Google+ Followers

Thursday, 2 February 2012

Ditipu lebih sejuta ringgit


February 2, 2012, Thursday


Wanita tempatan ditipu lelaki warga asing yang dikenali melalui internet

JANGAN TERTIPU: Acryl (tengah) bersama Firdaus (kiri) dan Stanley ketika sidang media tersebut semalam.

KUCHING: Seorang wanita tempatan mengalami kerugian lebih daripada RM1 juta akibat ditipu selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui Internet.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, wanita tersebut yang ber-usia awal 50-an merupakan seorang suri rumah dan dipercayai telah berkenalan dengan lelaki tersebut sejak Oktober tahun lepas.
“Wanita berkenaan yang berasal dari Miri hanya berhubung dengan lelaki itu menggunakan Internet dan panggilan telefon sejak Oktober  tahun lepas.

“Dalam tempoh tersebut juga, wanita itu telah membuat lima pembayaran berasingan iaitu de-ngan memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,043,100.

“Bukan setakat itu sahaja, wanita itu juga telah pergi berjumpa dengan lelaki tersebut di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur dan menyerahkan wang tunai RM10,000 sebelum lelaki tersebut menghilangkan diri,” kata-nya sambil menambah, mulai hari tersebut barulah wanita itu menyedari bahawa dirinya telah ditipu.

Beliau berkata demikian pada  satu sidang media sempena lawatan rasminya ke Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, di sini semalam.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Acryl memberitahu bahawa wanita tersebut telah ditipu melalui ‘Penipuan Bungkusan’ yang menimbulkan ancaman paling serius di negeri ini dengan 122 kes serta mencatat kerugian sebanyak RM2.5 juta sejak dua tahun lepas.

Menurut Acryl, modus operandi yang digunakan dalam kes penipuan ini adalah sama iaitu dengan menyasarkan wanita berkarier, bujang dan berusia antara 30 hingga 50-an.

“Semua mangsa menerima nasib yang sama selepas melayari Internet untuk mencari rakan-rakan atas talian, kekasih atau hanya orang yang ‘mesra’ tetapi sebenarnya mahu menipu mereka.

“Selepas mendapatkan kepercayaan mereka, penipu akan menggoda mangsa dengan menjanjikan hadiah mahal, duit dan kadang-kadang menjanjikan pelaburan yang lumayan,” katanya.

Tambahnya, si penipu kemudiannya akan memaklumkan mangsa mereka bahawa mereka akan menghantar bungkusan yang mengandungi hadiah, barang kemas dan wang tunai.

Selepas sehari dua, mangsa menerima panggilan dan diberitahu bahawa bungkusan itu telah ditahan oleh pihak kastam dan menasihati mangsa untuk membuat pembayaran ke sebuah nombor akaun sebelum bungkusan dapat dikeluarkan.

Selain itu, mangsa juga akan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya dari Bank Negara yang menyatakan satu lagi pembayaran mesti dibuat sebagai ‘cukai’ dan ‘insurans’ memandangkan bungkusan itu me-ngandungi wang.

“Ingin ditegaskan di sini, sebenarnya tidak ada istilah ‘bank-in’ dalam pengurusan terutama berkaitan kewangan oleh pihak penguat kuasa dan pihak berkaitan kerajaan tanpa ada melalui prosedur tertentu seperti pemberian resit rasmi,” katanya.

Sementara itu, pada bulan per-tama tahun ini, sebanyak tujuh kes penipuan Internet telah dilaporkan di seluruh negeri membabitkan kerugian sebanyak RM1,118,370.

“Tiada cara lain yang lebih baik untuk mengelak daripada ditipu terutamanya oleh penipuan Internet kecuali dengan adanya kesedaran dan sentiasa berwaspada setiap kali melayari Internet,” kata Acryl.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Ketua JSJK Sarawak Superintenden Mohd Firdaus      Abdullah dan Timbalannya DSP Stanley Jonathan Ringgit.
Credit to: The Borneo Post