Saturday 3 December 2011

Antara sebab mengapa manusia menjadi gila....


Ahli politik juga boleh gila




PESAKIT mental yang menghidap skizofrenia cenderung bermain dengan ilusi sendiri tanpa mengambil pusing keadaan di sekeliling.



ANDERS BEHRING BREIVIK, 32, pernah menulis banyak artikel yang dihantar kepada sebuah laman web anti-Islam, Document.no.
Namun, dia sendiri kebingungan mengapakah dia perlu membenci Islam sehingga perasaan anti-Islam itu mencapai kemuncaknya pada tanggal 22 Julai lalu apabila dia nekad menjadi pengganas.
Dengan alasan bahawa dia ingin menjadi hero dalam menyelamatkan Norway dan Eropah Barat daripada pengambilalihan oleh orang Islam, sebanyak 77 nyawa dibunuhnya dalam tempoh kurang empat jam.
Pada hari itu, Breivik sendirian memandu kereta menuju ke bangunan kerajaan di Oslo, Norway.
Tidak sampai beberapa minit dia meninggalkan kereta tersebut di hadapan bangunan pejabat Perdana Menteri, Jens Stoltenberg, ia tiba-tiba meletup.
Lapan orang dilaporkan mati dalam serangan bom jangka yang ditinggalkan oleh anak mangsa perceraian itu. Sepuluh yang lain pula mengalami kecederaan kritikal.
Breivik kemudian bergegas ke sebuah majlis perkhemahan anjuran Parti Buruh di Pulau Utoya, Norway.
Dia berjaya membolosi kawalan keselamatan hanya dengan memakai seragam sebelum melepaskan tembakan rambang sehingga 69 orang peserta tumbang termasuklah mangsa termuda yang berusia 14 tahun, Sharidyn Svebakk-Bohn.
Terlepas
Setelah ditangkap dan dibicarakan, mahkamah pada minggu lalu mengesahkan bahawa Breivik ialah seorang yang tidak waras berdasarkan laporan kesihatan.
Pegawai perubatan yang dilantik mahkamah menjelaskan bahawa Breivik sebenarnya menghidap penyakit mental atau skizofrenia ketika serangan itu.
Menurut laporan AFP pada minggu lalu, Breivik mungkin akan terlepas daripada sebarang hukuman di negara yang tidak mengamalkan hukuman mati itu. Hukuman paling maksimum di negara itu adalah penjara sehingga 21 tahun.
Namun, jika mahkamah menerima laporan psikiatri itu, Breivik mungkin akan berada di pusat kesihatan mental sepanjang hayatnya.
Penghidap skizofrenia sebenarnya mempunyai gangguan dalam proses penerimaan dan penafsiran maklumat yang turut mempengaruhi pemikiran, emosi dan tingkah lakunya.
Pensyarah dan Pakar Perubatan Psikologi, Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan yang dihubungi Jurnal berkata, penyakit gila mampu menyerang sesiapa sahaja.
“Penyakit ini boleh menimpa sesiapa sahaja, tidak kira status dan pangkat termasuklah ahli politik sekalipun.
“Faktor genetik sebenarnya memberikan peranan penting kerana kajian membuktikan bahawa mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang didiagnosis dengan penyakit ini lebih berisiko.


BREIVIK diiringi seorang anggota polis ketika dibicarakan di mahkamah pada minggu lalu.



Halusinasi
“Namun begitu, faktor persekitaran juga mempunyai kaitan yang menyebabkan seseorang mudah diserang skizofrenia.
Antaranya seperti propensiti genetik, tekanan yang tinggi atau tabiat penyalahgunaan dadah turut membuatkan seseorang cenderung mendapat penyakit ini,” katanya.
Di dalam kes yang dihadapi Breivik, dia mungkin mengalami masalah psikotik yang memaksanya melakukan perkara luar batasan menerusi persepsi tanpa rangsangan atau halusinasi.
Terdapat dua jenis halusinasi iaitu halusinasi suara dan halusinasi visual yang boleh memaksa pesakit sehingga melakukan pembunuhan kejam.
Dalam pada itu, Aida Syarinaz menambah, terdapat istilah late-onset schizophrenia iaitu penyakit yang berlaku selepas seseorang yang berusia 40 tahun ke atas.
Mengikut istilah ini, skizofrenia menyerang ketika pesakit melepasi umur 40 tahun.
“Namun begitu, secara lazimnya, simptom-simptom skizofrenia ditunjukkan oleh penghidapnya sejak usia penghujung belasan tahun atau di awal 20-an,” katanya.
Biarpun golongan profesional dan ahli politik turut dilihat mempunyai risiko untuk mendapat skizofrenia, namun dalam kajian terdahulu, penyakit ini lebih kerap menimpa golongan berstatus rendah.
“Mereka daripada kumpulan sosioekonomi yang lebih rendah dan menetap di bandar sering menjadi sasaran penyakit ini.
“Terdapat beberapa sebab mengapakah kemiskinan sering dikaitkan dengan pesakit skizofrenia. Penghidapnya mungkin mengalami ketidakfungsian pekerjaan kerana penyakit ini.
“Keadaan itu mungkin diburukkan lagi dengan kesempitan, cabaran serta tekanan yang besar dalam hidup,” katanya yang turut menerangkan bahawa nisbah antara lelaki dan wanita untuk mendapat penyakit ini adalah sama.
Masalah ketidakseimbangan dalam pemikiran ini boleh dikurangkan dan dirawat menerusi pelbagai kaedah antaranya seperti melalui aspek biopsikososial iaitu melalui kaedah biologikal dan ubatan.
Selain itu kaedah psikososial iaitu pesakit dan ahli keluarga akan diberi penerangan mengenai penyakit ini supaya dapat menangani kemungkinan yang berlaku ketika sakit.
“Ubat-ubatan penting kerana pesakit ini perlu diberi semula keseimbangan kimia dalam otak yang terganggu.
“Selain itu, pesakit dan ibu bapa perlu diberi tunjuk ajar untuk menangani masalah ini dan cara-cara pemilihan serta pencegahannya daripada berulang,” katanya.
Credit to: Kosmo

No comments:

Post a Comment