Tuesday 8 October 2013

Pengakuan jerat diri

PDRM


BATU GAJAH - Ibarat menggali 'kubur' sendiri. Seorang penganggur yang kononnya mahu bersikap jujur mengaku tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dalam sekatan jalan raya, Sabtu lalu, menjerat diri.

Penganggur berusia 23 tahun yang memandu secara bersendirian itu ditahan dalam sekatan jalan raya Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah di Kampung Changkat Tin-Kampung Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketika ditahan, suspek berterus terang dan mengaku tidak mempunyai lesen memandu.


Pengakuan jerat diri
Shaharon menunjukkan dadah yang ditemui dalam kereta suspek dalam sekatan jalan raya 
Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah di Kampung Changkat Tin-Kampung Gajah pada jam 
1.30 pagi Sabtu lalu

Menurutnya, selepas pengakuan dibuat, anggota bertugas bertindak mengeluarkan saman ke atas suspek kerana kesalahan tersebut.

“Bagaimanapun, semasa saman dikeluarkan, suspek kelihatan menggelabah dan mencurigakan. Susulan itu, anggota kami bertindak membuat pemeriksaan rapi ke atas kenderaan berkenaan.

“Melalui pemeriksaan yang dijalankan, kami menemui lima peket plastik dadah jenis heroin, lima peket plastik dadah jenis syabu dan satu plastik berwarna hitam mengandungi dadah heroin dengan anggaran berat berjumlah 519.6 gram.

“Kesemua dadah ditemui tersembunyi di bawah tempat duduk kereta yang dinaiki suspek. Dadah yang dirampas itu boleh dijual sehingga mencecah RM15,000,” katanya pada sidang media di IPD Batu Gajah, semalam.

Shaharon berkata, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Batu Gajah untuk siasatan lanjut bersama rampasan dadah serta kenderaan yang digunakan.

“Siasatan awal ke atas suspek mendapati dia berperanan sebagai penghantar dadah dan mendapat bekalan dari Simpang Pulai untuk dihantar kepada pengedar di sekitar Kampung Gajah.

“Jika berjaya, suspek akan menerima kadar upah tertentu serta habuan dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya yang memberitahu suspek positif dadah jenis heroin dan syabu selepas ujian saringan air kencing dijalankan.

Beliau berkata, suspek memang dalam senarai dikehendaki polis kerana bertindak sebagai penghantar utama dalam urusan menghantar bekalan dadah kepada pengedar yang memerlukan.

“Kami percaya melalui tangkapan dan rampasan yang dijalankan telah berjaya melumpuhkan penghantaran bekalan dadah di kawasan Perak Tengah.

“Namun, kami masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dalang utama yang terbabit dalam kegiatan penghantaran dadah ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Sungai Jejawi, Teluk Intan itu direman selama tujuh hari sehingga 11 Oktober ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan Seksyen 39A(1) akta yang sama.




Credit: ROSDALILAH ZAHARI

No comments:

Post a Comment