Friday 6 January 2012

AL IMAM AL MAWARDI


Imam Mawardi adalah seorang ulamak berbangsa Arab lagi faqeh dan tergolong di kalangan ulamak feqh bermazhab Syafie yang terulung. Beliau juga dianggap sebagai salah seorang daripada pemikir Islam dan tokoh politik yang paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiah. 

Nama beliau yang sebenarnya ialah Abu Hassan Ali bin Muhammad bin Habib Mawardi al-Basriyi as-Syafie. Nasab nama beliau dinisbahkan kepada nama Mawardi kerana bapanya seorang penjual air mawar (مَاءُ الْوَرْدِ). Di dalam kitab صبح الأعشى jilid 6 halaman 243, disebutkan ulamak-ulamak yang menukilkan perjalanan hidup beliau berpendapat umur Imam Mawardi ialah 86 tahun. 

Beliau dilahirkan di Basrah pada tahun..
364 Hijrah. Ketika itu, kerajaan Abbasiah sedang berada di puncak ketinggian dalam segi keilmuan dan kemajuan pengetahuan Islam. Beliau wafat pada hari Selasa bulan Rabiul Awal tahun 450 Hijrah. Jenazah beliau disembahyangkan oleh Khatib Baghdadi, para ulamak dan pembesar kerajaan di masjid Madinah. Dinukilkan bahawa kewafatan beliau ialah selama 11 hari selepas wafatnya Abu Taib Tabari.

Beliau mempunyai seorang saudara lelaki yang tinggal di Basrah. Keduanya saling berutusan surat untuk bertanyakan tentang hal masing-masing. Pada suatu hari, saudara beliau telah mengutus surat dari Basrah kepada beliau yang pada masa itu tinggal di kota Baghdad. Dalam surat itu, saudara beliau telah menulis sebuah syair:

Kenyamanan udara kota Baghdad yang merindukanku,
Pergi mengunjunginya biarpun kemampuanku terbatas,
Betapakah kesabaranku kini padanya bila kan bertemu,
Dua kenyamanan udara berpanjangan dan berlalu amat singkat.

Dalam kitab أدب القاضي jilid 1 halaman 22, dinyatakan beliau berasal dari sebuah keluarga yang sememangnya sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Keluarga beliau sentiasa mengambil berat tentang pendidikannya dan pengajiannya. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di kota Baghdad untuk meluaskan pengajian di dalam bidang keilmuan.

Pada peringkat awalnya, semasa menuntut ilmu di Basrah, beliau mendapat bimbingan daripada Abu Qasim Syaumiri, iaitu seorang ulamak yang terkenal di Basrah pada masa itu. Kemudian beliau berhijrah ke kota Baghdad dan tinggal di sana untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada Imam Za’farani. Di sana beliau belajar hadis dan mengambil ilmu feqh. Beliau juga berguru dengan Abu Hamid Isfaraini untuk melengkapkan keilmuannya.

Apabila telah mencapai satu taraf yang berkebolehan dan mempunyai ketokohan yang berketrampilan, beliau dibenarkan untuk mengajar ilmu pengetahuan yang telah dipelajari di kota Basrah dan Baghdad. Beliau juga berpindah ke bandar-bandar lain semata-mata untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agamanya sehinggalah beliau dilantik menjadi sebagai seorang qadhi di beberapa buah bandar. Tetapi akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk menetap di kota Baghdad untuk selama beberapa tahun.

Di sana, beliau telah mengajar ilmu hadis, mentafsirkan al-Qur’an dan mengarang beberapa buah kitab. Kitab karangannya yang banyak menunjukkan beliau sememangnya alim dalam bidang ilmu hadis, feqh, sastera, nahu, falsafah, ilmu kemasyarakatan, politik dan ilmu akhlak.

Beliau digelar sebagai qadhil qudhat (ketua para hakim) pada tahun 429 Hijrah sehingga sebahagian daripada ahli-ahli feqh pada masa itu tidak bersetuju beliau digelarkan dengan nama itu. Mereka mengatakan, tidak ada seorang pun yang layak untuk dinamakan dengan gelaran itu. Walaupun begitu, beliau tetap dipanggil dengan gelaran tersebut oleh sebahagian ulamak-ulamak pada masa itu. Buktinya, gelaran itu masih lagi dikaitkan dengan nama beliau sehinggalah beliau wafat. Bahkan, gelaran itu masih lagi termuat dalam kitab-kitab ulamak mutaakhirin, juga di dalam risalah-risalah pengkaji keilmuan.

