Tuesday, 1 October 2013

Amukan harimau kumbang

Amukan harimau kumbang
Bangkai kambing dalam kandang bergelimpangan dipercayai digigit harimau kumbang.

KUALA PILAH – Pengusaha ternakan kambing biri-biri di Kampung Mungkal, dekat sini, terkejut apabila mendapati sembilan kambing ternakannya mati, manakala dua lagi hilang.

Abdul Mujid Nong Singah, 30, berkata, misteri kehilangan haiwan ternakan itu dikesan kira-kira 7 pagi, kelmarin ketika abangnya, Nor Hairukha, 41, pergi ke kandang untuk memberi makan kepada ternakan mereka.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati bangkai kambing bergelimpangan di kandang berkenaan, manakala 69 kambing serta 60 lembu seolah-olah ketakutan.

“Abang segera memaklumkan kepada saya mengenai perkara itu sebelum memeriksa keadaan kawasan sekeliling. Saya lihat kandang terkopak serta terdapat kesan tapak kaki dipercayai harimau.

"Terdapat kesan gigit seperti taring di leher kambing dan ternakan lembu berada jauh dari kandang kambing," katanya.

Menurut Abdul Mujid, dia percaya haiwan itu lebih besar kerana mampu melarikan kambing berkenaan yang beratnya dianggarkan 28 hingga 30 kilogram.

"Bayangkan seekor kambing berat 28 kilogram. Ini bermakna, harimau ataupun binatang itu lebih besar serta mampu melarikan kambing berkenaan. Malah, kita juga percaya haiwan itu lebih dari seekor.

"Ini adalah kejadian kali pertama sejak kami menceburi bidang ternakan kambing pada 1989. Legasi ini diteruskan saya dan adik-beradik lain selepas kedua ibu bapa kami uzur dan tidak mampu meneruskan perusahaan ini," katanya yang telah membuat
laporan di Balai Polis Kuala Pilah, kira-kira11 pagi kelmarin.


Penduduk kampung bimbang 

Sementara itu, katanya, keadaan itu juga mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk kerana risau dengan keselamatan mereka.

"Sebelum ini, memang ada ternakan hilang ketika meragut rumput, namun belum pernah berlaku seperti ini, sehingga menyerang ternakan di dalam kandang. Ia seolah-olah memberi amaran kepada penternak serta penduduk agar lebih berhati-hati ketika masuk ke dalam hutan untuk menoreh getah.

"Bersebelahan dengan ladang pokok getah terdapat hutan yang telah diterokai. Jadi, apabila hutan itu dibersihkan, haiwan itu mungkin mencari tempat berlindung dan dipercayai berada kawasan ladang getah.

“Saya bimbang sekiranya haiwan itu bertindak luar jangkaan dan saya berharap pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah ini," katanya yang kerugian RM7,000 dalam kejadian itu.


Perhilitan pasang perangkap 
Sementara itu, ibunya, Nor Asiah Yunus, 61, berkata, dia terdengar suara kambing mengembek sekitar jam 4 pagi, namun tidak menyangka perkara buruk berlaku.

"Makcik memang ada terdengar bunyi bising dari arah kandang kambing.

Makcik bangun dan menjengah ke luar menerusi tingkap namun tidak nampak apa-apa yang mencurigakan.

“Tidak sangka pula perkara ini berlaku dan makcik berharap sangat agar haiwan itu segera ditangkap kerana bimbang keselamatan kami," katanya.

Sementara itu, wakil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jempol, Johari Saridi memberitahu, tapak kaki yang ditemui itu dipercayai tapak kaki harimau kumbang dan pihaknya akan memasang perangkap untuk memerangkap haiwan berkenaan.


“Ia dipercayai seekor harimau kumbang berdasarkan ukuran dan bentuk tapak iaitu lebar 88 milimeter dan 75 milimeter panjang. Malah, terdapat kesan gigitan dengan jarak antara taring seluas 45 milimeter kerana dipercayai harimau kumbang memiliki taring lebih besar dari seekor anjing.




“Kita akan memasang sebuah perangkap dengan umpan seekor kambing untuk menarik perhatian haiwan itu untuk memasuki perangkap.

Kita akan cuba jejak bangkai kambing yang telah dilarikan, jika tidak menjumpai, kita akan pasang perangkap ini sekitar kawasan kandang kambing.

“Kita percaya, habitat ini akan datang semula kerana sudah berjaya mengesan lubuk makanannya,” katanya.



Credit: SYAIRAH ABDUL LAJIS

No comments:

Post a Comment