Wednesday, 16 October 2013

Kelebihan membaca dan beramal dengan al-Quran

Daripada Abu Umamah al-Bahili, katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Ali-Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang sihir).” (Riwayat Muslim)

Al-Quran adalah petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadilat atau hikmat yang tidak diketahui manusia. Di samping itu, al-Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti serta mengamalkannya menurut ketentuan sunnah.


Pendinding daripada kejahatan 
"Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang sihir).” (Riwayat Muslim)

Kita juga perlu yakin terhadap kebesaran Allah SWT dan keagungan kalimah Allah SWT yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa ghaib pengamal ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam).

Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

Daripada Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Dua ayat dari akhir surah al-Baqarah, sesiapa yang membacanya maka cukuplah baginya daripada mengadakan qiamullail (atau kedua-duanya akan menjaganya dari segala kejahatan dan perkara yang tidak disukai.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Adalah lebih baik untuk kita menghafal ayat al-Quran atau beramal dengan ayat al-Quran serta doa khusus untuk memohon daripada Allah SWT dan menghindari daripada apa yang tidak diingini. 
Jangan sesekali kita terjebak dengan amalan khurafat, termasuk percaya kepada bomoh yang kononnya dapat membantu menghalau jin dan syaitan yang kebiasaannya mereka memuja perkara khurafat.

Perlu juga diingat tujuan al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk dijadikan azimat atau hanya disimpan sebagai perhiasan tetapi al-Quran diturunkan untuk dibaca, difahami, dikaji, dipelajari, diambil iktibar dan dijadikan pedoman serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment