bertemu dengan kebenaran, walaupun kebenaran itu datang daripada pihak lain. 

Sikap su’u zhan (sangka buruk) amat penting dijauhi supaya pandangan ulama lain dilihat secara positif. 
Perbezaan pandangan juga berlaku dalam kalangan sahabat pada zaman Rasulullah SAW bermula dengan permasalahan fiqah sehinggalah persoalan strategi peperangan. Contohnya, ketika Nabi SAW meminta pandangan Abu Bakar dan Umar al-Khattab mengenai hukuman musuh yang ditawan dalam peperangan Badar. 

Namun, ia akhirnya dijawab sendiri oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam al-Quran. Demikian juga berlakunya perbezaan pandangan dalam kalangan sahabat selepas wafatnya Rasulullah SAW seperti perbezaan pandangan sahabat terhadap keputusan Abu Bakar memerangi golongan murtad dan enggan membayar zakat.

Bagaimanapun, perbezaan pandangan itu tidaklah mengundang permusuhan dan pertelagahan dalam kalangan mereka. Lihatlah kepada akhlak yang ditunjukkan oleh imam mazhab. Walaupun berbeza pandangan, namun masih lagi menghormati dan memuji antara satu sama lain. 

Ia dibuktikan apabila Imam Syafie sendiri pernah memuji Imam Malik bin Anas dengan berkata, “Malik bin Anas adalah guruku, kerana dari beliaulah kuambil ilmu.”

Perbezaan pandangan yang berlaku bukanlah disebabkan untuk menegakkan pandangan sendiri atau menjaga keegoan masing-masing, tetapi untuk mencari kebenaran sejajar kehendak Allah SWT dan memberikan manfaat kepada umat Islam sejagat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya.” (Surah al Nisa’, ayat 59) .

Inilah langkah utama yang perlu dilakukan jika kita masih cintakan kepada kesatuan ummah atau ukhuwah Islamiyah. Sebarang permasalahan sama ada kecil atau besar hendaklah kembali merujuk kepada al-Quran dan sunnah. 

Imam Syafie pernah berkata, “Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu.”

Kata Imam Syafie lagi, “Setiap orang harus bermazhab kepada Rasulullah dan mengikutnya. Apapun pendapat yang aku katakan atau sesuatu yang aku katakan itu berasal daripada Rasulullah SAW, tetapi ternyata berlawanan dengan pendapatku, apa yang disabdakan Rasulullah SAW itulah yang menjadi pendapatku,”.

Justeru, marilah kita mengambil akhlak yang telah ditunjukkan oleh ulama ini kerana mereka bukan saja sangat cinta kepada ilmu, tetapi juga sangat cinta kepada semangat persaudaraan.





Credit: Wan Jemizan W Deraman/Ahmad Termizi Mohamed Din

No comments:

Post a Comment