Di sepanjang beliau memegang jawatan sebagai qadhi, beliau dapat mengetahui tentang perjalanan kehidupan seharian orang-orang awam pada zamannya secara dekat. Beliau juga dapat menyelami dan memutuskan perkara-perkara adat kebiasaan seharian untuk disesuaikan dengan panduan syarak. Daripada jawatan qadhi, beliau telah dinaikkan taraf kedudukannya di dalam tugas-tugas pentadbiran yang lebih tinggi. Di dalam jawatan barunya itu, beliau dapat mendekati pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh pembesar kerajaan.

Di dalam kesempatan yang diberikan itu, beliau dapat memberikan sedikit sebanyak tunjuk ajar kepada pihak atasan di dalam peranannya untuk mengislah pentadbiran politik pada masa itu bersesuaian dengan undang-undang Islam. Daripada pengalaman beliau ini, kita dapat tahu beliau bolehlah dianggap sebagai seorang pemikir Islam yang dapat mengubah struktur pentadbiran politik pada masa itu, sekaligus menjadi bukti bahawa seorang pejuang kebenaran tidak seharusnya membiarkan pentadbiran sesebuah kerajaan digelumangi dengan percaturan politik yang tidak berlandaskan kepada panduan undang-undang Ilahi.

Akhlak dan Sifat Peribadinya:

Imam Mawardi sentiasa beriltizam dan beristiqamah sepanjang menghayati segala aktiviti serta gerak kerja kehidupan sehariannya. Beliau sentiasa mengarang dan menulis. Dengan itu, peribadinya sentiasa sesuai dengan kedudukan keilmuannya dan ketinggian keilmuannya.

Beliau juga terkenal sebagai seorang yang sangat dipercayai kebenarannya di kalangan ahli-ahli feqh bermazhab Syafie, seorang yang mulia dan tinggi kedudukannya di kalangan ulamak. Beliau mempunyai fikiran dan pandangan yang terbuka dalam bermazhab dan sentiasa mendalami di dalam setiap ilmu kajiannya. Beliau juga seorang yang lemah lembut, sopan dan tersangat hebat dari segi keilmuannya. Oleh itu, beliau sangat disenangi oleh pemerintah pada masa itu sehingga beliau sendiri mendapat tempat istimewa di hadapan khalifah.

Beliaulah yang sentiasa menjadi orang tengah dengan memberikan jalan penyelesaian sekiranya berlaku beberapa perselisihan pendapat di antara pembesar-pembesar kerajaan, khalifah dan rakyat. Beliau sangat mengambil berat tentang masalah mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat untuk dinikmati oleh umum. Oleh itu, beliau mengarang kitab (أدب الدنيا والدين), di mana di dalamnya terkandung beberapa manhaj untuk mengislah individu dan rakyat keseluruhannya.

Beliau juga terkenal sebagai seorang yang berani untuk menegakkan hak dan kebenaran agama, walaupun beliau berada di kalangan pembesar-pembesar negeri. Dalam satu peristiwa yang berlaku pada tahun 426 Hijrah semasa bulan Ramadhan, khalifah telah memerintahkan agar ditambah شاهين شاه الأعظم atau مالك الملوك pada nama Jalalud Daulah ibn Buwaih. Tidak lama selepas itu, khalifah telah memanggil Jalalud Daulah dengan gelaran itu. Sebahagian ahli feqh pada masa itu melarang penggunaan gelaran itu, lantaran gelaran itu hanya layak untuk Allah SWT sahaja.

Syaimiri memberikan fatwa, penggunaan nama Malikul Muluk adalah bergantung kepada qasad dan niat seseorang. Begitu juga fatwa yang dikeluarkan oleh Abu Taib Tabari, menyebut gelaran Malikul Muluk semata-mata adalah diharuskan. Gelaran ini boleh dimaknakan sebagai raja bagi segala raja-raja di bumi. Seterusnya, beliau memberikan penjelasan, sekiranya seseorang itu boleh dipanggil dengan gelaran qadhi qudhat, gelaran Malikul Muluk juga diharuskan penggunaannya. Pendapat Abu Taib Tabari juga mendapat sokongan daripada Tamimi, salah seorang ulamak bermazhab Hanbali.

