Tuesday, 28 February 2012

PPD Bachok banteras ponteng



PPD Bachok banteras ponteng
BACHOK – Berikutan gejala ponteng yang sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok mengambil inisiatif menjalan operasi bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, operasi bersepadu tersebut dijalankan bermula jam 8 pagi dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Majlis Daerah Bachok (MDB), Pejabat Agama Islam Daerah Bachok, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Libatkan 80 anggota

Menurutnya, seramai 80 anggota agensi terlibat memulakan operasi yang dipecahkan kepada tiga zon iaitu sekitar Gunong, Kampung Nipah dan Tawang.

“Gejala ponteng ini amat meresahkan dan pelbagai kempen yang diadakan setiap tahun berterusan untuk menyedarkan mereka mengenai gejala negatif ini.

“Kami amat kesal dengan gejala yang berlaku ini apabila setiap pagi ibu bapa mengharapkan anak mereka masuk ke kelas untuk menuntut ilmu, sedangkan anak mereka ponteng dan berpelesiran di sana sini,” katanya selepas operasi berkenaan.


15 dicekup ponteng

Menurutnya, sepanjang operasi berjalan sehingga 1 tengah hari itu, pihaknya berjaya menahan 15 pelajar dalam PPD Bachok dan dua pelajar sekolah menengah dari PPD Kota Bharu.

Beliau berkata, pelajar yang dicekup masih berpakaian seragam sekolah dan berada di luar kawasan sekolah sewaktu sesi pembelajaran masih dijalankan.


Tiga positif dadah

Saupi berkata, pelajar yang ditahan dibawa ke PPD Bachok untuk menjalani ujian urin bagi mengesan kes dadah.

“Amat malang sekali apabila ada tiga daripada pelajar yang ditahan positif dadah, sedangkan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pelajar.

“Dalam usia ini kewajipan seorang anak dan pelajar adalah menuntut ilmu serta menjadi seorang yang berjaya pada masa depan, bukan merosakkan diri dengan dadah,” katanya.


Kaunseling dan tazkirah

Beliau berkata, mereka yang ditahan menjalani sesi kaunseling dan tazkirah oleh pihak PPD dan Pejabat Agama Daerah.

Menurutnya, operasi itu tidak perlu dipandang negatif kerana ia bermotifkan untuk membawa pelajar kembali ke sekolah dan meninggalkan tabiat ponteng dan perbuatan negatif lain.

“Kami amat berharap mereka ini akan berubah dan sedar kepentingan pelajaran untuk mereka. Melibatkan diri dengan gejala sosial dan dadah akan membunuh masa depan mereka.

“Tanpa ilmu seseorang itu tidak akan ke mana dan sukar untuk meneruskan kehidupan tambahan apabila dewasa dan berkeluarga kelak. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka untuk menentukan hala tuju anak- anak dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak sekolah semata- mata,” katanya.

Justeru, Saupi juga merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang membantu PPD menjalankan operasi cegah ponteng tersebut.

Difahamkan, operasi tersebut adalah susulan Operasi Ponteng yang dijalankan Jabatan Pelajaran Kelantan di Kota Bharu awal Februari lalu.
Credit to: Sinar Harian

Membudayakan akhlak dalam organisasi




Orang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak mereka setiap masa sama ada dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau pada waktu santai kerana meyakini konsep ihsan. - gambar hiasan


Bagi sebuah syarikat, produktiviti adalah ukuran penting kepada keberhasilan dan pencapaian. Namun, daripada kaca mata Islam, sesebuah organisasi itu tidak cukup jika diukur hanya daripada sudut produktiviti. Pada kaca mata Islam, sesebuah syarikat itu juga perlu dilihat pada sudut penerapan dan pembudayaan akhlak mulia di kalangan warga kerja.

