Friday, 11 October 2013

Integriti amalan murni tuntutan Islam

Perkara asas dalam menentukan kecemerlangan negara

Integriti adalah istilah merujuk kepada tingkah laku berakhlak meliputi pelbagai nilai murni terutama amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab serta adil yang membentuk keutuhan peribadi. Menurut Ibn Manzur, akhlak yang baik ialah cerminan kepada nilai yang terbit daripada diri dan naluri manusia.


Himpunan nilai baik ini menjadi suatu tuntutan dan syarat bagi sesuatu kerja itu diterima sebagai ibadat di sisi Allah SWT. Ia sekali gus menjadi imej dan standard kualiti Islam bagi setiap amalan. 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya agama itu (al-din) adalah akhlak yang baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Malah, menurut Abu Ali Miskawayh dalam Tahdhib al-Akhlaq wa Tathir al-A’raq, akhlak adalah perkara asas yang menentukan kecemerlangan bagi sesebuah negara. Integriti bukan saja menjadi asas pelaksanaan tetapi juga asas ketikadalam mengendalikan pemantau an dan penguatkuasaan.

Elak perkara tak diingini

Penguatkuasaan adalah proses tindakan untuk memastikan setiap urusan perkhidmatan berjalan dengan lancar dan betul mengikut ketetapan peraturan, undang-undang atau polisi. Ia bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat serta mengelakkan perkara tidak diingini. 
Penguatkuasaan telah diamalkan oleh Rasulullah SAW melalui kaedah yang dinamakan al-hisbah. Baginda melantik antaranya Sa’id bin Sa’id bin al-’As sebagai penyelia pasar di Kota Makkah dan Saidina Umar bin al-Khattab pula di Kota Madinah. 

Al-Mawardi dalam kitab beliau yang terkenal al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan, al-hisbah itu ialah melaksanakan tugas menyeru melakukan makruf (kebaikan) jika teryata ditinggalkan dan mencegah melakukan kemungkaran yang jelas dilakukan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 104) 

Namun, dalam memenuhi amanah penguatkuasaan, pegawai penguatkuasa sering berdepan cemuhan dan kata-kata kasar oleh sesetengah masyarakat, walaupun melanggar peraturan. Tidak dinafikan, sifat semula jadi manusia tidak mahu diikat dengan peraturan tertentu, namun kita juga tidak mahu jika hak dan kebajikan tidak ditunaikan dengan baik. 

Justeru, dalam melakukan penguatkuasaan, nilai integriti perlu diperkukuhkan untuk melaksanakan tanggungjawab berhemah, bersabar dan dihormati. Penguatkuasaan berintegriti perlu menepati beberapa etika teras.

Memahami peruntukan peraturan dan dasar dengan jelas, mampu memperjelaskannya secara berhemah kepada masyarakat awam, bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan tanpa curi tulang dan culas, beramanah melaksanakan penguatkuasaan tanpa penipuan, menerima suapan dan pilih kasih. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (orang mukmin) yang berbahagia ialah orang yang terhadap amanah dan janjinya dijaga.” (Surah al-Mukminun, ayat 8) 

Bertimbang rasa iaitu mendapatkan penjelasan dan mendengarnya sebelum mengambil tindakan atau mengenakan hukuman, memberi nasihat atau peringatan, mempertimbangkan sebab atau alasan diberi dan memastikan benar-benar wujudnya kesalahan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Jadi contoh kepada masyarakat

Keberanian ialah kekuatan dan keteguhan hati dalam mempertahankan kebenaran. Saidina Umar bin al-Khattab adalah pemimpin yang tegas dan berani dalam mengawasi kegiatan perniagaan di pasar.

Beliau diriwayatkan pernah mengenakan hukuman terhadap penjual yang berniaga sehingga mengganggu lalu lintas dan mencurahkan susu yang bercampur dengan air. 
Menjaga kemuliaan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT kerana pegawai penguatkuasa adalah contoh teladan bagi masyarakat. 

Saidina Umar juga diriwayatkan pernah menguji seorang pengembala ternakan untuk menjual kepadanya seekor daripada haiwan gembalaannya untuk melihat sejauh mana kekuatan kemuliaan diri pengembala itu.

Sifat amanah pengembala dengan enggan menjualkannya kepada khalifah telah mendapat pujian. Lantas Saidina Umar memerdekakan pengembala serta mendoakan supaya dia akan dibebaskan oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka di akhirat kelak kerana sifat jujur dan amanahnya. Berkomunikasi dengan sopan dan beradab tanpa mengira pangkat atau latar belakang, tabah hati iaitu tidak mudah berputus asa dan lemah semangat, terutama apabila berhadapan kerenah serta cemuhan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) tidak akan membiarkan segala usaha yang terbaik yang telah dilakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 30) 

Justeru, penekanan integriti dalam penguatkuasaan perlu diperhebatkan bagi memastikan setiap polisi dan peraturan benar-benar bermanfaat kepada masyarakat, selain mengelakkan keburukan daripada berleluasa.



Credit: Prof. Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail.


No comments:

Post a Comment