Wednesday 25 January 2012

Daerah Tenom, Sabah...Jom jalan-jalan

Setelah puas mengembara ke tempat modern yang pelbagai rupa bentuk muka bumi...apa kata anda melawat pula daerah Tenom yang terletak di pedalaman negeri Sabah. Terletak di selatan Kota Kinabalu..Inilah daerah dimana tiga perkara menjadi sebuatan...Kopi Tenom yang harum, Stesen Keretapi Tenom (Keretapi Negeri Sabah), dan Taman Pertanian Sabah yang terletak di Lagut, Tenom. Jom jalan-jalan.......


Pejabat Taman Pertanian Sabah...Tenom.


    Indahnya sekitar Taman Pertanian ini...     
Kalau penat berjalan kaki boleh naik tram ni....

      
Di Sabah...ini dipanggil 'payau'

                    


 
               Pemandangan pekan Tenom.

   
Pasar Awam Tenom.                                 Suku kaum Murut...

   
Pusat Kebudayaan Murut.               Padang daerah Tenom.

   
                                                                             Hentian bas Tenom

 
Pekan Tenom diwaktu malam                        dan diwaktu siangnya..

 
Salah satu jalanraya di Tenom                  Keretapi Negeri Sabah...

  
Ahaa..kopi Tenom yang terkenal              Ontoros Antanom...dibunuh Inggeris 1915




SEJARAH DAERAH TENOM
Daerah Tenom telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1900an. Pegawai Dearah yang pertama bernama bernama M.C.M. Weedon. Pembukaaan Daerah Tenom oleh pihak Inggeris bermula dengan pembukaan Sapong Estate dan Melalap Estate. Namun demikian, mengikut kajian Arkeologi yang dibuat oleh T.R William (1962).  Dr. Neville (1963) A.H Dumbelton dan  F. Wassey (1984) serta Ian Crawton (1980), ke atas beberapa tempat di Tenom seperti Batu Penotal (Penotal Gorge) dan bukit bukau di Banjaran Kroker (Crocker Range) terbukti kawasan ini telah diduduki sejak pra sejarah lagi. Di kawasan ini dijumpai 'Batu Penukul' beliung, batu yang digunakan oleh orang orang Murut untuk memburu dan membuat pakaian.  Pada mulanya nama Daerah Tenom adalah Port Birch, iaitu sempena nama Gabenor E.W Brich (1901-1904) . Bagaimanapun nama Tenom telah ujud pada tahun 1904 berikutan  dengan siapnya pembinaan jalan keretapi dari Beaufort  ke Tenom dan Melalap. 

LOKASI DAERAH/TOPOGRAFI/TANAH PERTANIAN. 
Kedudukan Tenom adalah dikelilingi oleh sempadan dengan Daerah Keningau, Sipitang, Beaufort dan Wilayah Kalimantan Indonesia.  Keluasan Daerah Tenom kira kira 2,238 km atau 930 batu persegi dan meliputi Daerah Kecil Kemabong. Topografi adalah bukit bukau. Hujan Tropika yang lebat dan subur didapati di tanah-tanah rendah dan berbukit bukau dan amat sesuai untuk aktiviti pertanian.  Dua buah sungai yang mengalir melalui daerah ini iaitu Sungai Padas dan Sungai Pagalan, merupakan sumber air kepada penduduk-penduduk Daerah Tenom dan juga sebagai penjana bekalan api Elektrik Hidro Tenom Pangi.  Manakala taburan hujan di Daerah Tenom pada tahun 2000 ialah 1,937.9mm. 

PENDUDUK 
Daerah Tenom mempunyai bilangan penduduk seramai 39,240 orang mengikut banci (Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia Tahun 2000).  Pada tahun 2006 penduduk Tenom seramai 51,000 orang . Bilangan ini termasuk Daerah Kecil Kemabong. Suku kaum Murut merupakan suku kaum yang terbesar iaitu 60%,  diikuti oleh cina 20%, Melayu 10%, Dusun/Kadazan 8%  dan lain-lain 2%. Suku kaum Murut terbahagi kepada dua kumpulan iaitu suku Murut Timugon dan Murut Tagol Suku kaum Murut Timugon kebanyakannya menetap di Kawasan Mukim Pekan, Mukim Melalap dan Mukim Entabuan manakala kaum Murut Tagol menetap di kawasan di Mukim Sapong, Mukim Kemabong, Mukim Tomani dan Mukim Rundum.

SOSIO BUDAYA 
Daerah Tenom mempunyai kebudayaan dari berbagai kaum. Ia memberi sumbangan dan gabungan dari berbagai kaum, khususnya Murut Tagol, Murut Timugon, dan Suku Lundayeh, Melayu dan Cina.  Sikap tolak ansur antara kaum juga nampak dan jelas menjadikan pegangan. Semua bentuk kebudayaan serta agama lain adalah dihormati. Di majlis-majlis perkahwinan, Sambutan Hari Raya Aidilfitri/Adha, Hari Natal atau Krismas, Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan atau hari Napangan Nanantab dan lain lain, masyarakat dari semua kaum akan bergaul dan mengunjungi rumah saudara mara tanpa mengira keturunan dan agama demi mengeratkan tali persahabatan serta muhibbah yang telah diamalkan sejak sekian lama. 

AGAMA 
Agama Kristian dianuti oleh sebahagian daripada masyarakat Murut Lundayeh dan Kadazan / Dusun.  Agama Buddha dianuti oleh Masyarakat Cina. Selain itu terdapat sebahagian daripada masyarakat Murut Lundayeh, Cina yang menganuti agama Islam, Tao, Nasrani dan ada juga yang masih Pagan. Walaupun agama yang dianuti oleh masyarakat di Tenom, sesuatu yang jelas ialah kepatuhan terhadap tanggungjawab untuk mengerjakan ibadat sembahyang di kalangan komumniti -komumniti yang mengamalkan sistem yang berbeza-beza.  Semuanya ini melambangkan toleransi yang wujud di kalangan kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza itu dan jelas juga selaras seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

PERHUBUNGAN 
Daerah Tenom boleh dihubungi dengan jalan darat melalui Jalan Kimanis - Papar dan Tambunan - Keningau atau Bamban Kemabong - Sipitang dengan jarak lebih kurang 209 kilometer.  Daerah Tenom tidak mempunyai masalah tentang perhubungan jalan darat oleh kerana hampir keseluruhan kampung dalam Daerah Tenom telahpun mendapat perhubungan jalanraya, samada ianya dibina oleh Kerajaan melalui Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pembangunan Persekutuan ataupun Syarikat-Syarikat Pembalakan. Selain itu terdapat juga perkidhmatan keretapi daripada Stesyen Tanjung Aru, Kota Kinabalu melalui Papar - Bongawan, Membakut dan Beaufort sejauh 134 kilometer.

EKONOMI 
Kedudukan Ekonomi Daerah Tenom adalah bergantung kepada hasil pertanian terutama sekali pengeluaran getah yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk Daerah Tenom. Pada masa kini pertumbuhan ekonomi di daerah ini telah meningkat dengan perwujudan pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan terutama sekali pertumbuhan sector Perindustrian, Perkilangan dan juga Pelancongan .

PERTANIAN 
Pada asasnya Dearah Tenom mempunyai keluasan kawasan yang berpotensi untuk pertanian berjumlah 30,000 hektar.Sehingga tahun 2000 keluasan yang diusahakan berjumlah 22,000 hektar. Tanaman utama ialah Getah dan diikuti oleh Koko, Kopi, padi sawah dan diikuti oleh tanaman buah-buahan.  Stesen Penyelidikan Lagud Seberang adalah sebuah Pusat Penyelidikan dan Kajian terhadap pelbagai tanaman seperti Koko, Kopi, Buah-Buahan dan lain lain. Selain itu pusat ini juga ada menjual pelbagai jenis benih ( bibit ) buah-buahan untuk dijual kepada orang ramai. Di Daerah Tenom juga terdapat beberapa Agensi Kerajaan yang memainkan peranan penting dalam Pertubuhan Peladang seperti Tanah Negeri Sabah, Lembaga Industri Getah Sabah.