Sesebuah syarikat itu sepatutnya tidak dianggap berjaya sekiranya mempunyai kakitangan yang runtuh akhlak dan rendah moral sekalipun mendapat keuntungan yang tinggi. Ini kerana jika pembudayaan akhlak yang baik diabaikan lama kelamaan akan menimbulkan masalah dan seterusnya akan menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat.

Akhlak menurut pandangan Imam Ghazali adalah suatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia.

Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Menanamkan akhlak yang baik dengan sempurna adalah merupakan motif utama perutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (riwayat Bukhari)

Penerapan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW perlu dihayati bagi menjamin kreativiti serta kualiti pentadbiran secara efektif dalam sesebuah organisasi.Langkah ini akan menambahkan lagi komitmen warga kerja ke arah mencapai matlamat serta memperkasakan lagi imej organisasi.

Masyarakat di zaman jahiliah telah mempunyai akhlak seperti memuliakan tetamu dan menepati perjanjian.
Namun, ia tidak mempunyai nilai ganjaran pahala kerana mereka tidak mempunyai keimanan kepada Allah.
Justeru, Rasulullah SAW diutus bukan sahaja untuk menyemai benih akhlak yang mulia, tetapi yang lebih utama ialah memayungi akhlak tersebut dengan lembayung akidah dan keimanan kepada Allah.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat tinggi. (al-Qalam: 4)

Setiap organisasi sama ada dalam kerajaan atau swasta bertanggungjawab membentuk pasukan pengurusan yang diyakini mantap dalam usaha meningkatkan daya pengeluaran. Mereka perlu membuat pengambilan pekerja berdasarkan spesifikasi tertentu bagi memastikan warga organisasi mampu melaksanakan piawaian yang ditetapkan.

Stoner dan Wankel dalam buku Pengurusan (Terjemahan Yaakob Ibrahim) menerangkan bahawa terdapat empat kaedah umum untuk meningkatkan daya pengeluaran. Kaedah-kaedah itu adalah pembaikan dalam proses pengeluaran, pembaikan kerja dan tugas, pembaikan dalam dorongan pekerja dan perubahan organisasi.

Menurut penulis itu lagi, antara semua kaedah itu, didapati pembaikan dan dorongan pekerja menjadi kunci utama dalam meningkatkan daya pengeluaran. Pekerja menjadi tumpuan kerana mereka adalah kumpulan majoriti dan pelaksana utama dalam sesebuah organisasi.


Menghayati konsep ihsan

Islam memberi perhatian yang cukup tinggi terhadap usaha meningkatkan kualiti daya pengeluaran. Islam memperkenalkan konsep ihsan bagi menggalakkan manusia membudayakan kerja dengan cemerlang.

Ihsan secara kasar bermakna membuat baik dengan cemerlang atau sempurna. Ia hadir hasil dari perasaan merasa diri diperhatikan, dipantau dan dinilai oleh Allah.

Demikianlah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW apabila baginda didatangi malaikat Jibril yang bertanyakan mengenai Islam, iman dan ihsan.

Baginda menjelaskan: Ihsan itu adalah hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu. (riwayat Muslim).
Bekerja atau melakukan sesuatu kerja dengan sebaik mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik)". (riwayat Baihaqi)

Antara budaya akhlak yang perlu ditanam dalam diri kakitangan ialah sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan.

Suasana persekitaran tempat kerja perlu membantu ke arah persaingan secara baik di kalangan mereka.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 148)

Konsep muhasabah juga perlu dibudayakan untuk mendorong kakitangan membaiki diri atau meningkatkan kualiti kerja dari masa ke semasa.

Jika berlaku kesilapan, kakitangan diberi peluang memberi penjelasan dan seterusnya memperbetulkan kesilapan dan tekad untuk tidak mengulanginya.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maaidah: 39)

Beberapa contoh akhlak ini sangat penting untuk diambil perhatian oleh semua yang terlibat dalam membangunkan organisasi.

Sebenarnya, kebanyakan syarikat yang menanggung kerugian bukanlah disebabkan kurangnya produktiviti, tetapi kerana masalah akhlak yang gagal diutamakan dan ditekankan.

Credit to: WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Alangkah Luasnya Ilmu Allah dibanding Ilmu Manusia





Sila tunggu..

Terbukanya Empangan Yakjuj & Makjuj



Dalam Kitab Bahrul Mazi Jilid ke-8, pengarangnya Syeikh Mohamad Idris Abdul Rauf al-Marbawi menurunkan hadis berikut; daripada Zainab binti Jahash, beliau berkata:

“Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bangun daripada tidur baginda dalam keadaan merah mukanya dan baginda mengucapklan,  ’Tiada Tuhan selain Allah’ dan diulangi sebanyak tiga kali seraya bersabda: ‘Celakalah bagi kaum Arab daripada bala yang sangat hampir; pada hari ini sudah terbuka empangan Yakjuj dan Makjuj seperti ini.’ Dan Nabi (صلى الله عليه وسلم) menunjukkan sepuluh jarinya. Zainab berkata; aku berkata: ‘Wahai Rasulullah (صلى الله عليه وسلم), adakah kita tetap akan binasa meskipun di sisi kita masih ada orang-orang soleh?’ Jawab Rasulullah (صلى الله عليه وسلم): ‘Ya, bahkan sekiranya terlalu banyak kemaksiatan berlaku.’”


Keterangan:
  1. Yakjuj dan Makjuj terdiri daripada kaum manusia juga, namun mereka sangat jahat. Dan sehingga kini tidak di ketahui hakikat tempat persembunyian mereka. Al-Quran menjelaskan kisah Yakjuj dan Makjuj di dalam surah Al-Kahfi yang mempunyai perkaitan dengan Raja Agung Iskandar Zulkarnain. Ulama menyatakan bahawa Raja Iskandar Zulkarnain itu seorang waliyullah.
  2. Kaum Yakjuj dan Makjuj ini tinggal di sebuah lembah antara dua gunung di kutub utara. Iskandar Zulkarnain pernah masuk ke tempat mereka dan di dapati bahawa mereka itu perlbagai rupa; ada yang besar dan bertelinga besar. Mereka terlalu ramai seperti banyaknya semut yang melata di muka bumi. Lalu beliau keluar dari tempat itu dan membina tembok yang di perbuat daripada tembaga dan besi serta batu-bata. Setiap hari kaum tersebut menggali tembok itu sehingga sebesar lubang maka mereka pulang dan datang semula keesokannya untuk membesarkan lubang itu namun lubang itu tertutup semula. Begitulah setiap hari sehinggalah Allah membiarkan lubang tersebut digali untuk membolehkan mereka keluar. Dengan penuh kerakusan, mereka memakan apa saja di muka bumi ini apabila meraka keluar.
  3. Bala Allah dan kebinasaan akan diturunkan kepada manusia meskipun terdapat orang-orang soleh di kalangan mereka. Orang-orang soleh itu nanti turut terkena bala tersebut. Ini adalah kerana kemaksiatan yang terlalu bermaharajalela membuatkan doa orang-orang soleh tidak lagi dimakbulkan oleh Allah.
Credit to: Syeikh Muhammad Zainul Asri Hj Ramli

