Wednesday, 16 October 2013

Dipecat angkara sayang kasut

Beijing: Seorang pegawai kerajaan di China dipecat selepas dia dilihat didukung seorang penduduk ketika mengharungi banjir di bandar yang dilanda taufan kerana bimbang kasutnya rosak.
Gambar pegawai dikenali sebagai Wang itu mencetuskan kemarahan apabila ia dimuat turun di laman media sosial China, Sina Weibo.
Gambar itu diambil ketika Wang mengunjungi bandar Yuyao, di Zhejiang sewaktu kawasan terbabit dinaiki air bah selepas dilanda taufan hingga meragut 10 nyawa.

Menurut agensi berita kerajaan Xinhua, keterangan gambar di bawah foto mendakwa Wang didukung kerana dia memakai sepasang kasut mahal yang dibuat daripada kain.
Foto
FOTO menunjukkan Wang didukung seorang penduduk ketika meredah banjir dalam lawatannya ke Yuyao minggu lalu.

Bagaimanapun, majlis perbandaran Sanqishi yang juga majikan tempat Wang bekerja, mendakwa dia sudah dimaklumkan agar menanggalkan kasutnya untuk berjalan kaki ayam meredah air ketika ke kediaman mangsa banjir.

Namun, menurut laporan MSN, walaupun Wang bertegas mahu berjalan, penduduk tempatan tetap mendukungnya ketika mengharungi air banjir. 

Wang didukung kali kedua oleh lelaki sama ketika kumpulan petugas perbandaran meninggalkan kediaman itu. 

Sama ada Wang ingin berjalan kaki seperti mana dinyatakan dalam laporan itu atau sebaliknya, berita yang tersebar di Internet beserta fotonya yang dimuat turun menyaksikan dia kemudian dipecat sebagai pengarah pejabat pembinaan majlis perbandaran. 

Ratusan ribu penduduk dipindahkan dari kediaman mereka selepas Taufan Fitow membadai tenggara China minggu lalu. 

Taufan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus di kebanyakan tempat dan khidmat kereta api laju turut digantung apabila angin kencang bertiup selaju 201 kilometer sejam.

Menurut laporan, sebahagian besar kawasan terjejas termasuk Yuyao menyaksikan hingga 25 sentimeter taburan hujan dalam tempoh 17 jam, selain turut ditenggelami air. 

Kira-kira tujuh juta penduduk di wilayah Zhejiang terjejas. secara keseluruhannya.

Sementara itu, menurut akhbar South Morning China Post, pergaduhan tercetus di Yuyao minggu lalu selepas penduduk berang dengan laporan berita kerajaan yang menyatakan banjir sudah surut di bandar itu dan penduduk telah kembali menjalani kehidupan seperti biasa. - Agensi

No comments:

Post a Comment