Tuesday 7 February 2012

EMPAT CERITA SESAT DIMANA-MANA



  


Bingung cari jalan


KULAIJAYA: “Kami bingung gagal mencari jalan keluar dan lebih merisaukan, apabila hari mulai gelap. Bagaimanapun, kami begitu lega apabila talian telefon bimbit mempunyai liputan dan ini membolehkan saya menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
“Saya lega dapat bercakap dengan operator dan saya memberikan butiran penting seperti lokasi dan jumlah keluarga tersesat sebelum pasukan mencari dan menyelamat tiba,” kata Gan Kock Kiong, 42, salah seorang daripada enam sekeluarga yang tersesat selama enam jam di Hutan Rekreasi Gunung Pulai di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, Kock Kiong bersama lima ahli keluarganya yang lain memilih menggunakan jalan denai mendaki gunung sebelum tersesat dan gagal mencari jalan keluar. Lebih menghairankan apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui mereka hanya kira-kira 700 meter dari trek biasa digunakan pendaki, sedangkan mangsa mendakwa tersesat jauh ke dalam hutan. Kock Kiong berkata, pada mulanya dia bersama tiga anaknya, Gan Jie En, 16, Gan Jie Ying, 12, dan Gan Hong Jun, 10, serta dua anak saudaranya, Gan Kai Boon, 15, dan Gan Kai Qi, 9, menggunakan laluan biasa digunakan pengunjung untuk menambah stamina.
“Bagaimanapun, kami berpendapat laluan hutan lebih mencabar untuk menambah stamina sebagai persiapan pertandingan berenang.

“Semuanya berjalan lancar hinggalah kami gagal menemui jalan keluar selepas satu jam melalui denai itu, menyebabkan kami mula bimbang.

“Ketika itu, kami bingung kerana gagal mencari jalan keluar dan lebih merisaukan apabila hari mulai gelap, namun mujurlah dapat menghubungi talian kecemasan 999 menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Katanya, sepanjang enam jam berada di dalam hutan, enam sekeluarga itu berada dalam satu kumpulan terpaksa berkongsi bekalan air untuk menghilangkan dahaga.

Mangsa dibawa keluar pasukan penyelamat dari hutan itu pada jam 11.30 malam selepas lokasi mereka berjaya dikesan dua jam sebelumnya.



Berperang dengan nyamuk



KULAIJAYA: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menempuh pengalaman paling mencemaskan dalam hidupnya apabila tersesat selama enam jam di Hutan Rekreasi Gunung Pulai, di sini, ketika mengikut bapa saudaranya mendaki gunung berkenaan menggunakan denai dalam kejadian pada jam 5.30 petang kelmarin.
Mangsa, Gan Kai Qi berkata, sepanjang di dalam hutan, mereka berkongsi air kerana masing-masing kehausan berikutan bekalan dibawa habis.

“Kami juga berperang dengan nyamuk dan pacat yang mengganggu dan pada masa sama, ditambah dengan perasaan bimbang kerana terpaksa menunggu di dalam hutan sebelum diselamatkan pihak berkuasa.

“Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, kami mengikut arahan bapa saudara seperti berada dalam satu kumpulan dan menguatkan semangat satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, abangnya, Gan Kai Boon, 15, berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk memasuki hutan dan menganggapnya pengalaman paling berharga.






Mahu tingkat stamina anak



KULAIJAYA: Enam pendaki termasuk remaja dan kanak-kanak terkandas selama enam jam di dalam Hutan Rekreasi Gunung Pulai di sini, dalam kejadian pada jam 5.30 petang kelmarin, selepas gagal mencari jalan keluar.
Semua mangsa mempunyai talian keluarga itu ditemui pada jam 9.30 malam oleh pasukan penyelamat dan dibawa keluar ke kaki gunung dua jam kemudian. Terdahulu, mangsa bersama keluarga dari Taman Adda Heights, di sini, ke lokasi untuk beriadah dan latihan stamina sebagai persediaan menghadapi pertandingan berenang.

Bagaimanapun, mereka memilih menggunakan denai di dalam hutan berkenaan dan bukan trek berturap seperti digunakan pendaki lain menyebabkan mereka tersesat.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata, ketika kejadian, mangsa, Gan Kock Kiong, 42, bersama tiga anaknya, Gan Jie En, 16, Gan Jie Ying, 12, Gan Hong Jun, 10 serta dua anak saudaranya, Gan Kai Boon, 15 dan Gan kai Qi, 9, menggunakan laluan hutan kerana dianggap lebih mencabar.

