Friday, 3 January 2014

Ungkit pemberian hapus pahala sedekah

Bersedekah adalah amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam. Rasulullah SAW sudah memberitahu kepada umatnya bahawa sedekah tidak akan mengurangkan harta orang yang bersedekah. 

Malah, sedekah memberi banyak kebaikan antaranya dapat menyucikan harta, membersihkan diri daripada sifat kedekut, menghapuskan dosa kecil, menjauhi daripada penyakit serta memberi kegembiraan kepada golongan memerlukan.


Justeru, jangan terpedaya dengan pujukan syaitan yang menakutkan kita dengan kepapaan andainya banyak bersedekah. Sebaliknya, yakinlah rezeki Allah SWT kerana ada kalanya ia datang tanpa disangka. 

Pada masa sama, perlu diberi perhatian, apabila bersedekah jangan pula mengungkit pemberian itu kerana ia hanya akan menghilangkan pahala dan menunjukkan kita tidak ikhlas memberi. 

Tindakan itu juga boleh menyebabkan aib kepada pihak yang menerima sedekah apabila disebarkan khususnya di depan mereka sendiri. Bak kata pepatah, tangan tangan memberi, tangan kiri tidak tahu. 

Abu Zar berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada tiga golongan yang Allah tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat nanti. Allah juga tidak memandang mereka dan tidak mengampunkan dosa mereka. Mereka juga mendapat seksaan yang pedih. 

“Nabi Muhammad menyebutnya tiga kali. Abu Zar berkata: Ruginya mereka. Siapakah mereka itu, wahai utusan Allah? Rasulullah berkata: Orang yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, orang yang mengungkit pemberian atau jasanya dan orang yang menjual barang dengan sumpah palsu.” (Riwayat Muslim).


Dalam riwayat lain oleh Muslim, Nabi Muhammad menerangkan orang yang melabuhkan kainnya bermaksud lelaki yang melabuhkan kain atau pakaiannya lebih daripada buku lali kerana berlagak sombong. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima).” (Surah al-Baqarah, ayat 264).



No comments:

Post a Comment