Thursday 19 January 2012

Pemikiran punca kita gagal


ANAK-ANAK juga sering disogok dengan pemikiran kononnya subjek Sains dan Matematik adalah subjek yang sukar. - Gambar hiasan



SESI persekolahan sudah pun bermula. Ramai daripada kita kembali sibuk menghantar dan mengambil anak ke dan dari sekolah. Saban hari, kita juga mengharapkan kejayaan anak-anak, baik dalam bidang akademik atau sahsiah diri.
Bagaimanapun, harapan semata-mata tidak memadai untuk membuahkan kejayaan kepada mereka. Ada isu psikologi yang sesekali menyebabkan impian kita tergendala. Ia boleh berpunca daripada ibu bapa, guru-guru atau ahli masyarakat. Namun, hal ini jarang kita sedari.
Dalam kehidupan seharian, ada satu simptom yang selalu berlaku, walaupun kita mungkin tidak menyedarinya.
Ia berlaku dalam kognitif pemikiran kita. Simptom ini yang dinamakan sebagai nujuman penyempurnaan kendiri atau dalam istilah bahasa Inggeris, self fulfilling prophecy.
Simptom ini berlaku apabila kita meramalkan sesuatu tingkah laku terlebih dahulu. Kemudiannya, ia disusuli dengan tindakan-tindakan kita bagi membolehkan tingkah laku yang kita andaikan itu benar-benar berlaku.
Misalnya, Ali mengandaikan bahawa Abu ialah seorang yang sombong. Andaian tersebut menyebabkan setiap kali Ali terserempak dengan Abu, dia tidak akan bertegur sapa atau menghulurkan senyuman.
Pendidikan
Tentulah, Abu juga tidak akan menegur Ali juga kerana tidak ada wajah mesra daripada Ali. Hasilnya, Abu yang mungkin bukan seorang yang sombong, kemudiannya benar-benar menjadi individu yang sombong.
Pernahkah ini berlaku dalam hidup anda? Ia selalu berlaku tetapi kita tidak menyedarinya. Ia selalu terjadi, tetapi kita tidak mengetahuinya.
Bagaimana pula dalam konteks pendidikan anak-anak? Di sekolah, biasanya terdapat kecenderungan guru mengandaikan pelajar yang duduk di barisan belakang sebagai malas dan tidak berminat dalam pembelajaran. Sesekali mereka juga diandaikan sebagai pelajar yang nakal. Hasilnya, guru tersebut tidak memberi perhatian kepada pelajar di barisan belakang. Keutamaan hanya diberikan kepada pelajar di barisan hadapan. Disebabkan kurang perhatian, pelajar di barisan belakang kemudiannya benar-benar gagal dan menjadi mereka yang nakal.
Dalam keadaan bagaimanakah simptom ini berlaku?
Kita juga sering melihat anak-anak sekolah yang ponteng dan melepak di belakang bangunan atau kaki lima pusat beli-belah. Sesekali kita juga melihat mereka merokok atau melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Walaupun kita tahu bahawa anak-anak ini berkemungkinan ponteng sekolah, tetapi kita tidak menegurnya. Minda psikologi kita telah terlebih awal memberikan isyarat bahawa mereka ini anak-anak nakal dan tidak berminat dengan pelajaran. Masa depan mereka bakal binasa kerana kedegilan mereka.

GURU-GURU seharusnya memberi perhatian yang sama rata kepada semua pelajar di dalam kelas.- Gambar hiasan


Justeru tidak ada ahli masyarakat yang mengambil tahu, walaupun gejala ponteng ini hanya berlaku di belakang kawasan perumahan mereka, hasilnya pelajar tersebut benar-benar menjadi pelajar yang bermasalah. Mereka ini asalnya mungkin hanya sekadar suka-suka. Natijah daripada pemikiran kita tadi, mereka juga mungkin bermasalah pada kemudian hari.
Semua ini sebenarnya ialah reaksi psikologi yang selalu berlegar dalam kehidupan kita tanpa kita sedari.
Mata pelajaran Sains dan Matematik telah dianggap sebagai subjek yang sukar. Bahkan, kita selalu menyebutnya. Selain guru Sains dan Matematik, guru-guru lain juga menyebutnya.
Kurang minat
Pelajar-pelajar yang pernah gagal dalam Matematik dan Sains juga selalu menyebutnya. Terpedaya dengan mitos yang dikembangkan dalam masyarakat, anak-anak kita juga menyangka bahawa Sains dan Matematik ialah subjek yang sukar. Kesannya, mereka tidak berminat untuk mengulangkaji mata pelajaran tersebut.
Mereka juga yakin gagal dalam subjek tersebut. Lama-kelamaan, akibat kurang berminat dan tidak mengulangkaji, Sains dan Matematik yang asalnya mungkin sekadar subjek seperti subjek yang lain, menjadi mata pelajaran yang benar-benar susah. Mereka pula gagal.
Inilah sebenarnya kekangan minda yang selalu membantutkan kejayaan anak-anak kita di sekolah. Kita mengandaikan bahawa dengan menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari, mereka akan membawa pulang sesuatu yang membahagiakan.
Namun, kita terlupa, adakalanya kita sendirilah yang meramal kegagalan mereka. Mudah-mudahan kita semua terhindar daripada simptom ini.
Credit to: Kosmo

No comments:

Post a Comment