Google+ Followers

Friday, 17 February 2012

Lelaki larikan MPV polis sedang dicari



MELAKA: Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki yang melarikan kereta MPV polis dari perkarangan balai polis trafik Alor Gajah Selasa lalu.

Gerakan mencari yang dilancarkan kemudian menemui semula kenderaan itu yang ditinggalkan di Kampung Panchor, Alor Gajah, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian, namun lelaki terbabit menghilangkan diri. 
Lelaki terbabit dikenali sebagai Mohd Nazri Drahman, 35, yang mempunyai alamat terakhir di Kampung Baru Kanan, Kemaman, Terengganu.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Mohd Nazri hadir ke cawangan polis trafik untuk membuat laporan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Anggota polis bertugas mengesan lelaki itu tersenarai dalam orang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes dadah.

Chuah berkata lelaki itu kemudian mengetahui dirinya dikehendaki polis cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Ketika suspek dibawa masuk ke dalam kereta MPV polis, dia bertindak bergerak ke tempat duduk bahagian hadapan, mengunci pintu depan lalu memandu melarikan kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Chuah berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh binaan mempunyai ketinggian lebih kurang 152 sentimeter (lima kaki), berbadan kurus selain tangan kanannya patah akibat kemalangan jalan raya pada hari kejadian.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mengenali lelaki terbabit agar menghubungi polis Kontinjen Melaka di talian 06-2851999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5564153. 

Credit: H Metro/Bernama