Akan tetapi, Imam Mawardi tetap bertegas dengan fatwanya yang mengatakan penggunaan gelaran Malikul Muluk adalah dilarang sama sekali. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, Imam Mawardi adalah di antara orang yang terkenal di kalangan pembesar-pembesar Jalalud Daulah. Selepas Imam Mawardi memberikan fatwa penggunaan gelaran Malikul Muluk dilarang, beliau telah memutuskan hubungan dengan pembesar-pembesar negara. Apabila Jalalud Daulah mengetahui keadaan yang sebenarnya, beliau pun memanggil Imam Mawardi datang ke istana beliau. Imam Mawardi datang dengan rasa serba salah, lantas Jalalud Daulah berkata kepada beliau, “Beta sekarang telah mengetahui keadaan yang sebenarnya. Sekiranya kamu memberikan sesuatu kepada seseorang, nescaya kamu juga memberikannya kepada beta, kerana hubungan yang rapat antara kamu dengan beta. Kamu tidak akan membuat sebarang tindakan dan memberikan fatwa sesuatu kecuali kerana menegakkan agama. Oleh yang demikian, mulai dari sekarang kedudukan kamu akan menjadi lebih tinggi dari sebelum ini di kalangan pembesar-pembesar negara.”

Sebagaimana apa yang telah difatwakan oleh Qadhi Abu Taib Tabari di atas adalah mengikut qias ilmu feqh, sementara fatwa yang telah dikeluarkan oleh Imam Mawardi adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Nama seseorang yang paling hina sekali pada hari kiamat kelak di sisi Allah Taala adalah menggunakan nama gelaran Malikul Muluk.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Bukhari. Di dalam sebuah riwayat yang lain pula Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Kemurkaan Allah akan melampaui terhadap seseorang yang menggunakan nama gelaran Malikul Muluk.” Ibnu Subki kemudiannya menceritakan, selepas itu kebanyakan dari pemerintah kerajaan Bani Buwaih tidak lagi menggunakan nama gelaran Malikul Muluk, kemudian nama gelaran itu sedikit demi sedikit semakin hilang dari disertakan di awal nama-nama pemerintah kerajaan tersebut.

Ibnu Hilkan di dalam kitab وفيات الأعيان jilid 2 halaman 444 menyatakan, Imam Mawardi mempunyai beberapa buah keramat. Sebahagiannya ialah Imam Mawardi tidak menzahirkan segala karangannya semasa beliau masih hidup lagi. Beliau telah menyimpan semua kitab tulisannya di sebuah tempat. Apabila beliau merasakan dirinya akan meninggal dunia, beliau berkata kepada seseorang yang dipercayai kebenarannya seraya menunjukkan kesemua kitab yang tersimpan di tempat yang ditentukan adalah kitab hasil tulisan tangannya. Beliau tidak menzahirkannya kepada umum semasa hayatnya, kerana beliau merasakan tidak ikhlas semasa beliau mengarang setiap barisan tinta yang dimuatkan di dalam kitab-kitab susunannya. Seterusnya, Imam Mawardi berkata kepada orang kepercayaannya, “Sekiranya aku hampir akan menghembuskan nafas yang terakhir nantinya dan berada di dalam keadaan yang nazak, kamu hendaklah meletakkan tangan kamu di atas tangan aku. Sekiranya tangan aku menggenggam tangan kamu, Allah Taala tidak menerima segala daya usaha aku ketika aku menyusun kesemua kitab karangan ini. Dengan itu, kamu hendaklah campakkan semua kitab karangan aku ke dalam Sungai Dajlah pada waktu malam. Sekiranya tangan aku terbuka luas dan tidak menggenggam tangan kamu, segala karangan aku diterima Allah. Kini aku mengharapkan segala daya usaha aku berasaskan kepada niat yang ikhlas kepada Allah Taala semata-mata.” Orang kepercayaan Imam Mawardi menceritakan, “Bila Imam Mawardi hampir menghembuskan nafas yang terakhir, aku pun meletakkan tangan di atas tangannya, aku dapati tangannya terbuka luas. Justeru itu, aku tahu segala karangan beliau diterima Allah Taala. Selepas itu, aku keluarkan semua kitabnya dari simpanannya untuk aku sebarkan kepada umum.”

