Sunday, 20 October 2013

Komplot gugat kedaulatan Islam

Kumpulan berselindung di sebalik HAM promosi kebebasan melampau

Hak asasi manusia digerakkan kelompok tertentu di negara ini yang mendapat sokongan kumpulan liberal antarabangsa adalah usaha terancang bagi menggugat dan mencabar prinsip kebebasan yang dibenarkan agama Islam.


Gerakan mencabar keutuhan kesusilaan ajaran Islam itu dapat dilihat melalui penganjuran perhimpunan mempromosikan budaya kebebasan melampau oleh kumpulan bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM). 

Perkara itu dibangkitkan dalam Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam yang dibacakan khatib sebagai peringatan kepada umat Islam mengenai sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland, pada 24 Oktober ini.

Berdasarkan maklumat, ada beberapa laporan dihantar secara berasingan kepada majlis itu oleh 54 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (COMANGO – Gabungan NGO Malaysia dalam proses UPR) yang mahu menggugat kedaulatan Islam di negara ini.

Antara tuntutan dikemukakan ialah hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Intersex, Queerperson (LGBTIQ) dan mempertikaikan peruntukan tertentu dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasikan wanita Islam.

Tuntutan lain termasuklah dakwaan diskriminasi terhadap pengikut Syiah serta bantahan pengharaman bahan-bahan penerbitan yang menyalahi hukum syarak. 


Tindakan pihak berkenaan membuat pelbagai aduan dan tuntutan sedemikian kepada Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, dipertikaikan kerana Malaysia sebuah negara merdeka yang mengamalkan prinsip demokrasi berteraskan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Ambil kesempatan
“Tindak balas serta tingkah laku kumpulan yang memperjuangkan tuntutan ini bakal dijadikan landasan kepada NGO Hak Asasi Manusia tempatan mengambil kesempatan untuk terus mengeliru serta mendatangkan kehancuran terhadap keharmonian masyarakat.

“Ia juga menggugat kedudukan istimewa agama Islam seperti dalam Perlembagaan. Hal ini mungkin terjadi melalui tekanan yang dikenakan terhadap negara kita untuk tunduk dengan berselindung di sebalik apa yang didakwa sebagai hak asasi manusia,” jelas khutbah yang dibaca pada hampir semua masjid di seluruh negara.

Khutbah itu juga menekankan, tindakan membenarkan amalan kebebasan secara mutlak secara langsung bertentangan dengan prinsip serta ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini dan semangat Perlembagaan Persekutuan. 

Keadaan makin meruncing dan memberi ancaman besar kepada kesucian agama kerana desakan didalangi beberapa pihak berkepentingan yang berniat jahat untuk menghancurkan agama dan umat Islam dengan berselindung di sebalik NGO. 

Turut dipetik, penghakiman, hakim Datuk Eusoffe Abdoolcader dalam kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia yang memutuskan kedaulatan undang-undang negara mengatasi pengisytiharan antarabangsa. 

Justeru, pengisytiharan Hak Asasi Manusia di PBB bukanlah berbentuk perjanjian dan tidak boleh mengatasi kedaulatan sesebuah negara.

Umat Islam bertanggungjawab menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap perkara itu bagi menyelamatkan agama dan ummah daripada terus musnah akibat impak amalan bertentangan dengan akidah serta syariah.

“Inilah masanya seluruh umat Islam bersatu hati menolak segala isu dan perkara yang menyalahi akidah serta syariat yang secara halus ditiupkan oleh musuh-musuh Islam atau umat Islam yang telah diperkudakan oleh musuh Islam.

Kuasa di tangan umat Islam 

Umat Islam diingatkan tiada insan memiliki kebebasan mutlak, sebaliknya setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang ditetapkan syarak bersumberkan wahyu daripada Allah SWT.

Hak yang digariskan dan dijamin agama Islam sudah pastinya tidak bertentangan dengan hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum. Perjuangan hak mesti tidak bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran dan kesesuaian fitrah insan.

Kuasa menghentikan kekacauan dan kehancuran terletak di tangan umat Islam dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran. Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat untuk menjatuhkan imej negara.

Sebarang usaha mencemar dan menghina agama Islam sebagai agama negara mesti dihentikan demi menjamin kelangsungan kehidupan harmoni rakyat negara ini seperti yang sudah kita persetujui bersama ketika mula terbentuknya negara ini dan Perlembagaannya.




Credit: Hasliza Hassan

No comments:

Post a Comment