Friday, 4 October 2013

Marah itu daripada syaitan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Ali-Imran: 134)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya antara lain menafsirkan: "Mereka tidak melampiaskan kemarahannya kepada orang lain, tetapi sebaliknya, mereka menahannya dengan mengharap pahala di sisi Allah SWT.



Imam al-Ghazali berkata: Ahli ilmu berpendapat bahawa berlakunya sifat marah itu kerana urat saraf manusia ditarik oleh syaitan. Ini bermakna orang yang suka marah bererti telah mengikat persahabatan dengan syaitan.

Adapun maksud perkataan janganlah marah yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menuruti hawa nafsu kemarahan itu dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya daripada tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

 

Oleh itu, maksud Rasulullah SAW dengan larangannya kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan Baginda bersabda pada hadis yang lain: "Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang menyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat apabila salah seorang kamu dalam keadaan marah, kedua-dua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang merasa marah, maka hendaklah dia berbaring atau duduk di atas bumi."

Pernah juga Rasulullah SAW menerangkan: "Bahawa kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila seseorang di kalangan kamu marah kamu maka hendaklah dia berwuduk."

Emosi kita harus matang lebih dahulu dalam mengenali dan menerima diri sendiri. Jika tidak, tentu kita akan salah langkah dan yang kita buat sudah tentu perbuatan yang salah. Akhirnya, kita merasa bersalah dan cemas kerananya.

Seseorang yang cenderung menggunakan emosinya dalam berfikir menandakan bahawa emosinya belum matang. Kita perhatikan seorang yang sakit jantung, dia datang kepada doktor untuk berubat.

 

Lantas disyorkan supaya berhenti merokok sementara, tetapi kerana emosinya dia mengabaikan saranan doktor tersebut. Maka apa yang berlaku? Dua bulan kemudian dia meninggal dunia akibat penyakit jantung yang parah.

Jika kita menurutkan emosi yang meluap-luap sudah tentu kita akan 
kehilangan arah, ke mana akan melangkah dan apa yang harus dilakukan. 

Orang matang emosinya cukup mengenali dirinya sendiri untuk menyedari apa yang menganjal di hatinya dan menggunakan sejumlah pengetahuan yang diperoleh daripada pengalaman sebelumnya.

Ketidakmampuan untuk mengakui batas-batas kemampuan kita akan menjadi emosi kemarahan boleh mengakibatkan banyak kecemasan dan kekecewaan.



Credit: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

No comments:

Post a Comment