Tuesday 3 January 2012

Syor jadual rehat anjal untuk murid Tahun Satu



  
 

2012/01/04

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyarankan sekolah menyediakan jadual rehat yang fleksibel untuk murid Tahun Satu bagi memastikan mereka mempunyai tenaga untuk belajar. 

Beliau berkata, bagi mengelak murid memasuki bilik darjah dalam keadaan tidak bersarapan, jadual rehat sedia ada iaitu pada 9.45 pagi boleh diubah kepada 9 pagi atau 8.30 pagi khusus untuk minggu pertama musim baru persekolahan.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan sempena hari pertama persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Pantai di sini hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata saranannya itu dibuat selepas diberitahu ramai murid yang ditemuinya bahawa mereka tidak bersarapan pagi sebelum memasuki kelas.
"Jadi saya minta sekolah, mungkin kalau ada keadaan sebegini, jadual untuk rehat boleh dibuat lebih awal, fleksikan, khususnya untuk minggu pertama supaya tiada murid memasuki bilik darjah dalam keadaan tidak bersarapan pagi. 

"Bagi saya itu tidak boleh kita pandang ringan kerana boleh menjejaskan proses pembelajaran. Saya sendiri pun kalau ke pejabat tanpa sarapan pagi akan lesu, kita semua pun begitu, apatah lagi anak-anak kecil," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, saranan itu tidak bermaksud semua sekolah perlu mengubah jadual rehat sedia ada, sebaliknya boleh dilaksanakan berdasarkan pertimbangan bergantung kepada kebijaksanaan sekolah. 

Katanya, saranan itu bertujuan mengelak pelajar daripada menjadi lemah, letih dan lesu. 
Mengenai bekalan buku teks, kerusi dan meja ke sekolah, Muhyiddin berkata semua keperluan itu telah disediakan dengan sempurna hasil persediaan awal yang dibuat sejak tahun lalu. 

Katanya, beliau berpuas hati dengan kelancaran sesi baru persekolahan kerana segala persediaan termasuk dalam aspek infrastruktur seperti kekurangan kerusi dan meja dapat diatasi melalui peruntukan RM20 juta yang disediakan oleh kerajaan. 

Muhyiddin yang tiba pada 8 pagi disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dan guru besar, Sopian Mokhtar. 

Beliau dibawa meninjau ke empat kelas yang menempatkan murid Tahun Satu dan bertanya khabar dan bermesra dengan murid baru, guru serta ibu bapa yang menunggu di luar bilik darjah. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment