Wednesday 25 January 2012

Bateri mesra alam..Kita selangkah dihadapn.


Bateri hasil buangan cacing



Ujian menunjukkan bateri organik mempunyai kuasa menggantikan bateri biasa.


Anda biasa menggunakan bateri atau sel kering untuk pelbagai kegunaan menyalurkan sumber kuasa kepada peralatan elektrik tetapi tidak mengetahui bagaimana tenaga tersebut dihasilkan dan bagaimana ia berfungsi, menyalakan lampu sebagai contoh.

Sebahagian besar daripada pengguna pula tidak mengetahui ke mana bateri tersebut digunakan selepas habis kuasanya dan ini tentulah membebankan alam sekitar.

Bateri dibuat sebahagian besarnya melibatkan bahan kimia dan melihat kepada komponen tersebut, ternyatalah sesuatu perlu dilakukan supaya lambakan bateri terpakai dapat dikurangkan.

Menyedari beban tersebut terus 'diserahkan' kepada alam sekitar, sekumpulan tiga penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan menghasilkan bateri yang memanfaatkan bahan semula jadi.

Ketiga-tiga penyelidik terbabit ialah Nor Maniha Abdul Ghani, Rohana Abdul Karim dari Fakulti Elektrik dan Kejuruteraan UMP dan Nur Nadia Syamila Nasari dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping menggunakan hasil buangan cacing sebagai ganti bateri.

Menurut Nor Maniha, idea menjalankan penyelidikan berkenaan tercetus apabila menyedari mudarat penggunaan bahan kimia daripada bateri yang larut dengan air di dalam tanah mendatangkan bahaya kepada alam sekitar dan orang ramai yang menggunakan air tersebut.

Nur Nadia Syamila pertama sekali mendapat idea tersebut daripada matapelajaran Inovasi yang diadakan di sekolah beliau.

Selepas mengetahui kemampuan najis cacing menghasilkan cas, beliau memulakan kajian menggunakan hasil kompos cacing atau vermikompos tersebut pada tahun 2010.

Beliau menggunakan tiga jenis makanan cacing iaitu serbuk teh yang telah digunakan, hampas kelapa dan hampas tebu. Ketiga tiga bahan sisa tersebut dicampur dengan tanah untuk menetapkan nilai kemasaman (pH) kepada neutral atau 7.

Selepas itu cacing spesies Eisiena foetida (spesies cacing merah) diletakkan bersama campuran berkenaan dan dibiarkan selama 10 hari.

''Najis yang diperoleh daripada proses tersebut diambil dan diletakkan ke dalam bekas yang telah di fabrikasikan untuk ujian voltan, arus dan kuasa yang boleh dihasilkan oleh komposisi berkenaan," kata Nor Maniha.
Beliau dan kumpulannya gembira hasil kajian mereka mendapati bahawa voltan yang dihasilkan mampu mencapai 1.5V seperti yang terdapat pada bateri sedia ada di pasaran.

"Kami berharap penyelidikan tersebut dapat menghasilkan elektrik daripada bahan buangan yang dikomposkan menggunakan teknolog
i rendah kos dan mesra alam,'' ujarnya sambil memberitahu bahawa penyelidikan tersebut sudah dipatenkan.
Justeru bateri yang dihasilkan mesra alam dan tidak mengancam alam sekitar
Bertitik-tolak daripada kejayaan itu, mereka kini memikirkan bagaimana menghasilkan rangka bateria yang menggunakan bahan mesra alam yang lebih mudah terurai.
Penyelidikan tersebut berjaya menarik minat sebuah syarikat tempatan. Eti Tech (M) Sdn. Bhd. untuk mengkomersialkannya.

Credit to: Utusan/LAUPA JUNUS

No comments:

Post a Comment