Sultan Kelantan lawat mangsa tembak
KOTA BAHARU 6 Feb. - Seorang suri rumah yang menjadi mangsa tembakan oleh perompak di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, minggu lepas, melahirkan rasa teruja kerana nasib malang yang menimpanya mendapat perhatian Sultan Kelantan Sultan Mohammad V, yang melawatnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini semalam.
Che Hasmah Awang, 50, menganggapkan keberangkatan Sultan Kelantan itu menyuntik semangatnya untuk pulih daripada dihantui trauma ekoran kejadian rompakan di rumahnya pada pukul 5 pagi, 30 Januari lepas.
"Saya amat bersyukur kerana selain menerima sumbangan, saya juga dapat bertemu dan bercakap secara dekat dengan baginda Sultan Kelantan yang tidak pernah saya impikan sebelum ini.
"Inilah apa yang dikatakan orang, Sultan Kelantan berjiwa rakyat," katanya sambil menyifatkan berpuas hati kerana dapat berbual mesra dengan baginda Sultan Kelantan walaupun sekejap.
Sultan Kelantan singgah di hospital itu semalam ketika dalam perjalanan ke Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh untuk menziarah keluarga dua kanak-kanak adik beradik yang mati lemas dua hari lepas.
Turut mengiringi baginda ke hospital itu ialah Pengarah HRPZII, Datuk Dr. Ghazali Hasni Mat Hassan dan Ketua Jabatan Bedah hospital berkenaan, Dr. Nik Mohamad Shukri Nik Yahya.
Che Hasmah cedera parah selepas terkena tembakan di perut kanan dalam kejadian rompakan di rumahnya di mana perompak melarikan sebuah kereta Honda Jazz, barang kemas serta wang tunai RM5,000.
Sementara itu, Dr Ghazali Hasni berkata, Che Hasmah telah dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari menerima rawatan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment