Tuesday 28 February 2012

Pengaruh doa dalam kehidupan


Lima adab pastikan permohonan dimakbul


DOA adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. 


Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” 

Ketika menjelaskan perkara sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan, (Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.
Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT. 

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT? Seorang sahabat Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul. Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda: 

‘Wahai Sa'ad, makanlah makanan baik (lagi halal), tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak dikabulkan doanya selama 40 hari. 

“Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram maka neraka layak untuknya”. (Riwayat Thabrani) 
Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu. Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah: 

  • Pertama: Suci daripada hadas besar dan kecil; 
  • Kedua: Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW; 
  • Ketiga: Berdoa dengan ikhlas, suara perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu dan yakin Allah akan mengabulkan doa sama ada cepat atau lambat; 
  • Keempat: Berdoa terus menerus sama ada ketika senang atau susah tanpa putus asa; 
  • Kelima: Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.


Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”. 

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Riwayat Tirmizi) 

Adalah menjadi tanggungjawab ulama, sidang pembaca dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati tatkala berdoa. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu. 

Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi. 

Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja. Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT ini. 

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah Fussilat:46) 
Credit to: BHarian

No comments:

Post a Comment