Monday 6 February 2012

SULTAN ZIARAH RUMAH NENEK MANGSA LEMAS


Sultan Muhammad V Kelantan ziarah keluarga mangsa lemas



SULTAN Muhammad V melawat ke rumah keluarga mangsa lemas di Kampung Tualang Salak, di Bachok, Kelantan, kelmarin.



BACHOK 6 Feb. - Keluarga dua beradik mangsa lemas di Kampung Tualang Salak, dekat sini terharu di atas keprihatinan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang sudi mencemar duli menziarahi mereka petang semalam.

Baginda tiba di kediaman nenek mangsa, Saudah Mat Yaakob, 63, di kampung tersebut disambut Ketua Jajahan Bachok, Zulkifli Abdul Rahman; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain dan beberapa pegawai kerajaan lain.

Bapa mangsa, Ruslan Ab. Ghani, 46, berkata, dia amat berbesar hati apabila diberitahu baginda Sultan Kelantan akan mencemar duli ke rumahnya itu.

"Saya amat terkejut dan tidak menduga baginda sudi mencemar duli ke rumah kami yang serba kekurangan ini.
"Kami menjunjung kasih di atas kunjungan baginda serta menghulurkan sumbangan untuk keluarga kami. Baginda sememangnya raja berjiwa rakyat yang prihatin terhadap tragedi dalam jajahan takluk baginda," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sultan Muhammad meluangkan masa kira- kira 40 minit bertanya khabar mengenai keluarga tersebut sebelum berangkat ke Masjid Naim, Jelawat untuk menunaikan solat Maghrib bersama penduduk di situ.

Dalam kejadian pada 23 November lalu, mangsa, Mohd. Fathi Asyraf Ruslan, 14, dan adiknya, Mohd. Arif Hukmi, 10, mati lemas selepas terjatuh ke dalam parit di kampung tersebut.

Mohd. Fathi Asyraf dan Mohd. Arif adalah anak sulung dan anak ketiga kepada pasangan Ruslan dan Suriani Dollah, 37.

Tiga lagi anak mereka, Syifaa Hanini, 11, Muhammad Hadziq Danial, 6, dan Nurkhairunisa, 3, berada di rumah nenek mereka ketika kejadian berlaku.

Selain itu, baginda turut menziarahi keluarga Abdul Rahim Mahmud, 38, di Taman Perumahan Kobena yang kehilangan dua anak iaitu Mohd. Afiq Zulfikri, 12, dan Mohd. Amirul Zulhaika yang disahkan mati lemas di Sungai Alor Pasir di Pasir Puteh pada 1 Februari lepas.
Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment