Empat anggota JPAM Kulim yang diketuai Ketua Skuad Saifilizan Azizi, 35 (kanan) menunjukkan
ular tedung selar buluh dan anak ular sawa yang ditemui seorang penduduk Azmi Abdul Rahim,
45, ditepi sebuah longkang di rumahnya, Taman Kerani di Kulim semalam. - Foto Bernama
KULIM - Seorang lelaki tidak menyangka bunyi ganjil yang datang dari sebuah longkang di tepi rumahnya di Taman Kenari di sini malam semalam berpunca daripada dua ekor ular yang sedang berlawan.
Azmi Abdul Rahim, 45, berkata dia agak terperanjat apabila melihat seekor ular tedung selar sedang dibelit seekor anak ular sawa apabila dia menyuluh ke arah bunyi ganjil yang didengarinya.
"Saya minta jiran-jiran memanggil pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kulim membantu menangkap kedua—dua haiwan itu kerana kehadiran haiwan berkenaan amat berbahaya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Azmi berkata, beliau mendengar bunyi ganjil itu kira-kira 10.50 malam ketika membantu membuat persiapan kenduri kahwin anak jirannya.
Sepasukan tiga anggota JPAM yang tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian berjaya menangkap kedua-dua ular tersebut.
Ketua skuad JPAM, Saifulizan Aziz, 34, berkata, ini pengalaman pertamanya menyaksikan ular berlainan spesies berlawan.
Biasanya kami jumpa ular yang berkelahi daripada jenis sama, katanya.
Menurutnya anak ular sawa sepanjang 2.5 meter dan ular tedung selar sepanjang tiga meter itu akan dirujuk ke tempat bersesuaian atau Zoo Ular di Perlis. - Bernama
No comments:
Post a Comment