عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara yang menyampaikannya mencapai ilmu pengetahuan, Allah akan memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya olehnasab keturunannya".
(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis ini menerangkan tentang:
(1) Galakan memberi pertolongan.
(2) Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3) Rahmat dan pujian Tuhan didapati oleh orang-orang yang berhimpun membaca dan mengulangkaji kitab Allah.
(4) Amalan seseorang sahajalah yang menentukan maju mundurnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada pertolongan itu kecil atau besar, amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun dapat memberikan sebarangpertolongan?
Di antara pertolongan yang sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan memberi nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau darisebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama, maka dikehendaki menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak berdasarkanmazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis, bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan sesuatu maksiat, maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara yang buruk, maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak harus didedahkan atau diperkatakan, keranaperbuatan yang demikian adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat, yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman.
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan beberapa syarat:
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang tidak terkenal berperangaiburuk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau rawi hadis ataupemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya bersifatadil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan yang tersebut, tetap berolehpertolongan Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak, yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan membaca, menulisnya, menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut, maka Rasulullah s.a.w. memberijaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga.
(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan sesuatu amal ibadat, sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan, dilingkungi oleh malaikat-malaikatberkat dan puji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari dorongan jiwanya yangtidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri oleh rahmat Allah; dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu agama.
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih, bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan, maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya." Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah Taala menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang yang sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang yang duduk bersama-sama mereka".
(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya, kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a., supaya masing-masing menebus diri dariazab seksa, dengan amal taat yang sempurna, kerana Baginda tidak berkuasamenolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal denganmengharapkan kelebihan nasab keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup memberi pertolongan, pada "hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi Allah! "
No comments:
Post a Comment