Wednesday, 9 October 2013

Hayati peninggalan Rasulullah


inilah makam Rasulullah

PENINGGALAN warisan Rasulullah SAW amatlah bernilai tinggi dan menyentuh hati kita semua. Perjuangan baginda begitu mulia sehingga nikmat Islam dapat dirasakan di seluruh jagat maya.

Machael Hart seorang penulis Barat terkenal mengatakan dalam bukunya, bahawa Nabi Muhammad adalah antara insan paling mulia dan berpengaruh dalam 100 orang tokoh-tokoh dunia yang terkenal dan disanjung tinggi.

Nabi Muhammad berada pada kedudukan pertama sebagai perwira dan pahlawan dunia.

Apabila kita berjauhan dengan Rasulullah SAW, kita hanya boleh menemui baginda dalam doa atau berkunjung ke makam baginda di Masjid Nabawi, khasnya bagi mereka yang berkesempatan menunaikan ibadat umrah atau haji.

Kita memohon syafaat Nabi SAW untuk keselamatan di dunia, lebih-lebih lagi bagi keselamatan di akhirat kelak daripada azab api neraka.

Dengan melihat gambar barang-barang peninggalan baginda dapat mengubati kerinduan kita yang sangat mendalam kepada kekasih Allah ini, peribadi mulia dan contoh utama umat manusia.

Ribuan manusia menitiskan air mata setelah melihat secara langsung baju baginda yang sudah lusuh, begitu juga dengan selipar, serban, pedang dan sebagainya. Kini, ia semua hanya tinggal kenangan yang abadi untuk generasi umat seterusnya.

Di antara warisan peninggalan Baginda yang wajar dihayati sepanjang zaman sebagai mengembalikan kenangan dan perjuangan baginda SAW seperti Gamis/baju Rasulullah yang lusuh, robek dan sederhana, jubah Rasulullah yang sudah koyak-koyak, selipar, mangkuk minuman, gigi, rambut, bekas kotak gigi, bekas ubat-ubat, cop, bekas jejak tapak kaki Rasulullah SAW, serban, topi perang, pedang, anak kunci Kaabah pada zaman Rasulullah, bendera, pelbagai surat baginda dan sudah tentunya dua warisan peninggalan Nabi SAW yang paling nyata adalah al-Quran dan hadis-hadisnya.

Inilah peninggalan Rasulullah SAW yang paling berharga sebagai pedoman umat manusia ke jalan yang benar yang memandu manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Sebaliknya sesiapa yang membelakangi pengajaran al-Quran dan sunah akan menemui jalan buntu dan kesesatan serta balasannya adalah neraka.

Adapun sebahagian barangan peninggalan di atas hanyalah sebagai medium untuk menumbuhkan kerinduan dan meningkatkan kecintaan kita kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dan juga kepada Allah SWT.
Hakikatnya, kecintaan yang utama kepada baginda SAW adalah melaksanakan ajarannya dan meninggalkan tegahannya semaksimum mungkin.


No comments:

Post a Comment