MERENDAH DIRI


(ومن تواضع لله رفعه الله” (صحيح مسلم

“ Dan Barangsiapa yang merendah diri kerana ALLAH, ALLAH akan meninggikan darjatnya. “
( Riwayat Sohih Muslim )
 ULASAN AYAT:
  1. ALLAH akan meninggikan darjat orang yang merendah diri. Contoh yang paling sempurna untuk kita contohi adalah Rasulullah SAW. Nabi SAW adalah seorang yang sangat merendahkan diri, sekalipun tinggi martabat Baginda SAW. Baginda SAW mengenderai himar dengan berlapikkan selember kain dan kadang-kadang dengan membawa orang lain. 
  2. Baginda SAW suka menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan orang ramai, menjahit kasut, menampal baju dan membantu kerja-kerja kekeluargaan di rumah.
  3. Sikap Rasulullah SAW  apabila berjalan melalui tempat kanak-kanak, Baginda SAW akan memberikan salam. Jika duduk-duduk dengan para sahabat, Baginda bercampur dengan semua orang tidak mengira sesiapa, seolah-olah mereka adalah sahabat-sahabat Baginda SAW, sehingga bila orang asing datang untuk menemui Baginda, mereka sukar membezakan lalu terpaksa bertanya siapakah diantara mereka itu Rasulullah SAW.
  4. Apabila Rasulullah SAW datang ke suatu pertemuan, jika orang bercakap hal akhirat, Baginda akan menyertai, jika mereka bercakap berkenaan hal makan dan minum Baginda SAW juga turut menyertai perbicaraan itu, sebagai tanda tawaduknya Baginda SAW. Sekalipun Baginda adalah dikalangan orang yang paling mulia dan bertaqwa di sisi ALLAH.
  5. Kadang-kadang  para sahabat menyanyikan syair dihadapan Rasulullah yang mulia, lalu bercerita juga hal semasa zaman jahiliyah, jika mereka ketawa, Rasulullah SAW juga turut tersenyum. Baginda SAW tidak pernah mencegah sahabat-sahabat dalam apa jua perbuatan melainkan dalam perkara-perkara yang haram.
  6. Begitulah sifat dan sikap Rasulullah SAW, sangat merendah diri, biarpun dirinya sangat hebat dan termulia, akhlak Baginda SAW patut dan wajib dicontohi oleh semua lapisan dan golongan. Ya ALLAH, kurniakan kami rezki dapat mengikuti percakapan, perbuatan, ibadah dan amalan soleh Rasulullah SAW dimana sahaja kami berada.
WALLAHU’ALAM

Credit to: Kembara Salik

Guru besar kena gomol sebab tegur kelas bising


GEORGETOWN- Gara-gara tidak boleh menerima teguran, guru lelaki dari sebuah sekolah rendah di Air Itam, dipercayai bertindak mencederakan guru  besar  di tangan dan belakang kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, ia dikatakan berpunca selepas guru besar yang melalui sebuah kelas terdengar bunyi bising sebelum menegur guru kelas berkenaan.

Gambar hiasan sahaja

Difahamkan, guru kelas berkenaan enggan menerima teguran dan berlaku sedikit pertengkaran antara mereka sebelum guru besar cuba merakam suasana dalam kelas itu menggunakan telefon bimbitnya.

Ketika itu, guru kelas berang dan menggomol guru besar sambil diperhatikan murid termasuk darii kelas terbabit. Mereka hanya mampu melihat aksi kedua-dua guru berkenaan.

Suasana bertukar menjadi kecoh hingga memaksa guru lain campur tangan untuk meleraikan pergaduhan itu setelah kedua-dua tangan dan belakang kepala guru besar cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan turut membuat laporan polis mengenai  kejadian itu.
"Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. Guru terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan," katanya. 
Credit to: Sinar Harian

Pengaruh doa dalam kehidupan


Lima adab pastikan permohonan dimakbul


DOA adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. 


Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” 

Ketika menjelaskan perkara sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan, (Riwayat Tirmizi)
Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.
Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT. 

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT? Seorang sahabat Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul. Menurut Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda: 

‘Wahai Sa'ad, makanlah makanan baik (lagi halal), tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak dikabulkan doanya selama 40 hari. 

“Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram maka neraka layak untuknya”. (Riwayat Thabrani) 
Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu. Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah: 

  • Pertama: Suci daripada hadas besar dan kecil; 
  • Kedua: Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW; 
  • Ketiga: Berdoa dengan ikhlas, suara perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu dan yakin Allah akan mengabulkan doa sama ada cepat atau lambat; 
  • Keempat: Berdoa terus menerus sama ada ketika senang atau susah tanpa putus asa; 
  • Kelima: Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.


Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”. 

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Riwayat Tirmizi) 

Adalah menjadi tanggungjawab ulama, sidang pembaca dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati tatkala berdoa. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu. 

Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi. 

Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja. Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT ini. 

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah Fussilat:46) 
Credit to: BHarian

Monday, 27 February 2012

Lipan 26sm...Panjangnya..


KOTA BHARU: Seorang suri rumah nyaris digigit lipan sepanjang 26 sentimeter (sm) ketika terpijak haiwan berbisa itu di ruang dapur rumahnya di Taman Banggol, Binjai, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Haliza Yacob, 40, sempat melompat menyelamatkan diri sebaik menyedari terpijak lipan yang dikatakan muncul dari bawah sebuah bakul disimpan di dapur rumahnya.

Menurut Haliza, kejadian berlaku ketika dia hendak memasak.

“Pada mulanya saya ketakutan selepas terpijak lipan itu kerana ia besar dan panjang. Bagaimanapun, saya memberanikan diri memukulnya dengan kayu sehingga mati.

“Saya menyimpan lipan itu dan menunjukkannya kepada jiran dan ramai yang terkejut kerana belum pernah melihat lipan seperti itu,” katanya.
Credit to: H Metro

Sunday, 26 February 2012

Mari Bersyukur...




Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani 
TIDAK MAHUKAH MENJADI YANG TERBAIK?

Baru-baru ini seorang sahabat bertanya kepada saya,tidak mahukah menjadi yang terbaik?

Saya menjawab semestinya saya mahu. Bahkan semua manusia yang waras akalnya pasti juga akan menjawab mahu.Tentu.

Bagaimanakah kita sanggup untuk menjawab tidak mahu menjadi yang terbaik sedangkan kita mengetahui bahawa syurga itu hanya tersedia untuk orang-orang yang terbaik.Malah tidak pantas untuk kita katakan bahawa redha Allah itu selalu bersama orang yang tidak terbaik.

Namun fikiran saya tidak lepas dari memikirkan dengan cara apakah untuk menjadi yang terbaik?Adakah mesti mendapat tempat pertama dalam semua peperiksaan semester atau berjaya dinobatkan sebagai johan dalam setiap pertandingan syarahan?

Atau mungkinkah menjadi yang terbaik itu adalah dengan sentiasa membilang butir tasbih sambil pandangan mata tunduk rapat memandang tanah tatkala berada di jalanan?


SYUKUR ITU TERBAIK

Tak lama selepas itu saya singgah ke Masjid Hussien untuk menunaikan solat fardu zohor.Semuanya seperti biasa,melainkan sesuatu yang saya terpandang di dinding sewaktu hendak berwuduk.Sehelai kertas iklan kecil berwarna cerah yang di atasnya tertera aksara yang berbunyi,”adakah kamu bersyukur kepada Allah?”

Dalam hati saya berdetak,adakah saya ini bersyukur?Bagaimana pula yang dimaksudkan dengan bersyukur itu?

Persoalan itu saya tinggalkan di situ juga kerana kekangan masa yang menuntut memandangkan banyak tugasan lain yang juga perlu untuk diselesaikan.

“Kita tidak boleh ubah sesuatu yang kita lihat, tetapi kita boleh ubah diri kita melihatnya.Jika tidak dapat apa yang kita suka, maka langkah terbaik ialah suka apa yang kita dapat, itulah syukur namanya,”kata seorang sahabat saya.

Saya tidak terus menerimanya,tetapi saya terus berfikir,merenung dan mencari makna di sebalik kata-katanya itu.

Mencari.

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak
mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur."

(Surah Al-Nahl 16:Ayat 78)

“Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima
terhadap pemberi dan pengurnia”,begitu catatan almarhum al-Fadhil al-Ustaz Fathi Yakan dalam kitabnya ‘Mengapa Saya Menganut Islam’ pada bab pertama di bahagian 1,Saya Mestilah Muslim di Sudut Akidah.

