RASULULLAH SAW amat dicintai dan disayangi kerana peribadinya yang mulia. Sifat meredah diri Baginda amat mengagumkan. Jauh sekali untuk Rasulullah SAW bersifat sombong dan angkuh dengan pemilihannya sebagai uswatun hasanah.
Sedangkan kita, tanpa disedari telah memiliki sifat angkuh dan sombong melalui percakapan, perbualan, tutur kata, suka menunjuk-nunjuk dan mempamerkan sesuatu berselindung dengan hasrat untuk dipuji dan disanjung.
Berkata Imam Al Ghazal, orang yang takbur itu ialah orang yang apabila ditegur, dia marah dan benci, sedangkan kalau dia menegur orang lain, ditegurnya dengan keras dan kasar."
Sebenarnya sifat sombong dan angkuh lahir daripada naluri seseorang yang diterjemah melalui perilaku dan tutur kata. Melalui sifat itu seseorang berasakan dirinya lebih daripada orang lain dan sentiasa hebat untuk dibandingkan.
Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kalian merendahkan diri sehingga seseorang tidak menyombong diri atas yang lain dan tidak berbuat zalim atas yang lain.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah mencela sikap angkuh dan bangga diri. Daripada Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Ketika seorang lelaki berjalan, dia berbangga terhadap dirinya hingga mengangkat kepalanya ke atas. Dia berjalan dengan sombong seolah-olah bumi tertelan oleh pakaiannya, maka sesungguhnya dia akan terperosok di dalamnya sampai hari kiamat kelak. (Riwayat Syaikhan dan Syaibani)
Sifat sombong bukan saja pada pangkat dan kedudukan, malah melalui percakapan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang menyeret bajunya dengan tujuan menyombongkan diri, maka Allah tidak akan melihat dirinya di hari kiamat." (Riwayat Syaikhan Nawawi).
Diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Di hari kiamat, orang yang sombong akan dikumpulkan seperti debu halus. Mereka ditutupi oleh kehinaan pada setiap tempat, kemudian diiring ke penjara di neraka jahanam yang disebut Bulas, mereka dilumat oleh api neraka, disiram dengan minuman ahli neraka berupa lumpur yang membinasakan." (Riwayat Ar- Tirmizi dan Syaibani).
Adi bin Hatim, putra Hatim yang terkenal sangat dermawan pernah menyebut bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: "Saudara semua perlu melakukan kebaikan untuk menjauhkan diri daripada api neraka, walaupun saudara hanya memberi sedekah dengan sepotong kurma. Namun, bagi sesiapa yang tidak mampu, bertuturlah dengan tutur kata yang baik." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hanya melalui keinsafan dan kesedaran, hidup ini hanya sementara dan tugas kita beribadah kepada Allah dapat mengelakkan sifat sombong dan bangga diri. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang merendah diri kepada Allah, Allah akan mengangkatnya.” (Muslim)
Rasulullah SAW ialah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Baginda tidak menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menjadi suami yang angkuh dan sombong. Sebaliknya, baginda sendiri sering menolong isteri baginda dalam hal rumah tangga. Sebagai pemimpin pula, baginda tidak pernah menggunakan kuasa untuk bersifat angkuh menyombong diri dan mencela orang bawahan. Baginda sentiasa ramah mesra, sopan-santun dan murah hati tanpa memilih puak, darjat dan keturunan.
Baginda juga tidak pernah membalas setiap cacian dan cercaan orang kafir. Baginda sering menghampiri dengan memuliakan orang miskin dan anak yatim. Selalu melawat pesakit meskipun rumahnya jauh di pinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin.
Baginda memuliakan orang miskin dan anak-anak. Daripada Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW bertemu dengan beberapa orang anak lalu baginda memberi salam kepada mereka.” (Hadis riwayat Muslim)
Baginda Rasulullah SAW tidak pernah mengecewakan sesiapapun, tidak berkata melainkan yang hak dan tertawa baginda setakat senyum saja tanpa hilai ketawa. Jelasnya, baginda tidak bersifat sombong dan takbur walaupun amat dimuliakan umatnya. Sombong dan takbur mempunyai pengertian yang sama iaitu antara sifat yang keji dan tercela. Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, dan menjadi penghalang daripada syurga.
Credit to: Amran Zakaria
No comments:
Post a Comment