PENTADBIRAN
 Daerah Tenom mempunyai  07 Kawasan Mukim termasuk Daerah Kecil Kemabong dan 201 buah kampung, 116 buah Badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.  Seorang Ketua Daerah, 07orang Ketua Anak Negeri, 27 Wakil Ketua Anak Negeri, 27 orang Ketua Kampung serta 06 Ketua Masyarakat Cina. Daerah ini mempunyai Pusat Pentadbiran yang ditempatkan di Pekan Tenom yang diketuai oleh Pegawai Daerah,  Tuan Faimin Kamin selaku Pegawai Daerah yang ke 21 disamping Ketua Ketua Jabatan yang lain seperti Kuasa Kuasa Tempatan.  Jabatan-Jabatan Negeri dan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Negeri dan Persekutuan.

KAWASAN PILIHANRAYA 
Daerah Tenom mempunyai Dua Kawasan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah iaitu Kawasan N.35 MELALAP yang diwakili oleh Yang Berhormat Datuk Radin Malleh (PBS-BN) dan Kawasan DUN N.36 KEMABONG diwakili oleh Yang Berhormat Datuk Rubin Balang.   Kedua-dua Kawasan Pilihanraya N.35 MELALAP dan N.36 KEMABONG adalah termasuk dalam Kawasan Pilihanraya Parlimen P.181 TENOM yang diwakili oleh Yang Berhormat Tuan Raime Unggi.  Jumlah Pemilih Kawasan DUN.35 MELALAP  ialah 16,607 orang dan Kawasan DUN.36 KEMABONG ialah 11,140 orang pemilih, manakala jumlah pemilih Kawasan Parlimen P.181 TENOM ialah 27,747 orang pemilih. 

KEPESATAN PEMBANGUNAN 
Daerah Tenom kini bersama maju dengan daerah daerah lain di Negeri Sabah. Berbagai kemudahan asas disediakan oleh Kerajaan.  Di Daerah Tenom, dulunya adalah sebuah daerah yang agak suntyi dan terpencil daripada berbagai kemudahan, kini daerah ini telah berubah wajah kepada sebuah daerah yang sama sama maju. Daerah yang membangun dengan adanya projek-projek yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan sejak Merdeka seperti Bangunan Jabatan Kerajaan, beberapa buah sekolah Menengah, Sekolah Rendah, Bangunan Kedai yang Baru, Perumahan Kos Rendah, Pusat Kesihatan Hospital, Masjid, Gereja, Tokong dan sebagainya.  Pembinaan sebuah jalanraya Tenom ke Beaufort menyeberangi Sungai Padas adalah satu satunya projek yang menjadi lambang kemegahan dan mercu tanda untuk Daerah Tenom khasnya dan seluruh masyarakat di Bahagian Pendalaman Atas amnya yang akan menikmati kemudahan jalanraya tersebut. Di samping kepesatan pembangunan yang berlaku di daerah ini, kampung-kampung dalam daerah ini turut sama menikmati kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan seperti Masjid, Gereja, Surau, Chapel, Tokong, Sekolah,  Klinik, Balairaya, Rumah Kebudayaan, Bekalan Api ELektrik Bekalan Air, Jalanraya dan sebagainya.  Untuk kemudahan penduduk-penduduk kampung.

BEKALAN AIR 
Sumber Bekalan Air Tenom ialah Sungai Padas. Bekalan air bersih tidak menjadi masalah, kini terdapat dua buah Loji Penapis Air  iaitu di Tenom dan Daerah Kecil Kemabong. Selain itu terdapat juga Bekalan Air Gravity oleh Jabatan Air dan Jabatan Kesihatan.