“Kami menerima panggilan daripada mangsa berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 petang dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata, maklumat diberikan mangsa selepas berjaya menghubungi talian kecemasan 999 dan ia memudahkan anggota penyelamat mengesan kedudukan mereka iaitu hanya kira-kita 700 meter dari trek utama.

Laluan trek berbukit dan agak curam dipercayai menyebabkan mangsa keliru serta gagal mencari jalan keluar walaupun beberapa kali melalui kawasan sama. “Selain itu keadaan gelap di dalam hutan menyebabkan pergerakan mangsa terhad kerana jarak penglihatan amat rendah tanpa menggunakan lampu suluh dan terpaksa menunggu bantuan pasukan penyelamat untuk dibawa keluar.

“Pemeriksaan mendapati semua mangsa selamat dan hanya mengalami kesan calar kecil dan tidak serius serta dibenarkan pulang selepas diperiksa pasukan perubatan di lokasi,” katanya.

Kedudukan mangsa berjaya di kesan pasukan penyelamat menggunakan sistem penentu arah (GPS) yang digunakan dalam operasi berkenaan. Gerakan menyelamat dijalankan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Berikutan itu, Zulkefly berkata, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan kawasan denai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.



Terserempak ular sawa




GEORGETOWN: Pendakian dua beranak di kawasan hutan Bukit Jambul, di sini, berakhir dengan pengalaman buruk kerana bukan saja terserempak dengan ular sawa sebesar batang pinang, malah mereka tersesat sebelum diselamatkan petang semalam.
Dua beranak berkenaan, Nizam Yusof, 33, dan Mohamad Nazwa Aufa, 7, mendakwa tersesat selepas terserempak dengan ular sawa berkenaan selepas mendaki bukit berkenaan pada jam 10 pagi.

“Setengah jam selepas berhenti rehat, kami meneruskan pendakian dan terserempak ular sawa itu.

“Saya amat terkejut ternampak ular sawa sebesar batang pinang di atas pokok berhampiran laluan di depan kami dan cuba menukar laluan untuk meneruskan pendakian.

“Tindakan itu menyebabkan perjalanan kami tersasar dari laluan sepatutnya sebelum menyedari sudah tersesat,” katanya. Menurutnya, semakin lama mereka berjalan dia berasa semakin jauh dari kaki bukit tempat mula mendaki lalu cuba mencari jalan keluar tetapi tidak berjaya.

“Saya menghubungi polis bagi memaklumkan keadaan kami,” katanya yang pertama kali membawa anak mendaki untuk melihat hutan di bukit berkenaan.


Menurutnya, anaknya amat teruja sejak malam tadi (semalam) kerana tidak sabar mengikutnya mendaki.

Dua beranak itu berjaya diselamatkan sepasukan 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang bergegas ke lokasi selepas mendapat panggilan.





Buntu di laluan pintas




TAIPING: Cubaan kali pertama seorang warga emas menggunakan laluan pintas ketika berjoging menuruni Bukit Larut, di sini, petang kelmarin, membawa padah apabila dia sesat 14 jam di kawasan hutan simpan itu.
Bagaimanapun, Jaswant Singh, 73, dari Taman Marissa di sini, ditemui berhampiran sebuah kuil di kaki bukit dalam keadaan lemah pada jam 10 pagi semalam oleh pasukan pencari.

Dalam kejadian pada jam 8.06 malam itu, mangsa menghubungi balai bomba Taiping memaklumkan dia gagal mencari jalan pulang ketika menuruni bukit.

Sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping serta beberapa anggota polis dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) mengesannya namun gagal ditemui sebelum gerakan mencari dihentikan pada jam 12 tengah malam, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata pihaknya menyambung operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 7 pagi semalam, sebelum menemui mangsa tiga jam kemudian berhampiran sebuah kuil kira-kira tiga kilometer dari kaki bukit itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa sesat ketika menggunakan jalan alternatif menuruni bukit sebelum hilang arah.




“Dia menghubungi talian kecemasan kira-kira jam 8.06 malam selepas menyedari tersesat dan tidak dapat mencari jalan pulang berikutan cuaca semakin gelap.

“Selang 10 minit kemudian, mangsa sekali lagi menghubungi talian kecemasan memaklumkan dia tidak dapat meneruskan perjalanan mencari jalan pulang selain keletihan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa tidak cedera dan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Justeru, Hasna menasihatkan orang ramai yang mendaki bukit berkenaan supaya menggunakan trek atau laluan disediakan bagi mengelak tersesat.


Credit to: H Metro

No comments:

Post a Comment