Thursday 19 January 2012

Fitnah....



PENYEBAR FITNAH MALU PADA HARI KIAMAT


KATA pepatah Melayu, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Ia memberi peringatan bahawa mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri.

Lidah adalah anugerah Allah kepada manusia untuk berkomunikasi tetapi ia sering digunakan untuk mengeluarkan perkataan yang mendatangkan keburukan seperti menyebar fitnah, dusta dan bermaksud buruk.

Allah berfirman yang bermaksud: Bukankah Kami mengadakan untuk manusia itu dua mata? Lidah dan dua bibir. Dan Kami tunjukkan kepadanya dua jalan (benar dan salah). (Surah al-Balad, ayat 8-10).

Justeru, kita mestilah berhati-hati dalam mengeluarkan percakapan. Jika dikhuatiri mengeluarkan perkataan tidak baik, lebih baik kita berdiam diri. Ini bagi mengelakkan diri daripada menanggung dosa.

Jika kita sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi orang lain, tentu sukar untuk kita menariknya balik. Lebih buruk lagi jika orang lain silap mendengarnya.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik mahupun dia diam. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kesalahan yang membabitkan lidah ialah menyebarkan fitnah dan mengadu domba.

Fitnah mendatangkan kesan bahaya dalam masyarakat kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan huru hara.

Allah mengingatkan manusia mengenai buruknya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.

Ramai orang tidak sedar mereka melakukan fitnah kerana amalan itu sudah sebati dalam masyarakat. Fitnah juga berlaku disebabkan pertandingan mendapatkan kuasa, pangkat dan kekayaan.

Fitnah disebarkan untuk memburuk-burukkan individu atau kumpulan kerana perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan layak dibandingkan orang lain. Ia juga menyebabkan nilai agama musnah daripada menjadi pegangan hidup dalam masyarakat. Apabila nilai agama yang menjadi tunjang kesempurnaan hidup hilang, maka banyak dosa dilakukan.

Perkara itu diingatkan dengan tegas oleh Rasulullah dalam sabda Baginda yang bermaksud: Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, sifat kedekut dan jenayah berleluasa. (Hadis riwayat Muslim).

Fitnah adalah sebahagian daripada perbuatan mengadu-domba. Apabila disebarkan, ia mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang dan tidak terkawal apabila banyak fitnah ditabur.

Ia juga tidak mempunyai asas kebenaran. Islam mengarahkan manusia supaya memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dalam berita berunsur fitnah. Justeru, wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita yang diterima sebelum mempercayainya. Kesahihan berita dapat dilakukan dengan melihat kepada fakta dan sumber berita.

Jika perlu, gunakan masa lebih lama sebelum membuat keputusan. Lebih lama berfikir adalah lebih baik supaya tidak menanggung kesan buruk. Allah memberi hidayah kepada manusia untuk berfikir dengan hati terbuka dan mengharapkan petunjuk-Nya.

Sekiranya berita yang diterima belum diketahui kebenarannya, jangan kita membicara atau menyebarkannya. Rasulullah bersabda: Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat. (Hadis riwayat Muslim).

Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita palsu berunsur fitnah. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki dulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.

Dalam era teknologi maklumat, penyebaran fitnah mudah dilakukan melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang lain, malah identiti penyebar juga dirahsiakan.

Dosa fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, ia tidak diampunkan Allah melainkan orang yang difitnah memberi keampunan. Tentu sukar untuk mengakui kesalahan sendiri dan memohon keampunan daripada orang lain.

Dosa fitnah juga menghalang kita masuk syurga. Rasulullah bersabda: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Penyebar fitnah akan diberi malu oleh Allah apabila dibangkitkan pada akhirat kelak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menyebarkan kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat. (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).

Iman Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsia yang tidak mahu diketahui orang lain adalah perbuatan adu-domba dan fitnah.

Mencari dan membocorkan rahsia orang dilarang Allah seperti di dalam firman-Nya bermaksud: Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain. (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Sesiapa yang menyebarkan berita berbentuk cacian dan kejian, kecelakaan besar bakal diterima sebagai balasan. Allah berfirman: Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji. (Surah al-Humazah, ayat pertama).

Hanya orang yang berpekerti buruk melahirkan perkataan buruk. Orang cerdik tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk yang secara langsung melambangkan keburukan diri sendiri.

Credit to: Lokman Ismail/MyMasjid

No comments:

Post a Comment