Kerja bersistem jamin kelancaran urusan, elak salah guna kuasa dan penyelewengan
SETIAP majikan dan pekerja pasti inginkan yang terbaik daripada apa yang diusahakan sepanjang kerja seharian. Semakin baik usaha dilakukan, secara fitrahnya semakin baiklah penghasilannya. Usaha yang dianggap baik itu pula hendaklah selaras dengan sistem kerja yang digariskan.
Walaupun biasanya sifat semula jadi manusia lebih cenderung kepada yang mudah dan tanpa kongkongan peraturan, undang-undang, dasar dan proses kerja, namun sistem kerja ini yang akan memelihara hak pekerja agar tidak diabai, dieksploitasi atau dicerobohi.
Ia juga menjamin kelancaran proses kerja, mengelakkan birokrasi serta menghasilkan kerja berintegiti dan berkualiti serta mengelakkan salah guna kuasa dan penyelewengan.
Ajaran Islam amat menekankan aspek amalan berteraskan hukum sama ada wajib, sunat, haram, harus atau makruh. Semua ini melambangkan sistem, kaedah, peraturan dan panduan sama ada yang umum mahupun khusus dalam segenap aspek kehidupan.
Contohnya dalam mengerjakan solat, umat Islam ditentukan kaedah dan peraturannya melalui rukun dan syarat sah solat. Seperti kaedah berwuduk, jenis airnya, jumlah rakaat, bacaan dalam solat, niat, arah kiblat, waktu serta perkara yang boleh membatalkan solat itu.
Semua ini jika diteliti dan dihayati adalah satu bentuk sistem beramal yang sangat istimewa daripada Allah SWT. Walaupun jika diikutkan rasa hati manusia itu lebih suka untuk mengikut cara sendiri, namun sebagai bukti ketaatan, kesyukuran dan matlamat untuk mencapai kesempurnaan iman dan amal serta membentuk kecemerlangan peribadi, maka setiap ibadat yang utama itu, Allah memerintahkan hukumnya wajib dilaksanakan.
Tujuan disyariatkan itu termasuklah untuk melahirkan insan ikhlas, bersih hati dan fizikal, sihat, memiliki daya tumpuan tinggi dan berdisiplin.
Begitulah halnya dalam memahami pelaksanaan sistem kerja berpandukan prosedur, panduan dan peraturan. Ia diwujudkan untuk mencapai kejayaan (al-falah) dan kebaikan (al-khair) serta gesaan ke arah penguatkuasakan kebaikan dan menghindari segala bentuk keburukan untuk mewujudkan kualiti kerja dan integriti pekerja.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh manusia berbuat segala perkara baik serta melarang manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” – (al-Imran: 104)
Untuk tujuan itulah, maka Nabi serta sahabat sentiasa memantau urusan umatnya supaya menjadi peniaga atau pekerja jujur dan amanah termasuk dalam hal sukatan dan timbangan.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pada satu ketika berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu Baginda Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual berkenaan: “Apakah semua ini?” Jawab penjual itu: “Makanan ini terkena hujan.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, Baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” – (Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda diriwayatkan Muslim memberi tiga panduan asas kaedah bagi menguatkuasakan sistem pemantauan kerja iaitu kaedah mengubah dengan tangan. Kaedah ini boleh melambangkan maksud penggunaan kuasa terutama pihak berkuasa.
Kedua, jika tidak berkemampuan maka hendaklah mengubah dengan lisan. Ia boleh membawa maksud menggunakan kaedah seperti berdakwah, nasihat, memberikan pandangan, teguran, amaran dan pujukan.
Ketiga, jika tidak berkemampuan hendaklah menolak sesuatu keburukan dengan hati. Ia boleh membawa maksud kebencian, kemarahan dalam hati terhadap sesuatu yang dibenci oleh Allah dan Rasul. Maka kaedah itu adalah selemah-lemah iman.
Justeru, bagi merealisasikan kerja yang mengikut sistem, maka jika ada peraturan dan prosedur kerja yang rumit dan panjang, perlu dipermudahkan, yang kurang jelas perlu diperjelaskan, yang sudah tidak sesuai, diperbaiki; yang tidak diperlukan, dihapuskan atau dinilai semula untuk menjamin kerja yang berkualiti.
Pendek kata, bekerja mengikut sistem adalah bekerja dengan suka hati dan bukan bekerja ikut suka kerana bekerja ikut suka boleh membawa kepada mengikut kemahuan dan kepentingan diri semata-mata, kejayaan jangka pendek serta bahaya terjerumus dalam penipuan, penyelewengan, rasuah dan bekerja tanpa kualiti seperti kecuaian dan kelewatan.
Justeru, peraturan dan prosedur jelas, mudah difahami dan mampu diamalkan boleh membuat pekerja bekerja dengan senang hati, memudahkan serta memelihara akhlak diri. Sistem juga dapat merealisasikan hasrat majikan dan menterjemahkan aspirasi organisasi. Justeru, marilah kita jadikan kerja bersistem sebagai budaya.
Credit to: Dr Sharifah Hayaati/BH
No comments:
Post a Comment