Thursday, 3 October 2013

Wanita ditipu sindiket RM1.74j

SIBU 3 Okt. - Gara-gara percaya dirinya menjadi buruan pihak berkuasa Hong Kong kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang suri rumah tidak teragak-agak membayar wang lebih RM1 juta untuk membersihkan namanya kepada satu sindiket yang memperdayakannya melalui panggilan telefon.

Menurut sumber, mangsa hanya dikenali sebagai Ling menerima panggilan telefon daripada empat individu yang mendakwa diri masing-masing dari Hang Seng Bank, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Hasil Dalam Negeri dan peguam berasal dari Hong Kong pada Mei lalu.

Beliau berkata, keempat-empat individu terbabit mengatakan Ling kini menjadi buruan pihak berkuasa Hong Kong kerana terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

"Bagi membersihkan namanya, Ling dikehendaki membayar sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun yang diberikan.

"Akibat percaya dan takut dikenakan tindakan undang-undang, Ling telah melakukan 62 transaksi wang ke dalam beberapa akaun berjumlah RM1,746,434 sejak 2 Mei hingga September lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, Ling memasukkan wang tersebut ke dalam bank tempatan seperti Public Bank Berhad, CIMB, Maybank, Hong Leong Bank, RHB Bank dan Ambank.

Beliau berkata, suri rumah terbabit membuat pembayaran itu selepas menerima sepucuk surat berbahasa Mandarin didakwa dari Jabatan Hasil Dalam Negeri Hong Kong memaklumkan dia mempunyai hutang sebanyak HK$880,000 (RM362,633.04).

"Akibat bimbang dan takut dengan ugutan 'pihak berkuasa' Hong Kong itu, mangsa meminjam wang daripada suaminya lebih RM300,000 dan menjual barang emas dimiliki seberat lebih tujuh kilogram.

"Suami mangsa berusia 61 tahun yang bekerja sebagai jurugambar berasa hairan apabila isterinya menangis dan meminta bantuan kewangan.

"Dia terkejut apabila mendengar cerita isterinya lalu membawa wanita itu membuat laporan di Balai Polis Sentral Sibu pada pagi ini setelah mengesyaki menjadi mangsa penipuan," katanya.

Pasangan yang mempunyai dua anak berusia 12 dan 18 tahun itu ditemani peguam mereka semasa membuat laporan polis.

Credit: Farhana Joni

No comments:

Post a Comment