Wednesday 23 October 2013

Pengedar dadah terselamat hukuman gantung dibebas



Tehran: Iran memutuskan untuk membebaskan pengedar dadah disabitkan bersalah yang terselamat selepas menjalani hukuman gantung. 

Pesalah itu, cuma dikenali sebagai Alireza M, 37, diisytiharkan mati awal bulan ini oleh doktor yang hadir menyaksikan hukuman itu selepas tergantung selama 12 minit di penjara di timur laut Iran.


Namun keesokan hari, kakitangan di rumah mayat di bandar raya Bojnourd mendapati beliau masih bernafas. Media kemudian melaporkan beliau koma. 

Laporan memetik Menteri Kehakiman, Mostafa Pour-Mohammadi, yang membuat keputusan selepas menerima laporan dari Iran dan rayuan daripada kumpulan hak antarabangsa yang menentang lelaki ditemui masih hidup di rumah mayat berdepan hukuman mati buat kali kedua. 



Rosak imej Iran 

“Pesalah yang terselamat daripada hukuman mati tidak akan dihukum mati lagi. Selepas berusaha keras menghalang hukuman mati kedua ke atas pesalah ini, kami mendapat reaksi positif,” kata Pour-Mohammadi lewat kelmarin dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita IRNA. 

Semua hal ehwal perundangan dan keputusan di republik itu terletak kepada badan kehakiman, yang tidak terikat dengan kerajaan. 
Pour-Mohammadi berkata, pelaksanaan hukuman mati kali kedua akan merosakkan imej Iran. 

“Jika beliau selamat, tidak wajar menggantungnya sekali lagi,” katanya. 
Kejadian itu mendorong kepada perbahasan hangat antara juri, sebahagiannya menolak hukuman diulangi semula manakala sebahagian lagi menyokong. 

Menurut media, petisyen yang ditandatangani oleh juri dan peguam dihantar kepada Ketua Hakim, Ayatollah Sadeq Larijani, menggesa penangguhan dalam kes berkenaan. 



Pengampunan dan kemaafan 

“Salah satu cara berurusan dengan seseorang yang dihukum gantung dan sudah pun melihat kematian dan berdepan kesukaran itu satu pengampunan, dan individu yang mengalami keadaan seperti ini boleh diberikan pengampunan dan kemaafan oleh sistem Islam dan saya melakukannya,” kata Larijani yang dipetik sebagai berkata oleh ISNA. 

Amnesty International juga menggesa pembatalan hukuman bagi Alireza M. 


Iran mencatatkan kadar hukuman mati tertinggi dunia, dengan lebih 500 kes tahun lalu dan 508 hukuman dijalankan setakat ini, menurut Human Right Watch. 

Tehran berkata, hukuman mati penting untuk mengekalkan undang-undang dan arahan, dan dilaksanakan cuma selepas prosiding perundangan. 

Pembunuhan, rogol, rompakan bersenjata, penyeludupan dadah dan zina adalah antara jenayah berat yang berdepan hukuman mati di Iran, berdasarkan undang-undang Syariah yang dipakai sejak revolusi Islam 1979. - AGENSI

No comments:

Post a Comment