Kemudian beliau menambah seperti berikut, “Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(Surah Ibrahim 14: Ayat 7)


Seterusnya Allah berfirman:


"Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan
kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?." (Surah 
Yasin 36: Ayat 33-35)”

Ayat-ayat yang didatangkan ini secara jelas menuntut kita bersyukur kerana syukur itu adalah tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia.

Iaitu menuntut kita bersyukur kepada Allah taala,tuhan pemilik alam ini atas segala nikmat yang dicurahkan-Nya sama ada yang kita kesani mahupun yang terselindung dari pandangan kita yang serba kekurangan ini.

Sudah terjawabkah persoalan saya?

Untuk itu mari saya sebutkan apa kata Imam Ghazali dalam karya beliau yang masyhur,Ihya Ulumuddin.Beliau menyebut terdapat tiga elemen utama dalam konsep kesyukuran iaitu ilmu,perasaan dan amal.

Dalam memahami erti syukur,kita tidak dapat tidak mestilah mengetahui akan sesuatu nikmat yang diterima,seterusnya memahami bahawa kita benar-benar mendapat nikmat tersebut dan meyakini bahawa yang memberi nikmat itu adalah Allah S.W.T

Hasil dari ilmu-ilmu ini,maka akan hadir perasaan dalam diri kita untuk melambungkan kesyukuran kepada Sang Pemberi.Dengan itu maka terbitlah amalan-amalan kita berupa pengabdian diri kepada Allah yang telah memberi kepada kita segala nikmat-nikmat yang sememangnya tidak pernah mampu untuk kita hitung.Terlalu banyak!

Itulah syukur.

Mengetahui perkara yang patut disyukuri,diri sebagai penerima dan Allah sebagai Tuhan Pemberi lalu melahirkan perasaan bersyukur hingga dapat menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.Sebagai hamba Ilahi.


MARI BERSYUKUR KEPADA ILAHI

Kerana itu mari kita bersyukur walau di tempat mana pun kita berada.Hal ini demikian kerana syukur itu jika letaknya pada diri seorang pekerja,majikan,pelajar atau siapa-siapa pun juga akan menjadikan pemiliknya itu sentiasa cemerlang dalam setiap keadaan.Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis yang maksudnya:

“Begitu beruntung nasib orang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tiada habuan yang baik kecuali bagi orang yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia bersyukur maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa sesuatu kesusahan maka dia bersabar maka sabar itu baik baginya”


Kembali saya teringat kepada kata-kata sahabat saya tadi, “kita tidak boleh ubah sesuatu yang kita lihat, tetapi kita boleh ubah diri kita melihatnya.Jika tidak dapat apa yang kita suka, maka langkah terbaik ialah suka apa yang kita dapat, itulah syukur namanya.”

Saya setuju akhirnya.Bukankah bersyukur itu dituntut dalam seluruh kehidupan kita?Dan bukankah setiap perkara yang hadapi merupakan nikmat daripada-Nya?

Semestinya.Iaitu jika setiap perkara yang ditempuh dilihat dengan pandangan hamba.Bahkan dengan perasaan hamba kepada Allah!

Kerana Dia adalah Sang Pencipta.

Mari bersyukur kepada Ilahi.
Wallahua’lam....