BEKALAN API LETRIK 
Di Daerah Tenom terdapat sebuah Janakuasa Hidro Elektrik yang terdapat di Pangi. Janakuasa Hidro Elektrik ini satu-satunya merupakan Stesen Run Off River yang pertama di Sabah. Kemampuan Bekalan Elektrik ini ialah 66 Megawat. Stesen ini memebekalkan tenaga ke Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau dan Tenom. Kini kira kira 6,169 buah rumah di daerah ini telah mendapat kemudahan elektrik.

SEKOLAH 
Di Daerah Tenom sehingga 31 Januari 2001 terdapat 50 buah sekolah iaitu 03 buah Sekolah Menengah Kebangsaan, 02 buah Sekolah Menengah Bantuan dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta dan 45 buah Sekolah Rendah yang telah menampung seramai 11,205 orang pelajar Rendah dan Menengah. Bilangan ini tidak termasuk jumlah pelajar Sekolah Swasta. Dari segi tenaga pengajar pula bilangan guru Sekolah Rendah seramai 784 orang.  Manakala bilangan guru Sekolah Menengah 194 orang. 

PERUBATAN DAN KESIHATAN 
Untuk kemudahan kesihatan kepada masyarakat di Daerah Tenom, Kerajaan telah menyediakan pelbagai Pusat Kesihatan. Sebuah Hospital Daerah dan Pusat Kesihatan telah d wujudkan di Pekan Tenom. Ianya memeberi khidmat perubatan dan Kesihatan kepada penduduk di Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong. Kini terdapat 03 buah Pusat Kesihatan dan 08 buah Klinik Desa dan sebuah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak. Selain itu terdapat juga 02 buah Klinik Swasta dan 02 buah Klinik Tradisional. 

PELANCONGAN 
Tenom kaya dengan keindahan alam semulajadi seperti bukit bukau yang penuh misteri dan lengkap dengan tumbuh-tumbuhan pelbagai jenis dan hidupan liar. Sungai-sungai yang hebat dan deras seperti Sungai Padas dan Sungai Pegalan. Di Daerah Tenom terdapat beberapa tempat menarik untuk dilawati oleh para pelancong. Taman Pertanian terletak di Lagud Seberang kira-kira 8 kilometer dari Pekan Tenom. Taman ini menjanjikan kekekalannya sebagai warisan hijau selama-lamanya. Taman Pertanian ini memaparkan aktiviti Kementerian Pertanian Dan Industri Pemakanan Sabah dalam Pembangunan Luar Bandar.  Disini nilai Estetika dan Sains digabungkan bagi mengimbangi zaman yang berlalu dengan masa yang akan datang,  budaya dengan kemajuan serta alam sekitar. Tempat-tempat pelancongan lain yang sedia ada seperti Pusat Kebudayaan Murut di Pulong Melalap. Batu Berukir di Tomani, Air Terjun di Kg. Amboi, Kg. Baru Jumpa, Kg. Kalang dan Reakrasi Air atau White Water Rafting di Pangi. Satu lagi mercu tanda kemegahan  iaitu pembinaan sebuah Tugu sebagai memperingati Pahlawan Murut bernama Antanom atau Ontoros yang berjuang bagi kaum mereka di Rundum pada tahun 1915.

KEMUDAHAN LAIN 
Syarikat Telekom Malaysia ada menyediakan kemudahan perkhidmatan Telekomunikasi. Selain itu terdapat juga sebuah Pejabat Pos bagi Perkhidmatan Pos , dan Pusat Internet Desa ( PID ) yang tertelak di bangunan Pejabat Pos.

TEMPAT PENGINAPAN 
Bagi Pelancong atau Pelawat yang melawat Daerah Tenom tidak mengalami kesulitan tempat tinggal. Tenom mempunyai sebuah Hotel yang Bertaraf antarabangsa, di samping hotel-hotel sederhana, Chalet dan Rumah Rehat yang disewakan dengan harga yang sederhana dan berpatutan.

TEMPAT MAKAN 
Disini terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan dan minuman yang halal. Disamping harganya yang amat berpatutan.

No comments:

Post a Comment