Google+ Followers

Tuesday, 14 February 2012

Abulcasis @ Abu al-Qasim Al-Zahrawi


Al-Zahrawi Bapa Bedah Moden

     

Abu al-Qasim Al-Zahrawi yang juga dikenal sebagai Abulcasis, yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masihi merupakan salah seorang saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas penting dan kukuh dalam bidang perubatan.

Sungguh menakjubkan, kepakaran Al-Zahrawi tidak terhad dalam satu bidang sahaja, iaitu pembedahan yang menjadi keistimewaan kepakarannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain. Beliau dianggap bapa bedah moden.

Antaranya bidang pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan tertentu, pakar telinga, tekak dan kerongkong (ENT) dan juga mencipta ubatan-ubatan.

Sebagai seorang pakar bedah yang terkenal ketika zamannya, beliau dilantik menjadi doktor peribadi kepada raja Sepanyol ketika itu, iaitu Al-Hakam II.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 936 M di sebuah bandar berhampiran Cordova, terkenal kerana penemuan hebatnya dalam bidang perubatan, terutama dalam bidang pembedahan.

Seperkara lagi yang membuatkan beliau terkenal ialah terbitnya ensiklopedia perubatan beliau yang dikenali Al-Tasrif.
Ensiklopedia itu mengandungi 30 jilid pelbagai aspek sains perubatan. Bagaimanapun aspek paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buku mengenai pembedahan.

Buku mengenai pembedahan itu menjelaskan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri.

Antaranya, termasuklah cauterization, iaitu teknik pembakaran bahagian badan untuk merawat luka dan sebagainya, mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas haiwan dan juga pembedahan mata, telinga, dan kerongkong.

Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga pengudungan atau pemotongan kaki.

Ensiklopedia Al-Tasrif diterjemahkan pertama kalinya ke dalam bahasa Latin oleh Gherard sebelum diterjemahkan ke bahasa Hebrew, Perancis dan Inggeris.

Buku itu mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dicipta oleh beliau sendiri. Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.

Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam ketandusan pakar dalam bidang pembedahan adalah silap dan meleset sama sekali.

Malah Al-Zahrawi juga sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab merekacipta alat-alat pembedahan. Tiga alat ciptaannya yang terkenal adalah:

(i) Alat pemeriksaan luar telinga
(ii) Alat pemeriksaan luar theurethra
(iii) Alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong

Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar mengubati penyakit menggunakan kaedah lecuhan. Teknik ini digunakan melalui lebih 50 pembedahan yang dilakukannya.

Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan, selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, oftalmologi dan sebagainya.

Beliau juga menjelaskan secara terperinci beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation). Selain itu, Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar dalam bidang pergigian dan dalam bukunya terkandung lakaran pelbagai alat yang digunakan dalam bidang pergigian.

Beliau juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian. Malah beliau juga membangunkan teknik untuk menyediakan gigi palsu.

Dalam bidang perubatan, beliau adalah orang pertama yang mengenal pasti dan menjelaskan secara terperinci mengenai sejenis penyakit keturunan yang dikenali hemofilia.

Melihat dan meneliti sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan, terutamanya bidang pembedahan serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan.

Pakar bedah Perancis yang terkenal, Gus de Ghauliac (1300-1368M) menjadikan tulisan al-Zahrawi sebagai bahan tambahan dalam buku bedahnya.

Al-Tasrif menjadi bahan rujukan selama lima abad di Universiti Salerno di Itali, Motpellier di Perancis dan beberapa universiti lain di Eropah.

Malah menurut penulis History of Arab Medicine, Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan sebenarnya melebihi apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal, Galen, dalam kurikulum perubatan Eropah.