Credit to: Naimulfirdaus

KUDRAT TEKSI GUNUNG


Pikul orang turun Gunung Kinabalu



HUJAN pada sebelah pagi menyebabkan persekitaran laluan menuruni Gunung Kinabalu itu agak basah dan licin. Bagi Gohimin Gohitung, ia bukan satu masalah besar. Langkahnya tetap tangkas, seakan-akan sudah mahir dengan selok-belok hutan dipterokarp bukit yang hidup subur di sekelilingnya.
Tumpuannya terarah terhadap sekumpulan pendaki di hadapannya yang berhempas pulas menuruni laluan berbatu dan berselirat dengan akar-akar kayu itu. Selaku ketua jurupandu arah sememangnya dia perlu berada pada kedudukan terakhir bagi memastikan kelancaran perjalanan itu dan tiada pendaki yang tercicir.
Awal pagi tadi, dia dan anggota kumpulan seramai 20 orang berjaya menamatkan misi menawan puncak gunung setinggi 4,095 meter. Selepas misi selama dua hari itu berakhir, kini tibalah masa untuk kembali semula ke Pintu Timpohon.
Gohimin tidak keseorangan sebaliknya turut ditemani tiga jurupandu arah lain yang berada di hadapan dan tengah kumpulan itu. Langkahnya tiba-tiba terhenti, seorang jurupandu arah menghampirinya dalam keadaan tergesa-gesa.
"Pak Gohimin, ada seorang pendaki tergelincir di atas batu semasa turun tadi, kakinya terseliuh," beritahunya.
Gohimin mempercepatkan langkah, dalam beberapa ratus meter di hadapan kelihatan seorang wanita mengerang kesakitan.
Bayaran ikut kilometer

PENDAKI yang tidak mampu mengangkat beg yang berat boleh mendapatkan bantuan porter.


Dia cuba membantu dengan menyapu minyak panas dan mengurut bahagian yang tercedera.
"Nampaknya tidak ada cara lain, kaki awak sudah bengkak, sukar untuk berjalan dalam keadaan begini. Kami terpaksa pikul awak turun untuk mendapatkan rawatan," terangnya.
Selepas berbincang selama beberapa minit dengan wanita itu, Gohimin mengarahkan seorang jurupandu arah di bawah seliaannya memikul wanita itu.
"Jangan risau, kami sudah biasa melakukannya. Awak cuma perlu berpaut pada leher dia," pesan Gohimin sebelum kelibat kedua-duanya hilang di sebalik rimbunan pepohon yang menghijau di laluan itu.
Dikenali sebagai 'teksi gunung', Gohimin berkata, ia merupakan perkhidmatan istimewa yang diberikan kepada pendaki di gunung itu.
"Adakalanya pendaki tidak sihat, terseliuh atau kekejangan otot dan tidak berupaya meneruskan pendakian.
"Justeru, ini adalah satu-satunya cara yang ada. Bagaimanapun, bagi kes-kes yang serius seperti patah tulang atau pendarahan, kami akan meminta bantuan renjer untuk tindakan susulan," jelasnya.
Lelaki yang berasal dari Kampung Kundasang kira-kira lima kilometer dari Taman Kinabalu Sabah itu menambah, pendaki yang menggunakan perkhidmatan itu dikenakan bayaran bagi setiap kilometer perjalanan.
Katanya, bayaran teksi gunung tidak tetap bergantung pada budi bicara pendaki dan kumpulan jurupandu arah. Namun ia boleh mencecah sehingga RM300 bagi satu kilometer.
"Biasanya dalam keadaan kecemasan begini, ramai yang tidak kisah, apa yang lebih penting mereka mahu cepat sampai untuk berehat atau mendapatkan rawatan susulan," jelasnya.
Gohimin berkata, biarpun tampak mudah, namun tanggungjawab teksi gunung begitu besar terutamanya dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pendaki.
Dia yang berpengalaman luas selama lebih 30 tahun mendaki gunung itu memberitahu cabaran memikul pendaki memerlukan kekuatan mental dan stamina yang tinggi.
Pikul secara bergilir-gilir
"Selain terpaksa berhadapan dengan halangan laluan yang curam dan berliku-liku, kami juga terpaksa memikul pendaki termasuk yang berbadan besar.
"Saya sendiri pernah mengangkat seorang pendaki yang mempunyai berat sekitar 100 kilogram beberapa tahun lalu. Ia tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan khidmat beberapa teksi gunung untuk bergilir-gilir memikulnya.
"Salah satu cara lain adalah dengan menggunakan tandu, namun ia juga tetap mencabar," ceritanya.
Dalam usia yang mencecah 60 tahun, Gohimin merupakan di antara jurupandu arah paling berpengalaman di gunung yang diiktiraf kelima tertinggi di Asia Tenggara itu.
Manakan tidak, sejak berusia 30 tahun dia sudah bekerja sebagai porter atau pengangkut barang. Ketika itu dia sering berulang alik dari Pintu Timpohon ke Laban Rata untuk membawa pelbagai barangan runcit, sayur-sayuran, bahan binaan dan sebagainya.
"Sekitar tahun 70-an dahulu, laluannya lebih mencabar, kami perlu memanjat bukit batu, meredah hutan dan semak-samun atau berteduh di mana-mana sahaja jika hujan.
"Sekarang treknya semakin mudah dan selesa bahkan, ada laluan bertangga, ada pondok kecil yang lengkap dengan kemudahan tandas dan bekalan air malah, pengunjung juga boleh menginap di hostel dengan selesa," katanya.
PERKHIDMATAN teksi gunung merupakan antara keunikan yang terdapat di Gunung Kinabalu.