Ibnu Subki menukilkan daripada Ibnu Khairun, anak murid Imam Mawardi, Imam Mawardi pernah berkata, “Mungkin kitab al-Hawi ini yang tidak diterima Allah.” Ibnu Khairun meneruskan ceritanya, “Aku lihat karangan-karangannya banyak sekali yang ditulis dengan tangan. Sebahagiannya aku sendiri tidak dapat habis membacanya semasa beliau masih hidup lagi.”

Sekiranya benar riwayat ini, menunjukkan Imam Mawardi tersangat tawadhuk, tidak tertipu dan dapat menjauhkan dirinya dari sifat-sifat megah serta berbangga diri. Beliau merasa takut segala kitabnya tidak diterima Allah Taala Yang Maha Kuasa, kerana ditakuti tidak disertai dengan niat yang teramat ikhlas kepadaNya.

Sebahagian dari sifat-sifatnya ialah beliau berinteraksi dengan semua golongan masyarakat yang berada di sekelilingnya dengan sifat hikmah dan mengikut keadaan suasana mereka, sentiasa memelihara sifat berani untuk menuntut sesuatu yang hak, khususnya ketika bermuamalah dengan orang jahil yang sentiasa menggambarkan menuntut ilmu adalah sesuatu perkara yang tidak digalakkan agama. Apabila orang seperti ini melihat alat-alat perkakas tulisan, mereka sentiasa akan menjauhkan diri. Bila mereka melihat kitab-kitab karangan para bijak pandai, mereka sentiasa mengelakkan diri untuk terus mengkajinya dengan lebih mendalam lagi. Imam Mawardi pernah berkata, “Sebahagian orang yang tergolong dalam kelompok ini adalah terdiri daripada orang yang mempunyai kedudukan yang tertinggi di dalam masyarakat dan orang yang mempunyai nama serta pangkat besar. Aku tersangat takut untuk mendekati mereka kerana aku sentiasa membawa alat-alat tulisan dan kitab. Aku tidak mahu menyusahkan mereka. Apabila aku menjauhkan diri dari mereka, aku merasa tenang dan sentiasa di dalam kebaikan. Apabila aku mendekati mereka, aku merasa sentiasa berada dalam keburukan dan kefasadan.”

Sebahagian dari para gurunya ialah Abu Qasim Abdul Wahid Syaimiri, Abu Hamid Ahmad Isfaraini, Syeikh Imam Abu Muhammad Bafi, Hassan Jabali, Ibnu Marastani Baghdadi, Muhammad ibnu Adi Minqara, Hussain ibnu Ali Karabisi, Abu Ibrahim Ismail Muzani, Ibnu Suraij, Abu Said Asthokhori, Muhammad ibnu Ali Qaffal dan Abu Ishak Ibrahim Maruzi. Sebahagian daripada anak-anak muridnya ialah Khatib Baghdadi, Ibnu Khairun, Abdul Malik bin Ibrahim Maqdisi, Ibnu Aribah, Ibnu Kadis Akbiri, Abu Bakar Khilwani, Abu Mansur Qusyairi, Abu Mansur Abdul Wahid Qusyairi, Abu Muhammad Abdul Ghani Basyrie, Abu Hassan Abdari dan Ruyani. Sebahagian daripada kitab-kitab karangannya ialah Iqna’, Amthalul Qur’an, Kafi Fi Syarhi Mukhtasaril Muzani, Muqtarin, Ahkamus Sultaniah, Adab Qadhi, A’lamun Nubuwwah, Tashilun Nazar, Nasihatul Muluk, Amthalu Walhikam, Hawi Kabir dan kitab Adab Takallum.

Imam Mawardi di kalangan ahli Fikir Islam:

Sebagaimana yang jelas kepada kita sebelum ini, Imam Mawardi telah mencapai darjat ketinggian dari segi keilmuan Islam. Beliau mengatasi semua tokoh ulamak mazhab Syafie pada masanya, sehinggalah semua ulamak pada masa itu memandangnya sebagai seorang yang mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi. Kebanyakan tokoh pada masa itu seingkali mengambil pendapatnya kerana mereka menganggap Imam Mawardi adalah seorang ulamak yang bertaraf mujtahid dan mempunyai banyak ilmu yang dihafaz. Dengan sebab ini, Imam Mawardi mampu untuk meluaskan feqh mazhab Syafie dan menambahkan cabang-cabang ilmu mazhab dengan kemampuan ijtihadnya. Begitulah keadaan Imam Mawardi yang dianggap sebagai sebuah lautan yang mempunyai keilmuan luas yang mampu mencurahkan ilmunya dan mentafsirkan pengetahuannya sesuai dengan peribadinya yang mulia, di samping dengan kedudukan beliau dari segi keilmuannya dan pengetahuannya.

Orientalis dan Imam Mawardi:

Imam Mawardi mempunyai nasib yang amat baik sekali kerana para orientalis sendiri terpegun dengan karangannya terutama sekali kitab beliau yang bernama Ahkamus Sultaniah. Malah mereka seringkali mendapatkan kesan keilmuannya dengan secara mengkaji, memutalaah, mentahkik dan menta’lik. Sehinggakan sebahagian ulamak berpendapat, kitab Ahkamus Sultaniah adalah setanding dengan buku Siasah karangan Aristotle dalam bidang ilmu pemerintahan, sekiranya kitab karangan Imam Mawardi itu dijadikan bahan rujukan di negara-negara Islam, sementara buku Siasah pula dijadikan bahan rujukan di bandar-bandar di negara Yunani. Malah seorang orientalis berbangsa Jerman yang bernama Enger telah mencetak kitab Ahkamus Sultaniah karangan Imam Mawardi di bandar Bone, Jerman pada tahun 1853 Masihi.

Kedudukan Imam Mawardi Dari Segi Keilmuan dan Pengetahuan:

1) Imam Mawardi sendiri telah mengarang kitab dalam bidang politik dan pemerintahan Islam sebanyak 4 buah kitab, ditambah dengan kitab الحاوي الكبير yang menceritakan tentang keseluruhan kefahamannya sesuai dengan mazhab Syafie. Kitab-kitab itu ialah Ahkamus Sultaniah, Adab Wazir, Nasihatul Muluk dan Tashilun Nazar. Setiap kitab mempunyai tajuk tersendiri, walaupun ada tajuk yang hampir-hampir sama iaitu tajuk yang membincangkan tentang masalah perundangan, perekonomian dan kemasyarakatan.

2) Semua karangannya sesuai dengan peristiwa semasa, malah berusaha untuk mengolah hukum syarak disesuaikan dengan masalah baru yang tidak pernah wujud sebelumnya. Ini menunjukkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik dan pentadbiran pemerintahan, kerana suasana yang kacau bilau yang melanda semasa hayat beliau. Oleh itu, beliau berusaha memberi nasihat kepada pihak yang sentiasa berebutkan jawatan dan pangkat duniawi dalam kerajaan Buwaih, kerajaan Salajikah dan kerajaan kecil lainnya.

3) Sekalipun Imam Mawardi berusaha menyebarkan kefahamannya dalam mazhab Syafie, beliau tidaklah mengenepikan sesuatu pendapat yang tidak diiktikadnya. Beliau tidak pernah melupakan peribadi guru yang pernah mendidiknya, sekalipun berlainan mazhab dengannya, bahkan sentiasa mengamalkan kebebasan berfikir selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri.

4) Ketika berbincang dengan ulamak semasa, beliau sentiasa menggunakan sumber ilmu Islam. Beliau mengutamakan masdar kitab al-Qur’an, kemudian bersandarkan kepada Hadis Nabawi.

5) Daripada semua keterangan yang disebutkan, kita boleh membuat kesimpulan, Imam Mawardi layak digelar sebagai qadhi qudhat, kerana beliau merupakan orang yang paling bersederhana antara taklid dan berijtihad. Daripada kitab karangannya, beliau dikelaskan sebagai ulamak yang banyak karangannya setanding dengan Imam Tabari, Mas’udi, Imam Ghazali dan Ibnu Rusd. 

No comments:

Post a Comment