Friday 20 January 2012

Peniaga kuih tarik rakan elak dirempuh treler


Foto Menarik



MUAR: “Saya menarik tangan rakan untuk menyelamatkan diri manakala Rosmi pula dirempuh dan diseret treler hingga terbenam ke dalam parit di belakang gerai kuih,” kata peniaga kuih, Siti Wagiah Amat, 43, menceritakan tragedi mengorbankan ibu tunggal, Rosmi Mahfodz, 42, selepas membeli kuih di gerainya, semalam. Menurut Siti, dia terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat dan terkejut apabila melihat treler itu menghala ke gerainya.

“Tanpa berfikir panjang, saya menarik rakan dan berlari ke kedai runcit berhampiran untuk menyelamatkan diri. Tak sangka arwah tidak sempat berbuat apa-apa dan dirempuh treler terbabit.

“Ia cukup dahsyat dan orang ramai yang ada di sekitar lokasi kejadian cuba membantu, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Menurut Siti, sebelum kejadian, dia melihat Rosmi singgah di kedai runcit berhampiran membeli sayur dan ikan sebelum beredar ke arah Parit Sulong.

“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit kemudian, Rosmi berpatah balik dan singgah untuk membeli kuih dan ketika dia membeli karipap serta pau, saya lihat mukanya pucat tetapi ceria,” katanya yang mengenali Rosmi yang juga tukang urut sejak 23 tahun lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Arif Jili berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 7.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota dan sebuah jentera.

“Keadaan parit dan tanah gambut menyukarkan kerja mengeluarkan mangsa yang berada di bawah tayar treler berkenaan. “Kami terpaksa mendapatkan bantuan dua kren untuk mengangkat treler yang terbenam bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurut Arif, jenazah mangsa berjaya dikeluarkan tiga jam kemudian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang dihubungi mengesahkan kejadian.

“Jenazah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan, pemandu treler, kelindan, pemandu empat kenderaan lain serta penumpang terselamat.

No comments:

Post a Comment