Mula menjadi jurupandu arah sejak beberapa tahun yang lalu, Gohimin memberitahu, ia seiring dengan peningkatan usianya.
Ujarnya, biarpun masih berkemampuan memikul beban yang berat namun, tugas baharunya itu membolehkan dia menimba pengalaman di samping berkenalan dengan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Ramai yang cemburu apabila melihat saya masih gagah dan cergas dalam usia begini, namun yang pasti saya tidak mempunyai sebarang rahsia.
"Saya makan seperti apa yang orang lain makan, begitu juga lain-lain. Mungkin ketenangan menghirup udara segar sambil ditemani kehijauan flora dan fauna menyebabkan saya awet muda," selorohnya.
Porter muda
Sementara itu, bagi Kamaluddin Jaffren, Gunung Kinabalu tidak asing kepada dirinya kerana beberapa ahli keluarganya turut bekerja di situ.
Keinginan membantu keluarga menyebabkan anak kedua daripada sembilan beradik itu menjadi porter secara separuh masa sejak berusia 15 tahun.
Ketika berusia 18 tahun, dia mula diberi kepercayaan menjadi jurupandu arah.
Pada masa yang sama, dia turut mengambil upah memikul beg dan kelengkapan pendaki di samping menjadi teksi gunung.
"Saya sendiri sudah beberapa kali menjadi teksi gunung, namun bukan wang yang menjadi keutamaan tetapi keselamatan pendaki itu sendiri," ujarnya yang berasal dari Kampung Mesilau.
Biarpun begitu, pemuda yang masih bujang itu berkata, ada di antara rakannya terpaksa berputih mata kerana tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.
"Sebaik tiba di bawah sana, ada yang terus menghilangkan diri. Itu belum lagi dengan pelbagai alasan dicipta seperti kesempitan wang, meminta tempoh dan sebagainya.
"Mujurlah saya tidak pernah mengalaminya, namun saya sentiasa berwaspada. Apa yang penting, kami tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada yang memerlukan bantuan," katanya yang juga merupakan seorang pelajar lulusan agama di sebuah madarasah di negeri itu.
Sementara itu, Izman Shah Abdullah, 20, memberitahu, minatnya dalam kegiatan lasak dan mencabar mendorong dia menjadi porter di pergunungan itu.
"Daripada tidak berbuat apa-apa, lebih baik saya bekerja di sini, sekurang-kurangnya dapat juga menambah pendapatan.
"Lagipun ibu bapa tidak pernah menghalang saya bekerja di sini. Ia lebih baik daripada menghabiskan masa," katanya yang merupakan sepupu kepada Kamaluddin.
Mengakui masih cetek pengalaman, dia banyak belajar mengenai selok-belok hutan daripada jurupandu arah berpengalaman seperti Gohimin.
"Saya seronok berada di sini, berdamping dengan alam semula jadi yang masih kekal terpelihara," katanya.
Credit to: Kosmo