Google+ Followers

Tuesday, 3 January 2012

Orang ramai diminta waspada dengan panggilan daripada Bukit Aman

  
KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan daripada individu menggunakan nombor telefon Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, yang mahu membantu mengurangkan kadar saman trafik.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata kebelakangan ini, polis menerima tidak kurang 50 aduan setiap hari berhubung penggunaan nombor 03-22662222/03-22663444 dan beberapa sambungan lain di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 


Kebanyakan pemanggil akan memperdaya penerima bahawa mereka boleh mengurangkan kadar saman trafik dengan syarat pembayaran mesti dilakukan dengan memasukkan duit ke akaun bank pemanggil, katanya dalam kenyataan hari ini. 


Untuk itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar mendapatkan butiran pemanggil seperti meminta pemanggil memberikan nama, pangkat dan jawatan serta memberitahu akan memanggil semula si pemanggil menggunakan nombor yang tertera di skrin. "Proses verifikasi seperti ini boleh mencegah kejadian penipuan kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya.




Ramli berkata polis telah menerima beberapa laporan mengenai penipuan menggunakan nombor talian ini daripada orang ramai dan pihaknya akan menyiasat dengan segera. Beliau juga berkata semakan panggilan melalui sistemnya dan Telekom Malaysia Berhad juga mendapati tiada panggilan keluar oleh pihak polis dibuat ke atas nombor yang dinyatakan pengadu. 

Credit to- Bernama