Friday 20 January 2012

5 tiada kerja bakar diri



2012/01/21

SEORANG penunjuk perasaan terbaring selepas membakar diri di Rabat, Maghribi.
SEORANG penunjuk perasaan terbaring selepas membakar diri di Rabat, Maghribi.
Anggota Graduan Menganggur protes kurang pekerjaan di Maghribi 

RABAT: Lima penganggur membakar diri di ibu kota Maghribi sebagai sebahagian demonstrasi di negara itu berhubung kekurangan pekerjaan, terutama untuk graduan universiti, kata aktivis hak asasi, kelmarin.
Tiga daripada mangsa dirawat di hospital kerana melecur teruk. Kejadian itu, yang sebelum ini jarang berlaku menjadi taktik bantahan di Asia Barat dan Afrika Utara sejak seorang penjual sayur-sayuran di Tunisia membakar diri pada Disember 2010.
Lelaki itu membantah tindakan anggota polis mengganggu perniagaannya, yang mencetuskan kebangkitan menumbangkan kerajaan dan mencetuskan pergerakan sama di rantau itu. 

Kelima-lima lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada pergerakan Graduan Menganggur membabitkan jutaan graduan universiti yang mahukan pekerjaan. 

Demonstrasi selalunya disuraikan secara ganas oleh polis dan di beberapa pekan dan bandar raya menyebabkan pertempuran berlaku. Ketika kadar pengangguran rasmi cuma 9.1 peratus, angkanya sekitar 16 peratus bagi graduan. 

Kelmarin, kerajaan yang dipilih pada November lalu membentangkan pelan baru kepada Parlimen dengan fokus mencipta pekerjaan, pendidikan dan memperbaiki kualiti kesihatan.  Sementara itu, kerajaan dipimpin golongan Islam berjanji menghasilkan 200,000 pekerjaan baru setahun menerusi pelaburan awam dan persendirian. 

Seramai 160 anggota pergerakan itu menduduki bangunan pentadbiran Kementerian Pendidikan Tinggi sejak dua minggu lalu di Rabat, sebagai sebahagian bantahan mereka. 

Penyokong membawakan makanan kepada mereka sehingga dua hari lalu apabila dihalang pasukan keselamatan. 

“Pihak berkuasa menyekat mereka menerima makanan dan air, jadi lima daripada mereka keluar untuk mendapatkan makanan dan mengancam membakar diri jika dihalang,” kata jurucakap Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi, Youssef al-Rissouni. 

Daripada tiga yang dimasukkan ke hospital, dua dalam keadaan serius manakala dua lagi cuma baju terbakar. 

Rakaman video yang disiarkan kumpulan itu secara dalam talian menunjukkan orang ramai membaling roti ke arah polis yang mengawal bangunan berkenaan. Beberapa pemuda di atas bangunan menyiram diri mereka dengan cecair dan melompat turun dan mula mengutip roti. 

Apabila polis pencegah rusuhan bergerak untuk menghentikan mereka, sekurang-kurangnya dua daripada lelaki berkenaan terbakar dan mula berlari sebelum dikepung penyokong dan api dipadamkan. 

Gambar menunjukkan mereka dengan sebahagian besar kulit terbakar. Akhbar dalam talian, Goud, melaporkan dua daripada mereka mengalami kesan terbakar tahap kedua dan dihantar ke unit melecur Casablanca. 

Ketika ekonomi Maghribi mencatat kadar pertumbuhan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekitar empat hingga lima peratus, ia masih belum cukup menghasilkan pekerjaan untuk golongan muda yang semakin ramai di pasaran setiap tahun. 


Credit to: BHarian

No comments:

Post a Comment