Tuesday 3 January 2012

Jauhi pantai Desaru dan pantai-pantai timur Johor


KEADAAN laut bergelora dan angin kencang bahayakan aktiviti pantai di Johor Timur.
KEADAAN laut bergelora dan angin kencang bahayakan aktiviti pantai di Johor Timur.
Monsun Timur Laut jejas aktiviti pengunjung perairan Johor Timur

JOHOR BAHRU: Monsun Timur Laut yang mencapai kelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak hingga ketinggian 5.5 meter, menyebabkan kawasan pantai di perairan Johor Timur khususnya sekitar Desaru ketika ini bahaya untuk sebarang aktiviti mandi manda oleh pengunjungnya.
Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar, berkata, keadaan angin kencang dan ombak tinggi yang melanda perairan ketika ini menyebabkan ia merbahaya kepada orang ramai walaupun mereka mahir berenang.
“Walaupun mahir berenang, namun keadaan di kolam renang jauh berbeza dengan laut yang sedang bergelora ketika ini menyebabkan ia tidak sesuai untuk sebarang aktiviti.

“Angin kencang dengan kelajuan sehingga 60 kilometer sejam dan ombak melebihi 5.5 meter yang sedang melanda ketika ini dijangka berterusan hingga akhir minggu ini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Zulkifli berkata, sepanjang Disember, lima pengunjung pantai mati akibat lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mandi sekitar Pantai Desaru dan Tanjung Balau, dalam tiga kejadian berasingan termasuk dua adik beradik kelmarin.

Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga kini sedang menjalankan operasi mengesan seorang pekerja Indonesia berusia 30-an dipercayai terjatuh ketika melakukan kerja di pelantar minyak di luar perairan Timur Johor. 
“Operasi mencari masih lagi dilakukan selepas kami menerima laporan kejadian itu jam 2.40 petang semalam. Bagaimanapun kita berdepan kesukaran jika mangsa dihanyutkan arus ombak yang kuat.

“Kenaikan paras air laut ketika ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak," katanya. 

Katanya, orang ramai boleh melayari laman web Maritim Malaysia iaitu mmea.gov.my untuk mendapatkan maklumat keadaan cuaca terkini sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

“Pengusaha resort dan hotel di pesisiran pantai juga dinasihatkan mengambil tindakan tegas melarang pelawat mereka daripada terbabit dengan mandi manda dan rekreasi di tepi pantai sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

“APMM berharap sebarang kejadian kemalangan di laut dapat disalurkan dengan segera agar tindakan pantas dapat diambil oleh pasukan penyelamat,” katanya lagi.

Sebarang maklumat boleh menghubungi terus Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerusi talian 07-221 9231 atau Bilik Operasi Maritim Malaysia Wilayah Selatan 07-219 9401 hingga 07-219 9410 yang beroperasi 24 jam. 

No comments:

Post a Comment